Premis kerajaan wajib suci sepanjang masa

Premis kerajaan wajib suci sepanjang masa

LARANGAN mengadakan majlis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) perlu dilihat dari sudut positif memandangkan ramai pelajar dan guru sekolah yang terdiri daripada kaum Melayu-Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERSEBAR berita panas dalam kalangan etnik Cina berkaitan larangan penganjuran majlis di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).

Ini kerana dewan sekolah digunakan untuk jamuan sempena perkahwinan dan pertemuan oleh etnik Cina.

Pada kebanyakan masa, makanan etnik Cina yang tidak halal bersekali minuman keras dihidangkan untuk para jemputan yang kesemuanya terdiri daripada etnik bukan Melayu-Islam, khususnya Cina. Dalam pada ini, tidak dinafikan kadang-kadang terdapat juga makanan halal disediakan untuk tetamu Melayu-Islam yang dijemput hadir.

Sebenarnya majlis begini sudah lama wujud. Ia tidak menjadi isu hangat sebelum ini kerana tidak pun diketahui banyak pihak. Ia begitu kerana pada dahulunya warga kerja SJKC dan SMJK rata-ratanya terdiri daripada hanya etnik bukan Melayu-Islam, khususnya Cina.

Kini keadaannya berbeza dengan bukan sahaja warga kerjanya terdiri daripada ramai yang daripada etnik Melayu-Islam tetapi ramai pelajar Melayu bersekolah di sana.

Dengan keadaan yang sudah banyak berubah ini, premis SJKC dan SMJK tidak boleh lagi sewenang-wenangnya digunakan untuk majlis sedemikian. Ini kerana didapati rata-ratanya melibatkan hidangan tidak halal walaupun untuk etnik bukan Melayu-Islam sahaja. Antaranya untuk jamuan perkahwinan bagi acara persendirian, mahupun pertemuan tahunan bagi pertubuhan tertentu semasa musim Tahun Baharu Cina.

Sehubungan isu ini, SJKC dan SMJK adalah institusi pendidikan kerajaan atau setidak-tidaknya institusi pendidikan bantuan kerajaan. Ini bermakna ia entiti rasmi negara yang tertakluk kepada protokol rasmi negara. Antara yang terpenting ialah kod adab, etika dan seumpamanya yang sifatnya wajib Melayu-Islam, selain menghormati persetujuan etnik yang telah dicapai bersama.

Dengan protokol sebegini yang sama-sama dipersetujui oleh etnik bukan Melayu dalam apa yang dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial atau lebih tepat lagi Perjanjian Etnik 1955, moraliti nasional untuk semua yang menghuni Malaysia, termasuklah etnik bukan Melayu-Islam ikut terkawal oleh ajaran Islam selaku agama persekutuan di negara ini.

Sehubungan moraliti nasional ini, kelakuan, akhlak, kebaikan, kehormatan, keunggulan dan segala macam yang seumpamanya, wajib bersifat Melayu-Islam apabila membabitkan urusan rasmi dan formal negara.

Malangnya ia yang semudah ini sebenarnya masih tidak dapat pun difahami dengan baik oleh etnik bukan Melayu-Islam, apatah lagi dengan logik yang penuh kerasionalan.

Hal ini yang kurang, malah tidak difahami langsung adalah antaranya kerana integrasi sebagai petua penyatuan kita semua yang pelbagai etnisiti tidak berlaku dengan berjaya. Sepatutnya setelah sekian lama kita semua hidup bersama sesudah tertubuhnya negara berdaulat ini, kita sudah sekurang-kurangnya mempunyai kepintaran praktikal, iaitu akal kecil untuk tidak melakukan hal sedemikian.

Antaranya menghidangkan makanan dan minuman tidak halal di premis rasmi negara, waima untuk yang bukan Melayu-Islam sahaja yang merupakan hanya hadirinnya.

Sebaliknya, kalaulah integrasi itu berlaku dengan jayanya, kita tentu akan mendapati etnik bukan Melayu-Islam sendiri tanpa disuruh, apatah lagi ditegur, memastikan moraliti nasional yang berteraskan Melayu-Islam bukan sahaja selalu dipatuhi. Juga diapresiasi pada setiap masa.

Ini kerana mereka setelah melalui integrasi yang berjaya ke dalam struktur sosial Melayu, antaranya yang berkenaan Islam, akan memahami bahawa babi dan segala yang terjadi daripada haiwan itu, termasuk makanan adalah najis. Malah yang berat pula dalam agama itu.

Dengan ini, daging babi yang dihidangkan di SJKC dan SMJK akan menjadikan kedua-dua premis itu tidak suci pada tempat terbabit. Ini akan menyebabkan solat etnik Melayu-Islam yang bekerja dan belajar di sana tidak sah. Antaranya apabila pakaian, anggota badan mereka terkena waima hanya bekas babi di tempat makanan itu dihidangkan.

Untuk memastikan kekotoran najis berat ini tiada lagi, premis terbabit khususnya pada tempat yang digunakan itu, wajib disucikan melalui samak. Ia adalah perbuatan mencuci secara tuntas mengikut ritual Islam agar tempat itu suci semula. Ini penting sekali untuk memastikan solat yang didirikan etnik Melayu-Islam sah.

Arak pula adalah haram dalam Islam. Ini bermakna umat Islam wajib menjauhkan diri mereka daripadanya dalam apa-apa bentuk jua, termasuklah terkena walaupun bekasnya. Ia juga dianggap sebagai najis. Justeru tidak suci di sisi ajaran Islam dan anggota badan serta pakaian yang terkena arak wajib dibersihkan secara ritual Islam agar solat yang didiirikan itu absah.

Dengan adanya penjelasan ini walaupun ringkas, etnik Cina sewajarnya memahami asas larangan premis SJKC dan SMJK pada mana-mana tempatnya, digunakan untuk jamuan yang menghidangkan makanan berbabi dan minuman arak.

Oleh itu, tidak patut sama sekali ia mahu dibantah, apatah lagi dengan keras pula. Ini kerana etnik Cina akan kelihatan bukan sahaja tidak sensitif terhadap entiti Melayu-Islam yang menjadi tunjang kepada segala apa yang ada di negara ini. Juga mereka langsung tidak mahu bertimbang rasa dalam mempermudah urusan keagamaan etnik Melayu-Islam sebagai pemilik bumi Melayu-Islam ini.

HORMATI TITAH
Sehubungan ini, ada keperluan merujuk titah Ketua Negara sejurus sahaja baginda menaiki takhta tentang pengamatan Tuanku. Ia berkenaan gejala generasi hari ini yang masih tidak memahami budaya etnik lain setelah hampir tujuh dekad tertubuhnya negara ini.

Titah itu bukan sahaja relevan sekali, juga sangat tepat bagi sesetengah pihak untuk berasa insaf melalui peribahasa Melayu balik ke pangkal setelah sesat di hujung jalan. Oleh itu, ia wajib ditaati.

Dengan ini, etnik bukan Melayu-Islam, antaranya Cina hendaklah sedar, malah insaf untuk melakukan perkara betul setelah silap. Ia tidak lain ialah berintegrasilah sebaik-baiknya ke dalam struktur sosial Melayu. Ini penting agar keberadaan mereka di negara Melayu-Islam ini bertunjangkan takwil peribahasa Melayu ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. –UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×