DONALD Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) sebanyak dua kali iaitu pada 2017 dan 20 Januari lalu.
Belum sampai sebulan Trump menjadi Presiden, beliau membuat beberapa dasar yang tidak masuk akal sehingga menjadi kemarahan dunia termasuk sekutunya sendiri.
Trump juga berhasrat hendak menjadikan Kanada negeri ke- 51 AS. Baginya, Kanada tidak layak menjadi sebuah negara sebaliknya sebuah negeri milik AS.
Orang kanan Trump yang baharu, Elon Musk menggelar Perdana Menteri Kanada sebagai Encik Governor. Jika di Malaysia jawatan itu adalah menteri besar. Musk adalah sekutu kuat Trump di dalam kerajaan baharu ini.
TINDAKAN ‘GILA’ TRUMP
Trump menyatakan AS menghabiskan terlalu banyak wang yang pada anggapannya sebagai subsidi kepada Kanada dan Mexico. Kedua-dua negara tersebut juga menjadi sumber kepada aktiviti haram yang mana imigran dari negara itu masuk secara haram ke AS dan melakukan aktiviti haram termasuk penyeludupan dadah.
Trump mengenakan kenaikan 25 peratus tarif kepada barangan yang diimport dari kedua-dua negara tersebut. Kedua-dua negara tadi ingin berunding dengan Trump tetapi ditolak menyebabkan mereka juga bertindak balas dengan menaikkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dan perkhidmatan AS ke negara mereka.
Jelas tindakan Trump, seolah ‘raja dunia’ mendatangkan kemarahan kepada dua negara yang berjiran dengan AS. Selang dua tiga hari selepas itu, Trump mengumumkan penangguhan sementara terhadap tarif berkenaan kerana mendakwa menghubungi pemimpin kedua-kedua negara tersebut dan mencapai kata sepakat dalam banyak perkara.
DASAR TERHADAP PALESTIN DIKECAM
Trump baru-baru ini bertemu Perdana Menteri Israel. Benjamin Netanyahu dan mengumumkan untuk mengosongkan Gaza dengan menghalau penduduk ke Jordan dan Mesir. Trump bercadang untuk mengambil alih dan selepas membangunkan Gaza, penduduk tidak dibenarkan kembali. Trump seolah-olah mengganggap negara-negara asing termasuk Palestin sebagai harta miliknya yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Niatnya ini mendatangkan rasa mual dan loya dalam kalangan sekutunya dan mereka membantah keras cadangan tersebut. United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali dan Australia menentang cadangan mengarut tersebut.
Sementara Malaysia dan Indonesia sudah tentulah membantah idea gila ini. Malaysia sebelum perjumpaan Trump dan Netanyahu sudah bercadang untuk membangunkan Gaza dengan bantuan negara lain seperti Jepun.
Dunia tidak membenci AS tetapi tindakan presiden-presidennya termasuk Trump. Keadaan ini mengucar-ngacirkan White House dan setiausaha akhbar Trump membuat penafian dengan menyatakan pemindahan yang dikatakan terhadap peududuk Gaza hanya sementara. Negara-negara yang memang dari asalnya tidak suka dengan dasar luar AS seperti Cina dan Russia sudah tentulah sentiasa membantah.
Cadangan Trump ini bukanlah idea baharu kerana semasa pentadbirannya kali pertama pada 2017 hingga 2020, beliau sudah merancang melalui Abraham Accord untuk memindahkan penduduk Gaza ke Sinai, Mesir. Semasa rancangan itu, negara-negara Arab bersedia berunding dengan AS dengan empat dari negara tersebut bersetuju mengiktiraf Israel dalam rancangan itu.
Tetapi kali ini, kesemua negara Arab yang sebelum ini menjadi sekutu dalam diam menjadi ‘anak jantan’ membantah AS dengan lantang. Menurut Trump, AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza untuk membersihkan semua bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya di sana. Trump juga bercadang untuk membangunkan Gaza, mencipta ribuan peluang pekerjaan dan menjadikannya kebanggaan di Timur Tengah.
Trump ingin menjadikan Gaza ‘rumah’ kepada masyarakat dunia dan mahu menjadikannya Riviera Timur Tengah. Pemindahan secara paksa penduduk Gaza akan mencetuskan satu lagi pembersihan etnik yang menyedihkan. Kita sebagai rakyat Malaysia hanya mampu menghulurkan bantuan dan terus berdoa agar Palestin dapat dibebaskan dari kekejaman AS dan Israel yang semakin menggila.
SEJARAH SEBAGAI RENUNGAN
Sebelum 1948, Israel tidak wujud di muka bumi ini. Orang Yahudi tinggal di serata Eropah dan Amerika tetapi melalui Deklarasi Balfour iaitu pada asalnya merupakan sepucuk surat yang dikirimkan pada 1917 oleh Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour yang menyatakan sokongan kepada penubuhan negara Yahudi di Palestin. Deklarasi ini adalah kunci yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel dan siri-siri keganasan yang tiada kesudahannya terhadap rakyat Palestin.
Deklarasi Balfour yang mengandungi 67 patah perkataan tersebut dibentang dan diluluskan oleh Parlimen British pada 2 November 2017 menjadi tragedi hitam rakyat Palestin.
Deklarasi Balfour inilah yang membawa kepada pembersihan etnik rakyat Palestin dalam peristiwa Nakba atau tragedi Dier Yassin pada 19 April 1948 dan membawa kepada penubuhan negara Israel pada tahun tersebut. Palestin kehilangan kedaulatan atas tindakan puak Israel yang secara konsisten melakukan kekejaman selain menafikan hak mereka sebagai rakyat Palestin.
Satu lagi peristiwa yang tidak boleh dilupakan ialah peristiwa 16 hingga 18 September 1982 yang berlaku di kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila, Beirut apabila militian Lubnan secara sistematik menyembelih pelarian yang terperangkap dalam kepungan tentera Israel.
Pada tiga hari tersebut, dianggarkan antara 460 dan 3,500 orang awam kebanyakannya penduduk Palestin terbunuh. Ariel Sharon sebagai Menteri Pertahanan Israel pada masa itu dikatakan terlibat secara langsung dalam kekejaman tersebut dan digelar ‘pemyembelih Beirut’ dalam kalangan orang Arab.
Sharon dengan angkuh menyatakan: “Orang Palestin mesti dibantai dan ia mestilah sangat menyakitkan. Kita mesti menyebabkan kehilangan, kematian supaya mereka merasakan harga yang sangat tinggi.”
Sharon kemudiannya dipecat sebagai Menteri Pertahanan tetapi pada 2001 hingga 2006, beliau menjadi Perdana Menteri Israel.
Hampir lebih 40 tahun berlalu, tiada siapa pun ditangkap atas kekejaman itu. Selepas peristiwa itu, beberapa lagi tragedi berlaku antaranya ialah tragedi Jenin pada 2004. Pada 22 Mac 2004, Sheikh Ahmad Yassin, seorang tokoh Mujahid Palestin telah syahid.
Tentera Hamas melakukan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengakibatkan kematian lebih daripada 1,200 orang di pihak Israel dan dilaporkan juga sekurang-kurangnya 46,788 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Kerana ini jugalah, Trump ingin mengambil alih Gaza yang mana pada pandangan saya akan memberi kesan kepada ekonomi AS sendiri.
Sepatutnya AS menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat mereka yang merempat tiada rumah, yang sakit tidak mampu membayar bil hospital dan tiada makanan daripada membantu Israel melakukan kekejaman terhadap Palestin sejak dari tahun 1948 lagi.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas Peguam Syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.










