“DAN ada pula yang berkata, ‘Bagaimana fikiran yang terbatas kekuatannya akan dapat menguasai perkara yang tiada batasnya?’ Fikiran ada batasnya tetapi fikiran bukanlah fikiran jika dia tidak cuba hendak melampaui batas larangan itu.” – Buya Hamka.
Ramai orang yang mengalami tindak balas spontan, melatah malah merenta saat isu sensitif melibatkan sentimen keagamaan dibangkitkan.
Tidak kira penganut agama apa sekalipun, ramai yang berfikir bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk membela kesucian agama masing-masing.
Fikiran begini meskipun wajar dan munasabah, namun harus juga dibatasi dengan rasa hormat dan toleransi kepada komuniti agama lain. Tanpa batasan yang berpasakkan rasa hormat, naluri melindungi yang ada berkemungkinan menjadi sebab perpecahan dan bukannya penyatuan.
Kerana itu, saya melihat ada banyak iktibar yang boleh diambil daripada video tular melibatkan penyampai radio Era FM baru-baru ini.
Bukan saja tentang keperluan ahli masyarakat menjaga sensitiviti hidup dalam negara majmuk yang diikat norma sosial tersendiri, tetapi juga bagaimana kerendahan hati memohon maaf mampu mencerminkan ketinggian budi seseorang itu.
Walaupun ramai yang mengeji dan mengecam tindakan mereka, namun keberanian penyampai-penyampai radio yang terlibat memohon maaf tanpa berdolak-dalik menghidupkan prinsip ‘hilang kepala kura-kura ditelan oleh dadanya’.
Dalam pada Malaysia menyaksikan cabaran untuk mengimbangi rasa hormat antara pelbagai komuniti agama yang hidup bersama di dalam negara ini, di serata dunia pula sambutan Ramadan dilihat mendapat fokus bukan sahaja dalam kalangan penganut agama Islam, tetapi juga bukan Islam.
Bahkan di media sosial, pelbagai trend yang menular menunjukkan minat komuniti bukan Islam mencuba berpuasa bersama dengan komuniti Muslim.
Di New York, penganjuran majlis berbuka puasa dan solat tarawih diadakan di Times Square sejak 2022 lagi bagi mengumpulkan komuniti Islam di Amerika Syarikat (AS) dan menyerlahkan lagi semangat perpaduan dan toleransi di negara itu.
Di United Kingdom (UK) pula, sejak tahun lalu lagi, Windsor Castle telah menganjurkan majlis berbuka puasa secara terbuka sebagai isyarat meraikan kepelbagaian agama dan menggalakkan dialog antara agama.
Sentimen keterbukaan dan toleransi ini perlu dihayati oleh 33 juta orang rakyat Malaysia yang bernaung di dalam negara ini. Sebagai sebuah negara bangsa yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Malaysia juga mementingkan keharmonian dalam amalan beragama.
Selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, agama selain Islam layak diamalkan secara harmoni dan aman.
Meskipun negara tidak pernah melalui fasa ‘darurat’ melibatkan isu agama, namun setiap pertelingkahan kecil yang timbul menyemai rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat. Ketidak puasan ini dikhuatiri diperalat menjadi bahan bakar dalam kempen-kempen politik sehingga mampu mencairkan sejarah integrasi nasional yang menjadi pasak negara.
Bagi memastikan isu malar seperti perbezaan pegangan agama dan ekspresi budaya dapat dikendalikan dengan baik, Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan sejak tahun 1969 sebagai reaksi kepada insiden 13 Mei. Antara mandat besar yang dimainkan jabatan ini adalah menggarap dasar dan program penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Harapan ini sejajar dengan komitmen yang baru diberikan oleh KPN. Dalam sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara minggu ini, Timbalan Menteri KPN mengumumkan fokus utama kepada ‘Harmoni Dalam kepelbagaian’. Maka, kini KPN wajib mengotakan janji.
Kerangka perundangan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah termaktub bagi menjamin hukuman kepada mana-mana orang yang melukakan perasaan agama masyarakat majmuk.
PERANAN PEMPENGARUH
Model ini harus juga dilengkapi melalui jalan halus untuk menyemai semangat muhibah.
Oleh sebab itu, biarpun pelbagai pihak cuba membangkitkan isu keagamaan, tetapi semangat yang ditunjukkan oleh beberapa orang pempengaruh media sosial dalam memartabatkan perpaduan nasional perlu dipuji dan diserlahkan.
Ada pempengaruh yang menonjolkan silang budaya yang wujud dalam masyarakat majmuk di serata Malaysia. Selain itu, ada pula pencipta kandungan media sosial yang mengambil jalan sebagai penjalin harmoni dengan memuat naik kandungan berkisarkan toleransi.
Sewajarnya pempengaruh media sosial sosial yang mencipta kandungan berkualiti diangkat dan diserlahkan lagi khususnya bagi mengimbangi sentimen tidak puas hati yang menular dalam masyarakat sehingga mewujudkan mentaliti minda terkepung dalam sesuatu komuniti.
Islam bukan saja mendidik umat agama suci ini untuk menghormati kemuliaan agama tetapi juga meraikan fikiran yang waras dan matang bagi menerapkan teladan yang baik dalam menghormati sensitiviti agama dan budaya majmuk.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










