Tangani kemiskinan sikap dalam masyarakat kita

Tangani kemiskinan sikap dalam masyarakat kita

USAHA menangani kemiskinan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek kewangan, tetapi juga kepada pembentukan mentaliti dan sikap yang lebih progresif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KEMISKINAN sikap merujuk kepada mentaliti dan tingkah laku yang menghalang seseorang daripada keluar daripada kitaran kemiskinan, walaupun terdapat pelbagai peluang untuk memperbaiki taraf hidup.
Konsep kemiskinan sikap merujuk kepada pemikiran, kepercayaan dan tingkah laku yang menghalang individu atau komuniti keluar dari kitaran kemiskinan. Sikap ini sering dikaitkan dengan kurangnya motivasi, rasa ketidakupayaan untuk berubah serta kebergantungan kepada bantuan luar.
Kemiskinan sikap boleh ditafsirkan sebagai individu atau komuniti mempunyai mentaliti yang pasif, tidak proaktif dalam meningkatkan taraf hidup mereka dan kurang keyakinan terhadap keupayaan sendiri untuk berubah. Sikap ini boleh berpunca daripada faktor sosial, budaya dan psikologi yang telah berakar dalam komuniti tertentu. Contohnya, dalam masyarakat luar bandar yang bergantung kepada pertanian tradisional, mereka mungkin enggan mencuba kaedah pertanian moden kerana takut akan risiko kegagalan walaupun teknik baharu itu terbukti lebih berkesan.
Satu lagi contoh kemiskinan sikap dapat dilihat dalam kalangan golongan muda yang enggan meneruskan pendidikan tinggi kerana beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai peluang untuk berjaya. Mereka mungkin berpuas hati dan merasa cukup dengan pekerjaan mereka sekarang dan tidak berusaha untuk meningkatkan kemahiran mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terus berada dalam kitaran kemiskinan.
Dalam konteks kemiskinan bandar, kemiskinan sikap juga boleh dilihat dalam kebergantungan kepada bantuan kerajaan atau derma tanpa berusaha untuk mencari pekerjaan atau membangunkan keusahawanan sendiri. Sebagai contoh, ada individu yang memilih untuk tidak bekerja kerana menganggap bahawa bantuan yang diterima sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka. Pemikiran sebegini menghalang mereka daripada mencapai kestabilan kewangan untuk jangka panjang.
Kemiskinan sikap juga berkait rapat dengan nilai dan budaya sesebuah komuniti. Dalam masyarakat yang mengutamakan kepatuhan kepada norma tradisional, individu mungkin kurang terdorong untuk meneroka peluang baharu atau mencabar status quo. Misalnya, dalam komuniti yang melihat kejayaan akademik sebagai sesuatu yang tidak penting, anak-anak mungkin tidak diberi galakan untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Kemiskinan sikap sering dikaitkan dengan:
  • Kebergantungan kepada bantuan kerajaan tanpa inisiatif untuk berdikari.
  • Kurang motivasi dan daya saing dalam pekerjaan atau perniagaan.
  • Enggan menerima perubahan atau peluang yang boleh meningkatkan taraf hidup.
  • Sikap pasif terhadap pendidikan dan latihan kemahiran.
  • Mudah berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran.
Kemiskinan sikap bukanlah satu bentuk kemiskinan yang boleh diukur secara langsung seperti kemiskinan pendapatan atau kemiskinan multidimensi. Namun, kesannya boleh dilihat dalam pola kehidupan masyarakat yang masih berada dalam keadaan serba kekurangan walaupun mereka mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan dan peluang ekonomi.
Kemiskinan sikap merupakan satu bentuk kemiskinan yang lebih sukar untuk diatasi berbanding kemiskinan ekonomi kerana ia melibatkan perubahan dalam pemikiran dan kepercayaan individu. Oleh itu, usaha untuk menangani kemiskinan sikap memerlukan pendekatan yang holistik, termasuk pendidikan berkualiti, motivasi sosial dan polisi yang mendorong sikap proaktif dalam kalangan masyarakat yang terjejas. Dengan intervensi yang tepat, kemiskinan sikap boleh dikurangkan dan seterusnya membantu mengurangkan kadar kemiskinan secara menyeluruh.
Strategi Mengatasi Kemiskinan Sikap
Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan 
Pelaburan dalam pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran telah terbukti dapat mengubah sikap dan meningkatkan keupayaan individu untuk berdikari. Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menekankan program pendidikan yang bukan sahaja memberi ilmu akademik tetapi juga membentuk mentaliti yang positif. Kursus keusahawanan, motivasi diri dan kepimpinan boleh membantu individu melihat potensi diri mereka.
Pendekatan Psikologi dan Sosial 
Intervensi psikologi seperti coaching dan program pemerkasaan sosial dapat membantu individu mengubah pemikiran mereka terhadap kejayaan. Pendidikan harus ditekankan sejak peringkat awal. Selain itu, program latihan kemahiran perlu diperluaskan untuk memberikan peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Galak Budaya Berdikari
Kerajaan boleh memperkenalkan dasar yang mendorong usaha sendiri dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan luar. Bantuan kewangan harus disertakan dengan program latihan dan bimbingan yang menggalakkan penerima bantuan untuk berdikari. Contohnya, skim mikro kredit yang memberikan modal kecil kepada golongan miskin untuk memulakan perniagaan.
Pengukuhan Komuniti dan Jaringan Sosial 
Jaringan sosial yang kuat dapat meningkatkan kepercayaan individu terhadap kebolehan mereka untuk keluar dari kemiskinan. Menyediakan mentor dari kalangan usahawan atau individu yang telah berjaya keluar dari kemiskinan untuk membimbing mereka yang masih bergelut dengan kehidupan. Program komuniti yang memperkasakan semangat kejiranan dan bantuan kendiri juga boleh menjadi platform untuk membangunkan sikap yang lebih proaktif.
Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan dan NGO, perubahan sebenar hanya akan berlaku apabila individu sendiri mempunyai kesedaran dan keinginan untuk berubah. Oleh itu, usaha menangani kemiskinan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek kewangan, tetapi juga kepada pembentukan mentaliti dan sikap yang lebih progresif.
Dengan pendidikan yang betul, sokongan yang efektif dan motivasi yang tinggi, masyarakat Malaysia boleh bersama-sama keluar dari kitaran kemiskinan dan menuju ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Kemiskinan sikap adalah satu dimensi kemiskinan yang sering diabaikan tetapi memainkan peranan besar dalam usaha pengurangan kemiskinan.
Kajian menunjukkan bahawa perubahan sikap melalui pendidikan, intervensi sosial dan polisi yang bersesuaian adalah penting untuk memastikan individu dan komuniti untuk keluar dari kitaran kemiskinan. Kajian lanjut diperlukan untuk memahami bagaimana pendekatan yang lebih efektif dapat dilaksanakan secara meluas dalam pelbagai konteks sosio-ekonomi. – UTUSAN
SITI Hadijah Che Mat ialah Felo di Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) dan Norzita Jamil ialah pensyarah Jabatan Ekonomi dan Perniagaan Tani di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×