Perjuangan 1,085 tahun Al-Azhar tidak akan padam

Perjuangan 1,085 tahun Al-Azhar tidak akan padam

ALUMNI Universiti Al-Azhar berperanan dalam menyebarkan ilmu dan menegakkan nilai-nilai Islam yang sejati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari Al-Azhar Sedunia diadakan pada 7 Ramadan setiap tahun dan ia disambut dengan meriah sebagai memperingati penubuhan universiti berkenan pada tahun 361 Hijrah (972 Masihi). Kini, universiti itu mencapai usia lebih 1,085 tahun.

Sambutan perayaan ini diadakan untuk mengiktiraf peranan besar Al-Azhar dalam menyebarkan ilmu dan menegakkan nilai-nilai Islam yang sejati.

Sepanjang kewujudannya, Al-Azhar menjadi rujukan utama umat Islam seluruh dunia, melahirkan ribuan ulama, pemikir dan cendekiawan yang memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat serta memperkukuh kefahaman Islam yang sahih.

Melalui sistem pendidikan yang holistik, Al-Azhar terus memberi sumbangan besar dalam membentuk pemikiran yang moderat, menentang ekstremisme, mempromosikan toleransi serta keamanan sejagat.

Sebagai institusi keilmuan Islam tertua dan paling berpengaruh, Al-Azhar tetap relevan dalam dunia moden sebagai pusat pendidikan, pemikiran Islam dan dakwah global.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia adalah satu penghargaan terhadap sumbangan besar institusi itu dalam memastikan ilmu Islam terus berkembang serta membentuk masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam yang sejati.

Detik bersejarah ini dirasai oleh alumni Al-Azhar seluruh dunia khususnya Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar (WOAG) yang akan mengadakan Sambutan Hari al-Azhar Sedunia 2025M/1446H pada 15 Mac ini sempena genap 1,085 tahun penubuhan universiti terulung Islam ini.

Mengambil inspirasi dari wakil Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Abdul al-Rahman al-Dhuwaini menegaskan, perayaan ini bukan sekadar mengenang berdirinya universiti itu tetapi menjadi momentum bagi umat Islam untuk memperbaharui hubungan dengan institusi ini dan para ulamanya.

Sesungguhnya Al-Azhar tidak pernah berhenti menebarkan cahaya ilmu dan dakwah ke seluruh dunia, sekali gus berperanan dalam melawan berbagai bentuk ketidakadilan.

Dalam era ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar ini, peranan Al-Azhar menjadi lebih signifikan sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melahirkan ulama tetapi juga pemimpin yang mampu menghadapi pelbagai isu kontemporari dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia adalah platform untuk meraikan warisan ilmu dan keunggulan Al-Azhar serta mengukuhkan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam untuk terus bersama-sama menegakkan prinsip-prinsip Islam yang adil dan membawa rahmat kepada seluruh alam.

Al-Azhar al-Sharif adalah institusi Islam yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu dan pemeliharaan tradisi keilmuan Islam sejak lebih daripada seribu tahun. Sebagai pusat keilmuan dan ketamadunan Islam, Al-Azhar bukan sahaja berperanan dalam pendidikan agama tetapi juga dalam membentuk pemikiran Islam yang moderat dan inklusif.

Amat cakna dengan masalah dan isu-isu yang melanda umat Islam, Sheikh al-Azhar, Al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed al-Tayyeb menyeru negara-negara Islam untuk bersatu dan menangani cabaran semasa melalui persefahaman serta kerjasama erat.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hukama Muslimin menekankan dunia Islam sedang berdepan krisis nyata, dengan umat Islam ditindas di pelbagai wilayah seluruh dunia. Satu-satunya cara untuk menangani cabaran ini adalah melalui perpaduan negara-negara Islam, tanpa mengira geografi atau fahaman politik.

Peranan utama Al-Azhar dalam dunia Islam adalah pusat pendidikan dan keilmuan Islam, yang mana merupakan pusat pendidikan Islam tertua yang mengajarkan ilmu-ilmu tradisional seperti tafsir, hadis, usul fiqh, kalam dan falsafah Islam.

Sistem pengajiannya yang bersandarkan kepada sanad dan halaqah membentuk generasi ulama yang berwibawa.

Al-Azhar terkenal sebagai benteng kepada pemikiran Islam yang sederhana (wasatiyyah) dan memelihara pemikiran Islam moderat serta menolak ekstremisme dan fanatisme yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam.

Fatwa-fatwa dan pandangan ulama Al-Azhar sering menjadi rujukan dalam menangani isu-isu kontemporari. Hubungan akademik dengan pelbagai universiti dan institusi Islam di peringkat global terjalin kukuh. Malah, melalui para mahasiswa antarabangsa yang menuntut ilmu di Al-Azhar, institusi ini berjaya menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia.

MASA HADAPAN ALUMNI DI MALAYSIA
Alumni Al-Azhar di Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan intelektual dan keagamaan negara.

Namun ia turut berhadapan dengan beberapa cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan sumbangan mereka terus relevan dan berkesan. Antaranya persaingan dalam pasaran kerja di mana sering berdepan dengan persaingan daripada graduan institusi lain, terutama dalam sektor pekerjaan yang berkaitan dengan syariah, dakwah, pendidikan Islam dan lain-lain.

Menghadapi cabaran ini, alumni al-Azhar dituntut menguasai kemahiran tambahan kerana dalam era moden, hanya menguasai ilmu agama sahaja tidak mencukupi.

Alumni perlu menguasai kemahiran tambahan seperti teknologi, komunikasi dan keusahawanan agar lebih berdaya saing.

Menurut Pensyarah Keusahawanan Digital, Dr. Dzulkarnain Musa, dalam dunia yang bergerak sepantas kilat, kemahiran digital bukan lagi sekadar kelebihan ia adalah keperluan. Malah menguasai teknologi bukan hanya tentang kekal relevan, tetapi lebih kepada membina masa depan yang lebih cerah.

Tanggapan stereotaip terhadap graduan Al-Azhar perlu dibuang dan mereka perlu membuktikan ia kurang tepat. Ada yang membuat tanggapan graduan Al-Azhar hanya sesuai dalam bidang agama semata-mata.

Jika perkara ini masih berlegar dalam minda sesetengah masyarakat pasti mencalar reputasi serta kebolehpasaran sedangkan mereka juga berpotensi dalam pelbagai bidang lain seperti pentadbiran, ekonomi Islam, diplomasi dan lain-lain.

Sebenarnya melangkah ke dunia pekerjaan hari ini bukan lagi tentang persoalan kelulusan akademik yang cemerlang dalam pelbagai disiplin ilmu semata-mata. Tetapi ia tentang keupayaan untuk beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan teknologi. Di dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi, menjadikan kemahiran digital ramuan utama untuk berjaya.

Alumni Al-Azhar perlu lebih proaktif dalam menangani isu-isu semasa seperti ekstremisme, Islamofobia dan cabaran sosial di Malaysia dengan pendekatan yang lebih intelektual dan berwibawa.

WOAG Malaysia membuka ruang seluas-luasnya kepada para alumni memainkan peranan yang lebih aktif dalam memperkasa graduan Al-Azhar melalui program pembangunan profesional, kajian ilmiah dan penglibatan dalam dasar kerajaan dan aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.-UTUSAN

 

  • PROFESOR Dr. Mustaffa Abdullah ialah Setiausaha Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dan Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN