PADA Isnin lalu, di Masjid Putra, Putrajaya, satu mercu tanda keagamaan berlangsung. Majlis Ilmu Madani yang diserikan dengan kehadiran seorang tokoh terkemuka dalam dunia Islam, iaitu Imam dan Khatib Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’id Sabri.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan semangat perjuangan umat Islam dalam mempertahankan kedudukan Masjid Al-Aqsa dan Baitulmuqaddis, malah turut menekankan usaha pemulihan Gaza serta peningkatan hubungan dalam bidang ilmu dan pendidikan antara negara.
Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memohon kerjasama rakyat Malaysia untuk meneruskan agenda, menunjukkan ihsan, tanggungjawab dan meringankan beban umat Islam yang terkesan, sama ada di Gaza atau Baitulmuqaddis.
Beliau menekankan keperluan untuk melibatkan pemain institusi pendidikan negara dalam menjalin hubungan strategik dengan Universiti Al-Quds, sebagai usaha memperkukuhkan aktiviti pendidikan dan pemulihan institusi di Baitulmuqaddis.
Salah satu aspek utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri dalam majlis ini adalah selain daripada bantuan pemulihan Gaza, kerajaan juga melancarkan inisiatif bantuan wakaf khusus untuk institusi pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis.
Bantuan ini merangkumi sokongan untuk Jamiah Al-Quds, Universiti Al-Quds serta madrasah-madrasah dan hospital di kawasan tersebut sebagai satu langkah strategik bagi memastikan kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin, sekali gus mengekalkan warisan sejarah dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Ekrima sendiri turut menyampaikan sebuah tazkirah yang penuh inspirasi. Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh umat Islam untuk meninggalkan ‘jejak’ di bumi suci Baitulmuqaddis. Beliau mengingatkan Masjid Al-Aqsa dan Baitulmuqaddis adalah amanah yang perlu dipelihara dan dikembangkan, seumpama Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Ekrima menekankan pentingnya sokongan umat Islam bukan sahaja daripada negara Arab, tetapi juga dari negara-negara lain untuk membantu setiap projek yang bertujuan mengukuhkan keislaman di kota tersebut. Beliau juga menegaskan bantuan yang berterusan adalah penting dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin serta dalam proses pemulihan Gaza.
Sesungguhnya usaha memperjuangkan dan memulihkan kedudukan Masjid Al-Aqsa serta institusi pendidikan di Baitulmuqaddis adalah penting kerana Baitulmuqaddis bukan sahaja simbol sejarah kejayaan umat Islam seperti Isra’ Mikraj dan kepimpinan tokoh seperti Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayubi, malah merupakan lambang keagungan keislaman yang harus dipertahankan daripada pencerobohan dan penjajahan.
Dengan mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tempatan dan Universiti Al-Quds, diharapkan akan terjalin pertukaran ilmu dan penyelidikan bersama yang memberi manfaat kepada umat Islam secara menyeluruh.
Bantuan yang dilancarkan menunjukkan keprihatinan global umat Islam terhadap penderitaan di Gaza dan Baitulmuqaddis. Ini mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam menyelesaikan masalah kemanusiaan.
Dalam menyokong cadangan bantuan tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, turut memberikan respon positif.
Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi cadangan penubuhan tabung pendidikan khas yang akan membantu Universiti Al-Quds dan institusi seumpamanya di Baitulmuqaddis.
Zambry memaklumkan Perdana Menteri meminta beliau memperhalusi lagi cadangan penubuhan tabung pendidikan berkaitan Universiti Al-Quds dan beliau sudah bertemu rektor Universiti Al-Quds untuk berkongsi bagaimana dapat membantu mereka.
Malah Menteri KPT itu turut berkata akan mengumumkan pendekatan terbaik untuk membantu Universiti Al-Quds sebaik perbincangan dan penelitian lanjut dilaksanakan.
Sementara Mohd Na’im pula menekankan bantuan ini adalah manifestasi nilai kemanusiaan yang harus dianut oleh setiap negara Islam dalam menghadapi cabaran global dan memastikan keamanan serta keharmonian umat.
Cadangan bantuan ini dijangka dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan di Malaysia dengan Universiti Al-Quds, membuka ruang bagi penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan perkongsian pengetahuan.
Bantuan kewangan dan sokongan institusi akan membantu dalam pemulihan dan penambahbaikan infrastruktur di Baitulmuqaddis, menjadikan institusi tersebut lebih mampan dan berdaya saing.
Langkah ini juga berfungsi sebagai simbolik kepada semangat perpaduan umat Islam dengan menunjukkan negara-negara Islam bersedia untuk saling membantu demi mencapai kemajuan bersama.
Majlis Ilmu Madani yang berlangsung di Putrajaya menjadi wadah penting bagi menyuarakan semangat perpaduan dan perjuangan umat Islam. Dari ucapan Perdana Menteri yang menyeru peningkatan kerjasama nasional dan global, kepada tazkirah penuh inspirasi oleh Ekrima serta cadangan bantuan khas untuk Universiti Al-Quds, semua inisiatif ini menggambarkan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak umat Palestin dan mengukuhkan keislaman di Baitulmuqaddis.
Seruan Perdana Menteri ini disusuli oleh Menteri KPT dan Menteri Agama yang menambah lagi momentum dengan cadangan konkrit untuk menubuhkan tabung pendidikan khas, yang mana ia diharapkan dapat meringankan beban institusi pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis serta meningkatkan pertalian ilmu antara negara.
Pada peringkat peribadi pula, selepas majlis ini berakhir terdapat sebuah foto tular dalam media sosial memaparkan Perdana Menteri dengan penuh hormat memimpin Ekrima memasuki Masjid Putra.
Tindakan ini dilihat sebagai satu simbol penghargaan yang mendalam daripada Perdana Menteri terhadap ilmuan Islam yang berusia dan berpengaruh itu, yang telah banyak menyumbang kepada perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa serta keilmuan Islam di peringkat antarabangsa.
Gambar tersebut mendapat perhatian ramai, mencerminkan nilai ihsan dan penghormatan terhadap para ulama dalam budaya Islam serta peranan Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin agama dari seluruh dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah mahasiswi tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).










