TANGGAL 25 Mac ini bersamaan 24 Ramadan akan berlangsung acara World #QuranHour 2025. Bagi tahun ini pihak penganjur, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memilih Surah Al-Saff (Surah ke-61) sebagai tema sambutan. Makalah ini merupakan cebisan daripada tafsir surah buat bacaan umum.
Surah ini mendapat judulnya daripada ayat 4. Perkataan saff bermakna barisan yang teratur rapi. Ayat tersebut berbunyi: “Sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi bagaikan mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Maka dengan makna tersebut iaitu barisan yang teratur rapi, jelaslah judul surah ini melambangkan semangat dan roh disiplin yang tinggi dituntut oleh Allah ke atas umat Islam.
Kitab suci al-Quran menyuruh orang-orang Islam supaya menjadi umat paling berdisplin di dunia dalam semua bidang kehidupan. Suruhan ini adalah selaras dengan pencirian umat Islam sebagai umat terbaik (khayra ummatin) seperti yang dijelaskan dalam al-Quran dalam Surah Aali Imran (3), ayat 110.
Dari perspektif al-Quran terdapat pertalian rapat antara hidup bermasyarakat yang penuh disiplin dan kedudukan sebagai umat terbaik. Umat Islam akan muncul sebagai umat terbaik di dunia hanya dengan memenuhi tiga syarat utama yang digariskan dalam ayat tersebut.
Tiga syarat tersebut adalah kegigihan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, kesungguhan dalam melarang daripada segala perkara salah (yakni buruk dan keji) dan beriman kepada Allah.
Penghayatan ketiga-tiga syarat ini akan membentuk dan mencorakkan kehidupan berdisiplin di peringkat individu dan juga masyarakat.
Ia bersifat menyeluruh sekali gus merujuk disiplin badan, akal, jiwa dan hati kalbu. Berkat prinsip tauhid yang menyatupadukan kepelbagaian dan juga berkat amal ibadat menurut ajaran syariah menjadi sumber disiplin dalam kehidupan dunia. Maka keempat-empat disiplin ini terjalin dalam suatu kesatuan sehingga melahirkan insan sempurna.
Dengan itu dapat disimpulkan salah satu ciri penting umat terbaik ialah memiliki budaya berdisiplin. Dalam bahasa dan budaya Melayu dipanggil beradab. Keseluruhan manifestasi budaya beradab ini disebut peradaban yang membawa erti sama dengan tamadun. Dengan kata lain bangsa yang ingin menjadi bangsa bertamadun tinggi haruslah memupuk semangat dan kualiti disiplin bermasyarakat yang tinggi.
UMMAH
Sangatlah menarik bahawa aspek budaya berdisiplin yang ditonjolkan dalam Surah al-Saff sebagai ciri keumatan atau ummah tulen ialah tentang sifat jujur, benar (siddiq) dan ikhlas. Tetapi penegasan tentang budaya berdisiplin berkaitan cara menonjolkan sifat-sifat yang berlawanan dengan jujur, berwibawa dan ikhlas.
Sikap tidak jujur, tidak berwibawa dan tidak ikhlas merupakan sifat-sifat tidak baik dikaitkan dengan kelakuan tidak mengotakan apa yang diperkatakan, sebagaimana yang disebut dalam ayat 2 surah ini.
Ayat ini menyoal orang-orang beriman mengapa mereka tidak mengotakan apa yang mereka katakan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya?” Ayat ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman dan tentunya ia membawa pengertian dan kepentingan tersendiri.
Perkara yang dibangkitkan dalam ayat ini ialah isu kelakuan manusia yang memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakan apa yang dikatakan. Kelakuan manusia seperti ini patut dijauhi oleh orang-orang beriman kerana seperti yang ditegaskan dalam ayat berikutnya (ayat 3) kelakuan ini adalah dibenci Allah.
Tambah lagi kelakuan buruk ini jelas bertentangan dengan sifat-sifat orang beriman sebagaimana digariskan dalam al-Quran.
Allah mencintai orang-orang yang beriman kerana akhlak mereka di sisi-Nya dan masyarakat adalah terpuji lagi indah.
Ada banyak sebab mengapa dari perspektif Islam kelakuan manusia memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakannya dianggap sebagai kelakuan buruk yang dibenci Allah. Salah satu sebabnya yang ketara, sifat tidak jujur, tidak ikhlas dan tidak berwibawa. Tiga sifat ini boleh menghakis keupayaan memenuhi kriteria umat terbaik.
Sikap sebegini juga memberi kesan besar kerana ia boleh memporak-perandakan masyarakat. Ini adalah kerana berpegang teguh pada kata-kata manusia merupakan salah satu syarat asasi tertegaknya peraturan hidup dan undang-undang yang dapat menjamin ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.
Ucapan dan perbuatan seharusnya iring mengiringi antara satu sama lain. Tanpa keselarasan antara keduanya kepimpinan menerusi teladan tidak mungkin tercapai.
Agama khasnya mengutamakan konsep kepimpinan menerusi teladan kerana ia tidak dapat ditegakkan tanpa kepimpinan seperti itu. Dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Islam di kota Mekah dan kota Madinah, Nabi Muhammad SAW menunjukkan dengan jelas ciri-ciri, corak dan gaya kepimpinan menerusi teladan.
Dalam kehidupan Nabi Muhammad tidak terdapat sebarang percanggahan antara ucapan dan perbuatan. Oleh sebab itu, kepimpinannya paling berkesan. Sebagai akibatnya Nabi Muhammad berjaya membangunkan budaya kepengikutan luar biasa yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.
Daripada menjadi pengikut-pengikut baginda, para sahabatnya muncul selepasnya sebagai para pemimpin terkemuka dalam pelbagai lapangan kehidupan sehingga berjaya menakluki dunia.
Allah mahu orang-orang beriman memimpin dunia. Maka, Dia menganjurkan supaya mereka menjadi umat berdisiplin yang melayakkan mereka digelar umat terbaik sambil memperingatkan kelakuan memperkatakan sesuatu tetapi tidak memperkotakannya adalah berlawanan dengan budaya disiplin yang hendak ditegakkan agama Islam. Inilah di antara hikmah yang terkandung dalam ayat seruan kepada orang-orang beriman (Surah al-Saff, ayat 2).
EPISTEMOLOGI
Dalam al-Quran terdapat lebih daripada 80 ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman!”
Menurut epistemologi (teori ilmu) tauhidi yang saya fahami dan perjuangkan, setiap ayat dalam kategori ini membawa maksud ia merupakan program Ilahi untuk dihayati dan diperjuangkan oleh umat Islam.
Dengan kata lain ayat-ayat ini bertujuan antara lain untuk memandu umat Islam ke arah pencapaian matlamat sebagai umat cemerlang dan gemilang.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










