Perlu bijak tangani isu tiga penyampai radio

Perlu bijak tangani isu tiga penyampai radio

KONSEP saling menghormati satu sama lain di antara etnik pelbagai kaum sewajarnya dikekalkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini kita merasakan kehangatan di mana tiga orang penyampai radio dikatakan menghina penganut Hindu kerana menggayakan satu tarian yang kemudian disambut dengan lontaran nyanyian Vel Vel. Pada pendapat saya isu tarian bukanlah isu sebenar tetapi isu yang menjadi kemarahan beberapa pihak adalah sebutan Vel Vel.

Hanya salah faham
Tiga orang penyampai tersebut telah pun memohon maaf dan sewajarnya dimaafkan. Pada pandangan saya dan kebanyakan rakyat, kejadian asal bukanlah untuk mempersendakan penganut Hindu tetapi Azad Jasmin iaitu salah seorang penyampai radio menarikan tarian Paqueta untuk meraikan kemenangan jaguh muda Muay Thai negara yang berjaya menumbangkan Said El Matador dan menang Tali Pinggang Wilayah Pahlawan. Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, atau Miki telah mencipta satu kejayaan besar dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 apabila menumbangkan Said El Matador dari Maghribi yang berusia 25 tahun iaitu 10 tahun lebih berusia dari Miki sendiri.

Jangan katakan tiga orang penyampai tersebut, saya juga agak teruja dengan pencapaian Miki iaitu anak muda berusia 15 tahun yang berjaya mengalahkan lawannya yang digelar El-Matador dari Maghribi.

Ada apa dengan tarian Paqueta
Sebenarnya tarian Paqueta itu adalah tarian Miki Ghazali sebelum masuk gelanggang.

Sememangnya dalam sukan tempur seperti sukan tinju dan Muay Thai, mereka akan membuat pembukaan yang menunjukkan identiti peninju tersebut. Dalam kejadian yang menjadi hangat tersebut, salah seorang penyampai radio, Azad dilihat sedang menari tarian Paqueta.

Ia tidaklah menjadi masalah sehinggalah salah seorang rakan Azad melaungkan Vel! Vel!.

Saya ulang tonton beberapa kali video yang menunjukkan insiden tersebut memang nampak Nabil melaungkan Vel Vel. Kalau kita mendengar muzik tarian Paqueta kita juga akan dengar perkataan Vai, Vai disebut.

Tarian Paqueta adalah satu tarian yang dicipta oleh pemain bola sepak West Ham United iaitu Lucas Paqueta. Dikhabarkan juga bahawa Paqueta akan berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak England (FA) berikutan terlibat dalam isu atur perlawanan.

Semasa Azad menggayakan tarian tersebut dengan gelengan kepala yang dibuat oleh Azad adalah menyamai gelengan Miki dan ia hanyalah ‘parodi’ Azad semata-mata. Kita pun tahu Azad dan Nabil adalah pelawak cuma kadangkala dalam melawak perlu juga melihat kiri kanan.

Kenapa sehingga ke Batu Caves ? Atas arahan siapa? Kenapa perlu jumpa orang politik? Apa yang menjadi isu ini menjadi lebih hangat ialah Nabil Ahmad, Radin bersama Azad terpaksa membuat permohonan maaf sehingga ke Batu Caves. Siapa yang pandai-pandai mengarahkan tiga penyampai radio tersebut berjumpa Ketua Pemuda MIC dan meminta maaf? Atau dilakukan kerana panik mereka bertiga berusaha sendiri ke sana sedangkan kesalahan tersebut memang berpunca dari parodi terhadap tarian Paqueta yang dibuat oleh Miki Ghazali.

Saya lihat video tersebut merasa sedikit marah kerana tiga penyampai radio itu tidak mendapatkan kemaafan seperti yang diharapkan. Apa yang menghangatkan lagi keadaan ialah Ketua Pemuda MIC pula berkelakuan seolah-oleh tidak mahu memaafkan.

Keadaan tidak akan menjadi hangat jika tiga orang penyampai radio tersebut tidak pergi ke Batu Caves hendak memohon maaf. Akibatnya media-media sosial menjadi panas dan timbul soalan kenapa Cecilia Yap dan Harith Iskandar dalam isu Ham tidak pula diarahkan pergi ke masjid berhampiran mereka meminta maaf kepada imam masjid. Timbul juga isu kenapa tindakan terhadap tiga penyampai radio ini terlalu keras, digantung perkhidmatan dan diminta ke Bukit Aman dan sebagainya.

Dari kehangatan tersebut keluarlah berita bahawa dalam isu Ham Harith dan Cecelia Yap dikenakan kompaun RM10,000-00. Ini juga menjadi persoalan kepada sesetengah rakyat Malaysia kerana bilakah mereka didakwa, dibicarakan dan bila keputusan dibuat?

Dalam kes tiga penyampai radio ini, Surahanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) telah memanggil pengurusan tertinggi Astro pada hari Selasa lalu. Kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta tersebut.

Notis niat penggantungan lesen juga turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio tersebut. Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil. Pada saya, tindakan ini terlalu berat sedangkan ketiga-tiga penyampai radio ini telah memohon maaf sehinggakan ibadah Ramadan mereka pada hari tersebut juga terganggu.

Terlalu keras

Bagi saya, tindakan tiga penyampai radio tersebut pergi ke Batu Caves untuk meminta maaf adalah satu tindakan yang kurang bijak. Ini akan membawa kepada persoalan lain di mana jika ada pihak-pihak melakukan kesalahan yang sama perlu pergi minta maaf di masjid, gereja atau kuil Buddha pula?

Bertambah hangat bila bendahari MIC. Datuk Sivakumar Nadarajah seperti tidak ikhlas ketika menerima permohonan maaf daripada penyampai radio yang terlibat. Dalam budaya kita, apabila seseorang itu memohon maaf sewajarnya diterima permohonan maaf mereka, janganlah tunjuk ego yang menjadikan orang-orang Melayu marah dengan keadaan tersebut. Saya juga berpendapat memilih untuk berjumpa dengan Bendahari MIC di Batu Caves jelas menunjukkan pihak yang menyuruh berbuat demikian kurang cerdik dalam menangani isu tersebut kerana sebarang kemungkinan berlaku di Batu Caves akan menghangatkan lagi keadaan.

Layanan kurang enak dari Bendahari MIC di kaca mata orang-orang Melayu terhadap tiga penyampai radio tersebut akan memberi kesan ‘politik’ yang kurang baik kepada mana-mana calon MIC pada pilihan raya akan datang terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu.

Saya ingin juga menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak memuat naik sebarang kandungan-kandungan yang sensitif, yang melukakan perasaan orang lain terutamanya dalam perkara-perkara melibatkan isu 3R yang tidak sihat kepada perpaduan dan keamanan negara. Konsep saling menghormati satu sama lain di antara etnik pelbagai kaum sewajarnya dikekalkan.

Sebagai seorang yang berbangsa Melayu juga saya menasihatkan juga bangsa saya dalam membuat apa-apa tindakan, janganlah sampai merendahkan maruah bangsa kita sehingga terasa diri kita dihina di tanah tumpah darah nenek moyang kita sendiri. Saya juga berharap penggantungan tugas terhadap tiga penyampai radio tersebut dibatalkan. Mereka telah menjalankan tugas dengan baik selama ini.

Tidak wajarlah kerana sedikit salah faham ini mereka digantung tugas yang tidak pula dimaklumkan sampai bila.

Selamat berpuasa, semoga kita semua diberkati Allah, diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki. – UTUSAN

MOHAMMAD Shahray Zulkifli ialah bekas peguam syarie yang bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN