Perlu ada ihsan pada insan istimewa

Perlu ada ihsan pada insan istimewa

SAYANGI dan jagalah kita sesama umat tanpa mengira bangsa, pangkat, darjat, warna kulit dan keadaan fizikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kes seorang insan istimewa kategori ketidakupayaan mental menjadi mangsa serangan fizikal di sebuah pasar di Terengganu melalui video yang tular di media sosial. Dalam insiden tersebut, mangsa dipukul beramai-ramai di khalayak ramai. Susulan kes tersebut, pelaku telahpun diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Ini bukti jelas bila mana kuasa dan hukuman di ambil di tangan sendiri, manusia hilang pertimbangan, hilang sifat belas ihsan. Jangan mengambil tindakan menggunakan tangan sendiri, serah kepada undang-undang untuk menentukan keadilan.

Konsep Ihsan
Konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah semata-mata, malah ihsan juga merangkumi perbuatan dan perlakuan sesama manusia, sama ada bersangkutan perkara duniawi atau ukhrawi. Pentingnya ihsan, menurut al-Quran, salah satu ciri orang yang bertakwa adalah orang yang selalu berbuat ihsan dalam kehidupan sehariannya.

Ihsan adalah ibadah yang disertai sifat keinsafan rohani yang amat mendalam sehingga memiliki pengaruh secara moral. Nabi Muhammad menyuruh kita supaya melakukan ibadah seperti itu sebagaimana dalam sebuah hadis yang panjang dari Abu Hurairah, di mana Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi SAW dan di sana ada menyebut mengenai maksud ihsan. “Apakah itu ihsan? Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Aspek Kehidupan
Di tengah arus moden yang semakin laju, nilai ihsan dalam kehidupan seharian kian terpinggir. Ihsan, yang bermaksud melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya sambil menyedari kehadiran Allah, adalah tonggak penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan beretika. Namun, apakah kita sedar bahawa nilai ini semakin hilang dalam kehidupan kita?

Perkara ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dalam hubungan kekeluargaan, urusan pekerjaan, atau interaksi sosial. Sikap mementingkan diri sendiri, kurang peduli terhadap orang lain, dan budaya materialisme yang semakin menular menjadi penghalang kepada pengamalan ihsan. Sebagai contoh, berapa ramai daripada kita yang benar-benar mengambil berat tentang jiran tetangga? Atau adakah kita hanya sibuk dengan urusan sendiri tanpa mempedulikan nasib orang di sekeliling?

Dalam dunia pekerjaan, sikap ihsan seharusnya menjadi teras utama. Majikan yang mengamalkan ihsan akan memastikan kebajikan pekerjanya terjaga, manakala pekerja yang bersikap ihsan akan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mengabaikan tanggungjawab moral. Malangnya, terdapat kes-kes eksploitasi pekerja dan budaya kerja toksik yang jelas menunjukkan ketiadaan nilai ini.

Pendidikan juga memainkan peranan penting dalam menanamkan nilai ihsan dalam generasi muda. Institusi pendidikan bukan sekadar tempat untuk mengejar akademik semata-mata, tetapi juga medan untuk membentuk sahsiah pelajar. Guru dan ibu bapa perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap ihsan dalam setiap tindakan mereka.

Berbalik kepada kisah yang dikongsikan, insan istimewa tetap individu manusia yang memiliki hak dan keperluan yang sama seperti apa yang dimiliki dan dikecapi oleh individu normal yang lain seperti kita. Mereka berhak untuk hidup secara sihat dan disantuni dengan kebaikan.

Mereka berhak untuk dilayan secara adil dan mereka juga berhak untuk belajar, berkerjaya dan berkeluarga, sama seperti individu yang lain. Walaupun mereka itu berbeza dari segi keupayaan, namun mereka tidak berhak untuk dizalimi, dipukul, diperlakukan dengan kasar, disingkirkan mahupun disisihkan dari segi keadilan, hak dan keperluan mereka dalam masyarakat.

Islam melihat kedudukan individu manusia itu sebagai amat mulia tanpa perlu wujud perbezaan yang berdasarkan kepada kecantikan rupa paras dan fizikal, ataupun kelebihan pangkat dan kedudukan, harta mahupun keturunan. Selagi bernama manusia, ia masih memiliki aib yang perlu dipelihara, dijaga dan dihormati oleh setiap orang, walaupun ia memiliki keadaan rupa paras dan fizikal atau mental yang serba kekurangan.

Penghormatan yang perlu diberikan itu perlulah adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan pangkat, umur, gender dan sebagainya. Yang tua perlu dihormati dan disegani manakala yang muda pula perlu dikasihi dan disayangi. Inilah yang telah diajarkan oleh Islam sejak sekian lama.

Sebar Kebaikan
Sebagai iktibar, kita semua umat manusia perlu kembali merenung makna sebenar ihsan dan berusaha menghidupkannya dalam setiap aspek kehidupan. Langkah-langkah seperti meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen dan program motivasi, memperkukuh institusi keluarga, serta menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang menanam nilai kasih sayang dan empati harus menjadi keutamaan. Sayangi dan jagalah kita sesama umat tanpa mengira bangsa, pangkat, darjat, warna kulit dan keadaan fizikal.

Ketika mana ada pertelingkahan, kita selesaikan dengan cara yang baik mengikut ajaran Islam. Hidup bermasyarakat akan lebih aman dan harmoni.

Kedatangan bulan Ramadan ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan berbuat kebaikan, jadi baik dan sebarkan kebaikan. Harus diingat, penghayatan secara menyeluruh terhadap konsep ihsan membolehkan manusia mencapai matlamat yang diimpikan ke arah melahirkan individu bertakwa.

Marilah kita bersama-sama menyemai dan menyuburkan nilai ihsan dalam kehidupan harian, dengan berbuat baik sesama kita. Dengan mengamalkan ihsan, kita bukan sahaja membina peribadi yang mulia, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sejahtera dan berintegriti.

Kehilangan ihsan akan mengheret kita kembali ke zaman jahilliyyah. Jadi jangan biarkan ihsan terus hilang. Tindakan kita hari ini akan menentukan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan (Pentadbiran) di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×