Fahami keutamaan ibadat Ramadan

Fahami keutamaan ibadat Ramadan

JANGAN tinggalkan solat sunat rawatib kerana kedudukannya lebih utama berbanding solat tarawih yang datang sekali setahun dalam Ramadan. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini sudah enam hari kita berpuasa. Alhamdulillah, dengan keamanan yang dinikmati dan juga limpahan rezeki, umat Islam di Malaysia dapat melaksanakan rukun Islam ketiga itu dengan tenang.

Kita boleh bersahur tanpa sebarang gangguan dan boleh juga berbuka dengan pelbagai juadah mengikut selera. Bayangkan kesukaran dan ujian yang dihadapi oleh saudara seagama kita di Palestin terutama di Gaza. Bulan-bulan biasa dan Ramadan tidak banyak beza.

Walaupun sudah dilaksana gencatan senjata, Israel masih menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan. Menyebabkan bekalan makanan yang disumbangkan tidak dapat masuk ke Gaza.

Jika anak-anak kita bertanya apa yang ada untuk berbuka puasa, soalan yang amat meruntun perasaan pernah ditanya oleh seorang kanak-kanak perempuan Palestin dalam satu panggilan telefon yang dipancarkan di siaran televisyen.

Soalannya lebih kurang begini: “Wahai Sheikh, adakah saya berdosa tidak berbuka puasa dan salahkah saya berpuasa sepanjang hari kerana tiada satu pun makanan untuk saya berbuka?”.

Sheikh tersebut tidak dapat menjawab soalan. Sebaliknya beliau menangis mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut yang mewakili ribuan anak-anak di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman serangan Zionis.

Di Malaysia, sejak 1 Ramadan masjid-masjid dipenuhi jemaah. Selain diimarahkan dengan solat fardu dan tarawih, hampir semua masjid menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari. Begitulah nikmatnya berada di bumi bertuah Malaysia.

Kini, terpulang kepada kita sama ada mahu turut sama dalam pesta ibadat atau membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja. Bagi orang beriman, Ramadan adalah bulan luar biasa. Bulan Allah mengurniakan pelbagai rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya.

Lebih penting, ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Riwayat al-Bukhari)

Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Dalam beribadat sepanjang Ramadan ingatlah nasihat para salafus soleh yang berkata: “Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan.”
Ulama berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan.

Antaranya, ulama kontemporari tersohor, Allahyarham Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi sering mengungkapkan atau menulis dalam artikel mereka perkataan ini: Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan. Maksudnya, berbuat baik bukan hanya bermusim.

KEUTAMAAN IBADAT
Tidak dinafikan, ibadat paling utama dalam Ramadan masih solat fardu lima waktu sehari semalam. Sebab itu, dalam mendidik anak, ibu bapa jangan tersilap memberi keutamaan. Jangan hanya suruh anak puasa tetapi tidak kisah jika anak itu tidak solat fardu.

Ulama telah mengeluarkan pelbagai pendapat. Sebilangannya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan bayar zakat.

Sebahagian lain berpendapat hanya orang yang meninggalkan sembahyang menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan: Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.

Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.

ELAKKAN BERBOHONG
Demikian juga elakkan perbuatan berbohong sama ada dalam tutur kata ataupun melalui laman-laman sosial.

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mendefinisikan berbohong sebagai memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. (Fath Al-Bari, Ibn Hajar 1/201).

Menurut Imam Al-Nawawi pula, berbohong adalah: “Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaannya yang sebenar, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang’’. (Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi).

Berbohong juga termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar. Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta. (al-Hajj: 30)

Berdasarkan ayat ini, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala. Oleh itu, kedua-duanya dianggap sebagai sama dari sudut keduanya adalah dosa besar.

Berbohong semasa berpuasa menjadikan dosa orang itu bertambah beratnya. Justeru, melakukan dosa seperti berbohong dalam Ramadan lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan ia lebih berat di sisi Tuhan.

Nabi SAW turut mencela golongan terbabit. Ia berdasarkan hadis baginda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengan pembohongan maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum. (Riwayat al-Bukhari)

SOLAT SUNAT RAWATIB LEBIH UTAMA
Dalam kita bersemangat menunaikan solat tarawih, jangan kita terpedaya. Hakikatnya, solat sunat rawatib itu kedudukannya lebih utama berbanding solat tarawih yang datang sekali setahun dalam Ramadan.

Untuk itu, rebutlah peluang tunaikan solat tarawih dan juga solat-solat rawatib. Yang muakkadnya sebanyak 12 rakaat – dua rakaat sebelum Subuh, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat lepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib serta dua rakaat selepas Isyak.

Amatlah rugi mensia-siakan kesempatan jika kita mengabaikan solat-solat rawatib ini terutamanya solat sunat qabliah (sebelum) fardu subuh.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dua rakaat sebelum solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya. (Riwayat Muslim)

Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah atau bersendirian. Namun, ganjaran bagi yang mendirikannya secara berjemaah adalah sungguh luar biasa.

Ia dinyatakan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang solat qiam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiam sepanjang malam. (Riwayat al-Tirmidzi)

Mana mungkin, kita insan yang lemah ini mampu beribadat sepanjang malam. Namun, dengan keberkatan Ramadan, Allah memberi kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW mendapat pahala berlipat kali ganda walaupun dengan amalan sedikit.

Hadis ini juga memberi kefahaman kepada kita jika imam itu mendirikan solat tarawih 20 rakaat dan tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan semua rakaat tersebut bersama imam. Ini jika mereka ingin mendapat fadilat pahala solat sepanjang malam.

Demikian juga, jika imam mendirikan solat tarawih lapan rakaat disusuli tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.

Pokoknya, hendaklah solat bersama imam hingga ke akhir. Bukannya melunaskan solat witir bersendirian di rumah dengan alasan mahu mengerjakan solat tahajud kelak.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN