KEMENANGAN yang dikecapi melalui kemerdekaan negara mematangkan kita untuk terus membangun sebagai tanah merdeka dalam acuan tersendiri dengan berpegang teguh kepada institusi raja berperlembagaan dan senantiasa berpaut rapat terhadap prinsip-prinsip kedaulatan negara.
Walaupun negara menyaksikan pucuk kepimpinan negara silih berganti sejak zaman kemerdekaan, namun azam dan iltizam pemimpin tertinggi negara tetap satu iaitu membangunkan negara berlandaskan Matlamat Pembangunan mampan (SDG). Syukur impian itu bukan omong kosong.
Pembangunan negara seharusnya selari dengan alam sekitar yang mampan. Bumi ini bukan milik kita sepenuhnya, untuk terus menjadikan setiap incinya sebagai matlamat peribadi atau perosak alam demi kepentingan individu dan negara.
Pewartaan Akta Alam Sekitar 1974 pada 14 Mac 1974, menjadi titik tolak keprihatinan pemimpin untuk mendukung alam sekitar sebagai agenda utama dalam membangunkan negara berstatus maju. Setiap projek pembangunan sama ada di bandar atau luar bandar direka dan berasaskan lunas kajian impak alam sekitar. Kejituan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar memastikan bumi Malaysia kekal hijau.
Keindahan alam yang menghijau menjadikan Malaysia mengungguli pembangunan mampan. Bagi meneruskan agenda ini, perlulah beralih kebpada budaya mobiliti hijau.
Mobiliti hijau bukanlah sesuatu yang bahaharu di negara kita. Ia meliputi keperluan pergerakan pengangkutan mesra alam yang mampu melestarikan alam. Mobiliti hijau mampu mengurangkan pelepasan karbon, pencemaran udara dan secara langsung dapat meminimumkan pembakaran bahan api fosil seperti petroleum dan disel.
Pada 2023, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan sebanyak 799,731 kenderaan terjual manakala sehingga November 2024 sebanyak 731, 534 buah kenderaan dimilik pemilik kenderaan. Pertambahan bilangan kenderaan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya mencecah 14 peratus.
Situasi ini diibaratkan petanda hitam dalam radar alam sekitar negara kerana berlaku peningkatan pelepasan karbon.
Kita tidak boleh menafikan fakta kemajuan negara yang pesat akan membawa denyutan laju kepada alam sekitar. Dansa ekonomi memerlukan sistem pengangkutan yang cekap, cepat dan berkualiti. Bagi melancarkan proses pengangkutan produk import dan eksport, pelbagai kenderaan berat diguna pakai. Secara tidak langsung keadaan ini akan meningkatkan kadar pelepasan pelbagai gas karbon daripada kenderaan berat.
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada dan Enjin Diesel) 1996 menetapkan had pelepasan asap yang dibenarkan dari paip ekzos kenderaan diesel yang beroperasi di jalan raya tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (HSU) namun, di negara kita, secara purata dilaporkan kenderaan berat melepaskan hampir 70 HSU dan ke atas.
Maka, langkah dramatik dan penuh keikhlasan perlu dicanang demi kesejahteraan serta kemakmuran masyarakat.
Keberanian dalam merancang serta membentangkan langkah- langkah ke arah pemantapan alam sekitar yang mampan harus diterjemahkan dengan tindakan dan sokongan semua pihak.
Pengiktirafan bandar tanpa karbon oleh beberapa negeri harus disuntik dan digempar-gempurkan. Selangor menjadi tunjang kepada Program Hari Tanpa Kenderaan. Kejayaan pelaksanaan program itu sejak 2019 merupakan inisiatif yang harus dibanggakan bersama.
Program yang dilancar dan dijayakan di 12 daerah di seluruh Selangor merupakan inisiatif lanjutan daripada Program Bandar Karbon Rendah yang menyasarkan pengurangan karbon kepada 45 peratus peratus menjelang 2030.
Perkhidmatan Bas SelangorKu atau kini dikenali sebagai Bas Smart Selangor merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri ke arah mobiliti hijau. Kerajaan negeri lain harus berusaha ke arah pembudayaan mobiliti ini dengan menjadikan Kerajaan Negeri Selangor sebagai suri teladan.
Satu lagi penyelesaian yang praktikal adalah kenderaan elektrik. Ciptaan terkini ini mampu mengurangkan hampir tiga kali ganda pembakaran petrol.
Kini dengan pengetahuan dan kesedaran tinggi masyarakat, kita dapat melihat dan merasai peningkatan kenderaan bermotor elektrik di jalan raya. Jelas kelihatan stesen-stesen pengecasan kenderaan elektrik semakin banyak. Bahkan, hampir semua pasar raya mula menyediakan pengecas. Ini merupakan satu sokongan kepada komuniti oleh pelbagai pihak.
Kita harus mencontohi Jepun, Korea dan China dalam mengamalkan mobiliti hijau.
Penggunaan basikal di bandar-bandar besar seperti Tokyo amatlah digalakkan. Undang- undang jalan raya yang sama diguna pakai dan dikuatkuasakan bagi pengguna basikal.
Amalan ini boleh dilaksanakan ini sekali gus mampu mengurangkan pelbagai risiko pendustaan alam sekitar dan menjurus kepada amalan mobiliti hijau.
KENDERAAN AWAM
Usaha kerajaan dalam mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dengan mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam amat bertepatan dengan pembudayaan mobiliti hijau.
Perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Komuter, KTM Intercity, Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Monorel, Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), bas ekspres, teksi dan pelbagai kemudahan pengangkutan awam harus dimanfaatkan rakyat.
Mobiliti hijau bakal menjadi kenyataan jika semua pihak berjaya melaksanakan usaha-usaha kerajaan negeri melalui Pihak berkuasa Tempatan (PBT).
Kita bertanggungjawab penuh ke atas amalan mobiliti hijau selaras usaha pembangunan mampan.
Kita harus memaknai erti mobiliti hijau secara insaniah dan rohaniah agar generasi kita terus dapat menghirup udara bersih tanpa pencemaran kronik.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Akademik dari Kolej Matrikulasi Pahang.










