Siapa yang layak teraju AMK?

Siapa yang layak teraju AMK?

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim disebut-sebut sebagai pengganti Adam Adli Abdul Halim dalam meneruskan legasi Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG pemilihan PKR yang tidak sampai tiga bulan lagi, sudah banyak persoalan dan desas-desus timbul.

Kali ini mata pemerhati politik tertumpu kepada salah satu sayap PKR, dalam perebutan jawatan ketua dan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) peringkat pusat.

Ini kerana peranan AMK dalam PKR cukup besar dan menjadi platform awal meraih sokongan terutama pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketika usia PKR yang mencecah hampir 25 tahun, pemimpin AMK bersilih ganti dan boleh dilihat reputasi mereka bermula daripada zaman Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor sehinggalah Adam Adli Abdul Halim.

Usia panjang ini penuh dengan pelbagai suka duka dan tidak ketinggalan kecaman yang bukan hanya daripada pembangkang tetapi di peringkat dalaman serta rakyat sendiri.

Sejak penubuhannya yang lalu, AMK telah melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik terutama ketika masih dikenali sebagai Pemuda Keadilan Nasional.

Walaupun kepimpinan AMK bertukar ganti dan sentiasa berubah, matlamat asal tetap dilaksanakan.

AMK perlu memahami definisi kejayaan parti dan menerapkannya dalam perancangan serta pelaksanaan beberapa dasar sosial untuk semua rakyat khususnya golongan belia.

AMK bukan sekadar sayap PKR tetapi juga memikul tanggungjawab melahirkan generasi pelapis politik yang berilmu dan berkaliber untuk menjadi pemimpin.

AMK yang ditubuhkan pada 4 April 1999 oleh Presiden Parti ketika itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi penggerak penting yang mengangkat kedudukan golongan muda daripada aspek ekonomi dan sosial.

Justeru, pemilihan PKR kali ini merupakan detik penting apabila anggota parti akan memilih kepimpinan baharu ketika Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat pertama kalinya.

Seandainya AMK gagal memainkan peranan, kesan semestinya turut terpalit pada Anwar.

Tidak dinafikan sebahagian besar dalam AMK mempunyai ramai tokoh berbakat dan berpotensi untuk mengetuai parti.

Tentu sahaja selain daripada mereka yang pernah mengetuai AMK sebelum ini, beberapa nama muncul di saat pemilihan parti yang kian hampir.

Antara calon yang disebut-sebut untuk menjadi pengganti Adam Adli ialah timbalannya, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Setakat ini, 14 negeri telah menyatakan sokongan terhadap beliau untuk bertanding bagi jawatan berkenaan.

Berpandukan sokongan dan mandat tersebut, ia memberi gambaran bahawa laluan beliau nampak mudah sekali gus berpotensi besar untuk menang.

Tanpa pencabar (seandainya) juga bermakna kemenangan beliau satu sejarah bagi AMK kerana tidak pernah berlaku situasi seperti ini.

Bagaimanapun siapa pemimpin yang betul-betul layak mengemudi AMK atau menjadi timbalan setakat ini? Adakah cukup sekadar berani dan berwibawa?

Sejak beberapa hari lalu tiada lagi kedengaran calon-calon pemimpin AMK yang mahu menjadi pencabarnya.

Cakap-cakap di peringkat dalaman mengatakan Ketua AMK Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari bakal berentap merebut jawatan tersebut atau mungkin beliau bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua AMK.

Di samping itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim juga disebut-sebut bertanding jawatan nombor dua itu.

Perkara yang sangat diharapkan rakyat dan ahli PKR terutamanya pada masa kini adalah barisan pemimpin yang mampu membawa perubahan dan kebaikan kepada keseluruhan sistem di negara ini.

Maknanya, siapa yang ‘naik’ nanti perlu berwibawa, lantang dan lebih berani menjadi AMK yang ‘baharu’. Dia juga perlu menonjol dan berkarisma berbanding Pemuda UMNO, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anak muda jangan sekadar beri pujian melambung kepada pemimpin atau lebih tepat menjadi kaki bodek terutama di saat prestasi Kerajaan Madani berada di kemuncak.

Berucaplah mengikut keadaan sebenar dan tegur segala kepincangan sekiranya ada.

BUKAN GOLONGAN ELITIS
Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib berkata, sekiranya pemimpin AMK terdiri daripada golongan biasa dan bukan golongan elitis, ideanya lebih segar dan dapat memahami isu rakyat secara tuntas.

“Jika golongan elit, kelebihannya mungkin daripada sumber dana dan jaringan. Namun, pandangan mereka mudah dipengaruhi unsur yang mempunyai kepentingan.

“Justeru, Muhammad Kamil antara calon yang sesuai. Namun, beliau perlu perlu atur strategi untuk diterima secara lebih meluas dalam kepimpinan, parti dan masyarakat.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, seseorang calon yang mahu bertanding untuk kedua-dua jawatan tersebut perlu daripada mereka yang tidak mempunyai sebarang pengaruh mahupun pertalian dengan pemimpin lain dalam parti.

“Kepimpinan akan datang perlukan mereka yang berjiwa rakyat. Muhammad Kamil nampak lebih popular tetapi dalam PKR pun ada juga pemimpin lain. Cuma sebahagian mungkin sudah melepasi tahap umur,” jelasnya.

Menurutnya lagi ia penting bagi mengelakkan ada yang terus memperkatakan tentang PKR dan membuat pelbagai dakwaan kononnya parti ini mengamalkan nepotisme.

AMK perlu mengambil peranan sebagai penggerak dan pengkritik terhadap sistem sedia ada dalam Kerajaan Madani.

Malah, AMK perlu lebih menonjol berbanding sayap pemuda dari komponen parti lain terutama dalam Kerajaan Perpaduan.

Walau apa pun, pemilihan kali ini penting untuk menarik golongan muda menyokong PKR dalam PRU16 nanti. Justeru, adalah lebih baik jawatan ini diberi kepada mereka yang bukan daripada silver spoon (orang kaya).

Generasi AMK yang berjaya melahirkan pemimpin sebagaimana Saidina Umar al-Khattab. Mereka yang terpilih perlu menjadi pencetus kepada parti untuk terus bertapak mentadbir negara dan menerima sokongan rakyat tanpa berbelah bagi.

Daripada sudut masyarakat pula, sudah pasti mereka menghormati, menghargai jasa dan pengorbanan kesungguhan pemimpin dalam mengangkat perjuangan rakyat.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×