MALAYSIA Madani adalah projek penjenamaan negara sebagai pendekatan strategik bagi membina persepsi positif dan menyatukan rakyat di bawah satu slogan yang diharapkan boleh memberi impak politik kepada parti pemerintah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia Madani merupakan ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Christopher S. Browning dalam bukunya, Nation Branding and International Politics menegaskan penjenamaan negara bukan sekadar alat pemasaran tetapi projek politik yang boleh mengukuhkan struktur kuasa sedia ada serta mempengaruhi status dan reputasi sesebuah negara di pentas dunia.
Malaysia Madani bertujuan untuk membina semula naratif negara bangsa yang kukuh sekali gus meyakinkan rakyat bahawa Anwar adalah agen reformasi yang bersedia memacu negara ini ke tahap yang lebih baik.
1Malaysia, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani membawa rencah yang cuba meyakinkan rakyat untuk memberi mandat yang besar kepada kerajaan agar dapat membina negara yang lebih baik.
Penjenamaan negara yang berjaya memerlukan keunikan yang autentik, yang boleh meyakinkan rakyat bahawa ini adalah sesuatu yang perlu disokong. 1Malaysia hampir berjaya, namun digagalkan oleh skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiap penjenamaan semula diperkenalkan dengan harapan ia dapat menjadi asas kepada pembinaan keyakinan rakyat terhadap polisi dan aktiviti kerajaan, meresap ke dalam minda rakyat sekali gus diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti pemerintah dalam pilihan raya akan datang.
Memasuki tahun ketiga pentadbiran Anwar, Malaysia Madani perlu menjalani proses retrospektif dan muhasabah diri mengukur sejauh mana jenama ini telah membantu meningkatkan penerimaan rakyat terhadap polisi dan agenda kerajaan.
Salah satu cara untuk menilai keberkesanan jenama ini adalah melalui Indeks Kebahagiaan Rakyat. Sebagai contoh, di negara maju seperti Denmark dan Finland, indeks kebahagiaan rakyat menjadi petunjuk utama kejayaan polisi kerajaan. Rakyat yang puas hati dengan sistem kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan akan lebih cenderung menyokong kerajaan.
Namun kita jangan terperangkap dengan unjuran indeks itu tanpa mengambil kira psikologi dan sosiologi setempat. Jalurnya mudah. Jika rakyat merasakan perkhidmatan kerajaan memberi impak positif kepada kehidupan mereka, maka jenama ini akan lebih mudah diterima dan dihargai. Justeru, kegembiraan rakyat harus dibingkaikan secara strategik oleh pasukan komunikasi kerajaan dalam setiap kementerian.
Oleh itu, kerajaan boleh mengadaptasi pendekatan ini dengan lebih proaktif dalam memastikan dasar-dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Namun, jika dilihat komentar dan reaksi rakyat di media sosial atau arus perdana, naratif Malaysia Madani memerlukan tindakan yang bersepadu lagi serius.
Hampir apa sahaja kenyataan pemimpin kerajaan biar pun dalam hal yang bukan politik mendapat reaksi negatif (ketawa, marah dan terkejut) melebihi reaksi suka. Ia satu senario yang hampir sama detik-detik akhir sebelum kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
MEMPERTEGUHKAN JENAMA
Memperteguhkan jenama Malaysia Madani berhadapan dengan situasi mencabar namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Malaysia Madani belum gagal, ia memerlukan keberanian dan penambahbaikan supaya jenama ini terus popular dan dirasai rakyat.
Ia tidak boleh sekadar ‘perniagaan seperti biasa’, dengan hanya melakukan perubahan kosmetik seperti penjenamaan semula nama bangunan, bantuan atau program yang bentuk dan ‘nafasnya’ hampir sama dengan jenama terdahulu.
Elemen paling penting ialah kadar pemahaman dan penerimaan dalam kalangan penjawat awam.Ia h terpenting kerana dari merekalah yang menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Penjawat awam mesti menampakkan kelainan yang boleh mengingatkan rakyat mengenai jenama enam teras Malaysia Madani.
Untuk memastikan jenama ini bukan sekadar slogan retorik, kerajaan perlu mengambil langkah strategik dalam memastikan ia benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang efektif dan efisien. Keberkesanan dasar kerajaan lebih penting berbanding slogan yang dilaungkan.
Bagi pembayar cukai, keutamaan diberikan kepada bagaimana wang mereka diterjemahkan dalam bentuk kemudahan asas seperti infrastruktur yang baik, capaian 5G yang meluas, hospital di kawasan luar bandar serta sistem pendidikan yang berdaya saing dan cukup untuk keperluan penduduk.
CABARAN KOMUNIKASI
Penjenamaan Madani mesti dibantu oleh pasukan komunikasi yang pantas kerana musuh pemerintah sentiasa akan terus mengancam dan memberikan serangan propaganda jahat. Dengan kelajuan penyebaran maklumat melalui algoritma media sosial, kerajaan perlu mempunyai mekanisme intervensi yang pantas dan berkesan.
Setiap kementerian mesti memiliki pasukan komunikasi yang bersedia menangani sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan reputasi kerajaan. Intervensi awal perlu dilakukan terhadap isu-isu sensitif, terutama berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) bagi memastikan kestabilan negara terpelihara.
Dalam konteks ini, taklimat harian yang dilaksanakan adalah langkah terpuji bagi memastikan maklumat tepat dapat disampaikan kepada rakyat serta menangkis sebarang salah faham atau fitnah yang berleluasa.
Sebenarnya penyebaran berita palsu dan fitnah boleh diatasi dengan jawapan dan pembuktian yang jelas. Paling penting, penyampaian yang tidak terlalu kompleks kerana ia mesti difahami dan dicerna rakyat.
Cabaran terbesar ialah pengherotan makna yang boleh menyebabkan sesuatu berita positif pun menjadi negatif apabila dipaparkan secara negatif.
Ini memerlukan sinergi antara pasukan komunikasi dan pembuat polisi supaya bergerak seiring agar jenama Madani tidak bergantung kepada sebutan semata-mata, tetapi sejauh mana rakyat terkait dan merasa bangga dengan nilai madani yang dikongsi bersama.
Kalau dibingkaikan dengan sempurna, jawatan Kepengerusian ASEAN juga boleh dikaitkan dengan nilai Malaysia Madani. Contohnya perjuangan isu Rohingya, seruan kepada Myanmar agar menyelesaikan konflik dalaman dan menggalakkan penyelesaian secara dialog adalah nilai yang terangkum dalam Malaysia Madani. Dengan naratif dan promosi yang terancang, nilai madani boleh dibawa ke peringkat global.
Dengan strategi komunikasi yang mantap dan dasar yang relevan, Madani boleh menjadi lebih daripada sekadar jenama tetapi legasi kepimpinan yang diingati oleh generasi akan datang.-UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.










