Pantau tadbir urus di sektor awam, swasta

Pantau tadbir urus di sektor awam, swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA kerja yang baik dan berintegriti juga adalah dituntut dalam agama dan sebagai setiap organisasi perlu memberikan contoh baik serta mengamalkan sikap beramanah dan berintegriti. Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan idea Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada tahun 2004 berperanan melalui tiga fungsi teras utama merangkumi aspek pendidikan, advokasi dan latihan, penyelidikan dan penerbitan serta kerjasama strategik dengan pemegang taruh dari pelbagai bidang.

IIM juga diberikan peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tata kelola sektor awam dan swasta bagi membantu negara dalam merealisasikan objektif untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Salah satu program yang popular dan patut dipuji yang dilaksanakan oleh IIM adalah Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA). AIGA ialah inisiatif oleh IIM yang bertujuan mengiktiraf organisasi dalam sektor awam dan swasta yang menunjukkan komitmen tinggi menambahbaik landskap dalam membudayakan ekosistem integriti, tadbir urus terbaik, dan inisiatif antirasuah dalam operasi sistem dalaman semua industri di negara ini.

AIGA bermula sebagai projek rintis di Pahang pada 2020 dengan hanya 41 penyertaan. Berikutan hasil yang sangat memberangsangkan, program ini dibawa ke peringkat kebangsaan pada 2022. Pada 2023, terdapat 154 penyertaan daripada sektor awam dan swasta, menunjukkan peningkatan kesedaran dan minat organisasi dalam menyertai AIGA.

AIGA 2025 membawa pembaharuan di mana penyertaan dibahagikan kepada dua kategori utama:

Sektor Awam: Termasuk kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, universiti awam, dan setaraf.

Sektor Swasta: Meliputi entiti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, universiti swasta, institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan setaraf.

Bagi memastikan penyertaan dalam AIGA selari dengan pencapaian objektif Pelan Antirasuah Nasional (NACS), IIM menetapkan keperluan pematuhan kepada standard yang tinggi seperti MS ISO 37001 dan Garis Panduan Tatacara Mencukupi. Ini memastikan organisasi yang menyertai bukan sahaja mematuhi piawaian integriti tetapi juga menjadikan budaya integriti sebagai teras dalam pentadbiran mereka. Selain itu, penilaian yang dilakukan dalam AIGA menyediakan data dan bukti keberkesanan usaha pembanterasan rasuah, membantu kerajaan menilai kemajuan strategi NACS.

Menurut IIM tahun ini, terdapat 202 organisasi termasuk 131 sektor awam dan 71 sektor swasta yang mendaftar untuk dinilai prestasi integriti, tadbir urus terbaik, dan inisiatif antirasuah. Ia merupakan satu rekod dan juga organsasi baik awam atau swasta tentang kewujudan proses berterusan untuk menilai keberkesanan dan integriti sistem kawalan dalaman melalui pengenalpastian, penilaian dan pengurusan risiko.

Dari segi impak, penyertaan dalam AIGA meningkatkan kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi serta memperbaiki pengurusan risiko organisasi. Selain itu, penyertaan AIGA dapat menyumbang kepada peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dengan menetapkan standard tinggi dan menggalakkan ketelusan, sekali gus memperbaiki imej negara di peringkat antarabangsa.

Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam CPI bagi tahun 2024, dengan skor 50 mata. Kedudukan terbaharu itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia. Walaupun Malaysia kekal di kedudukan seperti tahun lalu dan memperoleh skor sama, kerajaan mempunyai visi untuk mencapai kedudukan antara 25 negara teratas di dunia menjelang 2033. Ini bermakna Malaysia perlu memperoleh penambahan 16 mata kepada skor 68 hingga 70 daripada 100 mata untuk mencapai sasaran berkenaan. Peranan IIM juga sangat penting agar semua organisasi memastikan tadbir urus terbaik, dan inisiatif antirasuah dilaksanakan dengan sistematik. Insya-Allah, sasaran ini boleh dicapai bila semua peringkat organisasi melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan telus dan berintegriti.

Anugerah Platinum AIGA yang berprestij telah dianugerahkan kepada organisasi cemerlang yang menunjukkan keunggulan dalam integriti dan tadbir urus. SD Guthrie Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Berhad) telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Platinum AIGA 2023, manakala Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) menerima pengiktirafan tersebut dalam AIGA 2022.

Pemenang Anugerah Platinum (Anugerah Perdana Menteri) akan menerima Piala Pusingan serta pakej produk dan perkhidmatan IIM bernilai RM50,000. Pemenang Anugerah Emas, Perak, dan Gangsa masing-masing akan menerima piala dan sijil penyertaan.

Menurut Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE): Report to Nation 2024, setiap organisasi akan hilang lima peratus disebabkan ketirisan dan penipuan. Oleh itu, dengan diperkuatkan kawalan dalaman di dalam sesebuah organisasi dapat mengurangkan kadar penipuan dan ketirisan. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kerugian RM277 bilion berdasarkan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun 2018 hingga 2023. Angka ini terlalu besar dan seharusnya diselamatkan dan digunakan untuk membantu rakyat dan meningkat infrastruktur awam seperti membaiki sekolah dan hospital.

Melalui AIGA juga sekurang-kurangnya organisasi dapat menilai prestasi dan kekebalan kawalan dalaman masing-masing dan menambahbaik landskap dalam membudayakan ekosistem integriti dan seterusnya mengurangkan kadar rasuah di negara tercinta ini. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Profesor dan Pengarah di Institut Jenayah dan Kriminologi, Universiti HELP selain merupakan Presiden Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×