Tangani kesan kecerdasan buatan terhadap pekerjaan

Tangani kesan kecerdasan buatan terhadap pekerjaan

Mulai 1 Januari depan, semua kontrak kerja (penggajian) yang dimuktadkan dikenakan duti setem selaras dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN fasa pertama Kajian Impak AI, Digitalisasi dan Ekonomi Hijau Terhadap Pasaran Kerja yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) serta pihak industri, kira-kira 600,000 pekerja dikenal pasti memerlukan pemahiran semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kesan daripada perkembangan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau.

Antara sektor strategik yang dijangka menerima kesan langsung akibat perkembangan teknologi AI ialah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan perniagaan global, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, perniagaan borong dan runcit, peranti perubatan serta tenaga dan kuasa.

Selain itu, tinjauan Ipsos Predictions 2025 di 33 negara mendapati Malaysia antara negara mencatatkan kebimbangan tertinggi terhadap kehilangan pekerjaan akibat perkembangan AI apabila hampir 73 peratus responden dari Malaysia percaya AI akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan yang ketara, berbanding purata global iaitu 65 peratus.

Ternyata kemunculan teknologi AI mula memberikan impak besar kepada pelbagai sektor pekerjaan selain kehidupan manusia secara menyeluruh. Ironinya, kita tidak mempunyai pilihan selain beradaptasi dengan kemajuan teknologi terkini lantas segera mengubah sikap, pemikiran dan cara kerja supaya terus kekal relevan.

Misalnya, pelancaran syarikat teknologi AI dari China, DeepSeek yang dilihat sebagai sebuah model AI kos efektif sekali gus digambarkan bakal mengubah landskap teknologi Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengintegrasikan penyelesaian teknologi itu ke dalam operasi mereka.

Maka secara umumnya tsunami AI yang sedang melanda negara dan dunia mula mencetuskan persoalan serius apa nasib para pekerja jika tidak bersedia sepenuhnya untuk beradaptasi dengan teknologi AI yang dilihat sebagai pemangkin penting peningkatan produktiviti dan prestasi setiap organisasi dan sektor ekonomi secara keseluruhannya.

Hakikatnya, AI tidak boleh dilihat sebagai ancaman kepada manusia sebaliknya perlu diakui menyediakan peluang besar untuk setiap individu meningkatkan potensi dan kemahiran diri sekali gus memberikan sumbangan lebih signifikan terhadap peningkatan prestasi organisasi.

Maka setiap individu perlu melihat AI dari perspektif yang positif dan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan segera. Baik pelajar universiti, graduan yang sedang mencari pekerjaan mahupun kelompok pekerja sedia ada dalam pasaran kerja perlu mengambil tindakan segera jika tidak mahu menjadi mangsa AI dan ketinggalan dengan perubahan teknologi yang sedang melanda dunia.

Pelajar yang masih di kampus misalnya perlu cakna, mengikut rapat perkembangan semasa seterusnya menilai dengan sewajarnya apa sedang berlaku di semua sektor pekerjaan terutamanya pekerja berkemahiran apa yang diperlukan oleh majikan pada ketika ini dan masa hadapan.

Gunakan ruang, peluang dan masa yang ada untuk menambah kemahiran dan pengetahuan dalam teknologi AI sebelum melangkah keluar dan memasuki dunia pekerjaan.

Bakal graduan perlu ambil inisiatif untuk mengikuti kursus sambilan dalam bidang ini bagi memperlengkapkan kemahiran diri seperti diperlukan majikan kelak. Pihak institusi pendidikan tinggi (IPT) juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan kursus-kursus elektif yang boleh jadi nilai tambah kepada graduan mereka.

Sewajarnya para pelajar ambil peduli jenis-jenis teknologi yang akan berkembang pesat dalam masa lima tahun akan datang dan bagaimana teknologi itu bakal memberikan kesan kepada bidang pengajian dan pekerjaan yang bakal mereka ceburi kelak.

Graduan yang sedang mencari pekerjaan juga perlu ambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran diri dalam bidang ini. Percayalah antara perkara yang akan diteliti oleh majikan semasa sesi temuduga pada ketika ini ialah apa nilai tambah yang kita miliki khususnya kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.

Jadi sambil mencari pekerjaan gunakan masa yang ada untuk mengikuti kelas atau kursus secara sambilan termasuk menggunakan kemudahan platform dalam talian untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan masing-masing.

Manakala golongan pekerja sedia ada perlu sedar mereka tidak punyai banyak masa mahupun pilihan. Suka atau tidak kita perlu segera beradaptasi dan sedia untuk berubah mengikut arus perkembangan dan kemajuan teknologi terkini.

Justeru, pekerja perlu bersikap positif dan terbuka menerima kejutan dan tsunami teknologi AI ini lantas mempersiapkan diri untuk terus kekal relevan di organisasi masing-masing.

Bincang dengan majikan dan bersedia untuk mengikuti kursus kemahiran yang diperlukan selain latihan sambil belajar bersama rakan setugas lain yang mahir. Peranan dan sokongan majikan cukup penting yakni perlu memberi suntikan motivasi dan galakan kepada pekerja terutama kelompok senior untuk belajar kemahiran baharu.

Majikan perlu sediakan dana secukupnya untuk melaksanakan latihan dan proses pemahiran semula kepada pekerja supaya mereka dapat peluang untuk menimba ilmu dan kemahiran baharu diperlukan oleh organisasi. Para majikan juga perlu sedar teknologi hanyalah alat untuk meningkatkan produktiviti melalui automasi dan bukan bertindak sebagai pengganti kecerdikan manusia.

Kerajaan sudah mula menghantar pegawai kanan kerajaan untuk menjalani latihan AI di India secara berfasa sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan kerajaan. Ini sudah semestinya akan membantu menjayakan agenda transformasi perkhidmatan awam ke arah pendigitalan bagi memudahkan rakyat mengakses kepada pelbagai kemudahan sedia ada di sektor kerajaan.

Hakikatnya, Malaysia kini berada dalam era di mana teknologi bukan lagi sekadar alat yang menyokong kemajuan, tetapi menjadi pemacu utama perubahan. Teknologi AI khususnya sudah menjadi asas inovasi yang mengubah industri, mentransformasikan ekonomi serta mentakrifkan semula masyarakat. Maka kita akan ketinggalan jauh jika tidak berubah dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi ini.

Para pekerja perlu elak menjadi mangsa tsunami teknologi AI sebaliknya sedari kelebihan bidang ini lantas segera lengkapkan diri dengan kemahiran diperlukan sekali gus memacu kecemerlangan diri dan organisasi. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN