Ruginya biar lailatul qadar berlalu

Ruginya biar lailatul qadar berlalu

SOLAT fardu secara berjemaah merupakan cara paling minimum untuk peroleh pahala malam al-qadr.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini sudah masuk hari ke-20 kita berpuasa. Maknanya kita sudah masuk ke fasa ketiga Ramadan. Fasa terpenting kerana di dalamnya terdapat malam al-qadr, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Sayangnya, tidak semua orang boleh memperolehnya melainkan mereka yang benar-benar ikhlas beribadat akan mendapatkan kelebihan itu. Ia ibarat kita menyertai lumba lari jarak jauh atau maraton.

Ramai peserta pada peringkat awal. Namun ramai yang tewas, gagal menamatkan larian. Kita berdoa, mudah-mudahan kita adalah dalam kalangan pelumba yang berjaya menamatkan larian dan mendapat medal sebagai pengiktirafan.

Kelebihan lailatul qadar disebutkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada Malam al-Qadar dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al- Qadr: 1-3)

Lama mana 1,000 bulan itu? Jika kita melaksanakan amal ibadah, maka kelebihan dan pahalanya sama dengan kira-kira 83 tahun.

Oleh itu, hanya orang tidak waras yang sanggup melepas atau membiarkan ‘tawaran luar biasa dikurniakan Allah untuk umat Nabi Muhammad SAW itu berlalu begitu sahaja? Tidakkah hati tidak terasa ditarik-tarik untuk memburu lailatul qadar itu?

Nabi Muhammad memberi contoh bagaimana baginda beribadat apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan. Ia dinyatakan menerusi hadis baginda SAW yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada 10 akhir (Ramadan), baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” (Riwayat Muslim)

Jangan pula kita jadi orang yang hanya sibuk mencari tanda malam lailatul qadar tetapi tidak melakukan persiapan menyambutnya. Dan sememangnya bilakah ia itu adalah rahsia Allah. Antara hikmahnya, supaya umat Islam berusaha dan beribadat dengan ikhlas terutama pada setiap 10 malam terakhir Ramadan.
Namun begitu. Imam Ghazali dan lain-lain ulama ada memberi petua untuk mencari lailatul qadar. Imam Ghazali menyebut malam lailatul qadar boleh ditemui berpandukan kepada tarikh permulaan puasa atau awal Ramadan, seperti kaedah berikut:
• Jika awal Ramadan pada hari Ahad atau Rabu: Lailatul qadarnya pada malam ke-29.
• Jika awal Ramadan pada hari Isnin: Lailatul qadarnya pada malam ke-21.
• Jika awal Ramadan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat: Lailatul qadarnya pada malam ke-27.
• Jika awal Ramadan pada hari Khamis: Lailatul qadarnya pada malam ke-25.
• Jika awal Ramadan pada hari Sabtu: Lailatul qadarnya pada malam ke-23.

Di dalam kitab Fath al-Bari ada disebutkan tentang 46 pandangan ulama mengenai bilakah malam lailatul qadar. Bagaimanapun, dikhabarkan sepanjang hayat baginda SAW berpuasa di Madinah selama sembilan tahun, lailatul qadar berlaku pada malam ke-27 sebanyak empat kali.
Ada juga berlaku pada malam 21, 23 dan 29. Malah ada juga berlaku pada malam genap iaitu malam ke-24. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam 24 Ramadan.” (Lihat Jami’ al-Saghir)

TINGKATKAN AMALAN
Orang beriman tidak akan melepaskan peluang mendapatkan ganjaran pahala berlipat kali ganda pada malam lailatul qadar. Untuk itu marilah kita melakukan ibadat-ibadat berikut mengikut kemampuan masing-masing.

Paling tidak pastikan solat fardu dilakukan secara berjemaah. Ini adalah cara paling minimum untuk kita beroleh pahala malam lailatul qadar. Yang penting hendaklah kita melazimi semua solat fardu berjemaah terutamanya solat Isyak diikuti solat tarawih dan witir bersama-sama imam.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. (Riwayat al-Tirmidzi)

Imam Malik menyebut dalam kitab al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan lailatul qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperoleh kebaikan malam itu.

Begitu juga yang dikatakan oleh Imam Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat isyak dan subuh pada malam al-qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya. (Lathaif al-Maarif, hal. 159).

Membanyakkan berdoa. Antara doa yang sabit dalam hadis Nabi Muhammad adalah sebagaimana diajarkan kepada isteri baginda SAW, Aisyah r.a iaitu: “Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu’annii (Ya Allah sesungguhnya Engkau bersifat Pengampun, Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.)” (Riwayat Tirmidzi)

Banyakkan membaca al-Quran. Satu huruf yang dibaca diganjari 10 kebaikan (pahala). Ia dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf dari kitab Allah, dia mendapat satu kebaikan dengan huruf itu dan satu kebaikan dilipatgandakan menjadi 10. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)

Bagi orang lelaki dianjurkan beriktikaf. Iktikaf adalah berada dalam masjid dengan syarat-syarat tertentu dengan niat semata-mata beribadah untuk Allah SWT. Iktikaf adalah saat untuk lebih mendekatkan diri pada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah.

Selain iktikaf, laksanakan qiamullail. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa sahaja yang mendirikan solat malam pada Ramadan, dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memperbanyakkan sedekah dan memberi makan kepada orang yang berbuka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut. (Riwayat al-Tirmidzi)

Antara isu yang sering dibahaskan adalah bagaimana wanita yang haid boleh beramal dalam 10 terakhir Ramadan seterusnya mencari malam lailatul qadar. Sebabnya, wanita begini tidak boleh solat dan puasa.

Ulama berbeza pandangan sama ada wanita haid boleh membaca al-Quran atau tidak. Ada yang mengharamkan dan ada yang mengharuskan.

Bagaimanapun, membaca al-Quran dalam bentuk zikir atau doa tidaklah dilarang ke atas wanita yang haid. Contohnya, membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah dan membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran.

Selain itu, bagi wanita yang haid disarankan banyakkan bersedekah. Dalam zaman yang serba canggih ini, amat mudah untuk bersedekah walaupun tanpa bertemu secara fizikal. Boleh sahaja kita membeli secara dalam talian dan dihantar ke rumah saudara mara atau jiran tetangga untuk dijadikan juadah berbuka puasa.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN