Peranan perpustakaan tidak ketinggalan di era teknologi

Peranan perpustakaan tidak ketinggalan di era teknologi

PERPUSTAKAAN Dar al-Hikmah menjadi pusat rujukan yang tidak ternilai bagi komuniti akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan alumni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDAPATKAN bahan rujukan Islam yang berkualiti sering menjadi cabaran bagi pelajar, pensyarah dan penyelidik, terutamanya apabila sumber tersebut jarang ditemui atau tidak mudah diakses.

Namun, dengan kemajuan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI), pencarian maklumat menjadi lebih mudah dan efektif. Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sentiasa berusaha untuk memudahkan akses pengguna. Salah satu inisiatif utama ialah pustakawan mencipta klasifikasi panggilan baharu, Sistem Klasifikasi Perpustakaan UIAM (ICSI). Sistem ini direka khas untuk memastikan koleksi Islam di perpustakaan diklasifikasi dengan lebih terperinci, memudahkan pengguna untuk mencari bahan yang diperlukan.

Melalui ICSI, bahan Islam dikategorikan dengan lebih sistematik, mengikut topik-topik seperti Quran dan sunnah, fiq, usuluddin, halal, undang-undang, perubatan dan lain- lain. Ini adalah salah satu langkah proaktif perpustakaan dalam memperkayakan pengalaman pengguna serta menyokong pengajian dan penyelidikan dalam bidang Islam.

Kelas literasi maklumat juga ditawarkan kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran pencarian bahan rujukan. Di dalam kelas literasi maklumat, salah satu perkara penting yang dikongsi ialah mengajar pengguna cara mencari bahan rujukan dengan efektif.

Kelas-kelas ini membantu pengguna memahami cara menggunakan perpustakaan dan sumber-sumber yang ada dengan lebih baik. Selain itu, perpustakaan juga mempromosikan koleksi terbaharu melalui media sosial, e-mel dan platform seperti Telegram, WhatsApp dan sebagainya. Ini akan memastikan pengguna sentiasa mendapat maklumat terkini tentang buku-buku yang tersedia di perpustakaan.

Teknologi AI memainkan peranan penting dalam membantu mencari maklumat dengan lebih cepat dan tepat. Platform AI kini mampu menapis sumber yang banyak dan memberikan hasil pencarian yang relevan berdasarkan topik tertentu, termasuk rujukan Islamiyah.

Namun, keberkesanan AI dalam memberikan rujukan yang benar-benar sahih dan boleh dipercayai masih memerlukan pengesahan manusia, terutama dalam konteks agama dan rujukan Islam.

Sebagai contoh, seorang graduan yang sedang menyiapkan tugasan mengenai undang-undang perbankan Islam boleh menggunakan aplikasi AI untuk memulakan pencarian. Graduan ini akan memasukkan kata kunci seperti ‘perbankan Islam’, ‘undang-undang syariah’, atau ‘murabahah’ ke dalam aplikasi tersebut.
Aplikasi AI akan mengimbas pelbagai pangkalan data dan memberikan senarai artikel, jurnal, dan buku yang relevan untuk tugasan tersebut.

Sebagai hasilnya, aplikasi mungkin akan mengesyorkan artikel daripada jurnal ilmiah, buku teks terkemuka atau laporan kajian terkini yang diterbitkan sarjana dalam bidang perbankan Islam. Graduan kemudian boleh menggunakan senarai ini sebagai asas untuk kajian dan merangka struktur tugasan, sambil memastikan mereka merujuk kepada sumber yang betul.

Walaupun aplikasi AI dapat membantu graduan dalam mencari bahan dengan cepat dan cekap, mereka juga harus berhati-hati untuk memastikan rujukan yang diberikan adalah sahih dan berkredibiliti. AI mungkin mencadangkan rujukan yang belum melalui proses semakan pakar atau bahan yang kurang tepat, terutamanya dalam bidang yang sensitif seperti agama dan undang-undang Islam.

SUMBER RUJUKAN ISLAM
Di UIAM, penerbitan bahan dari pensyarah dikumpulkan di dalam IIUM Repository (IRep) yang diuruskan oleh pihak perpustakaan. Penerbitan di dalam repositori ini merangkumi segala bidang akademik yang ditawarkan di UIAM. Beberapa bahan boleh dimuat turun secara percuma, tetapi ada juga bahan yang mungkin memerlukan kebenaran atau keahlian universiti untuk mengakses kandungan penuh.

Pengguna boleh mengunjungi Direktori Kakitangan UIAM untuk mencari maklumat ahli akademik dan penerbitan mereka. Dalam profil setiap ahli akademik, terdapat senarai penerbitan dan kajian yang mereka hasilkan. Pengguna boleh menggunakan maklumat ini untuk mencari bahan rujukan yang relevan, sama ada melalui IRep atau sumber lain. Perpustakaan ini memiliki koleksi manuskrip Islam yang merangkumi karya-karya tokoh terkemuka yang boleh diakses secara fizikal dan digital, membolehkan pengguna mendalami pemikiran Islam klasik dan moden.

Koleksi manuskrip ini merupakan sumber amat berharga bagi para penyelidik yang ingin mendalami pemikiran Islam dari perspektif klasik. Ia juga membuka peluang kepada penyelidik untuk mengkaji pemikiran tokoh-tokoh Islam terdahulu dan mengaitkannya dengan konteks semasa. Dengan adanya akses kepada manuskrip yang jarang ditemui ini, Perpustakaan ini memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan ilmu Islam dan penyebarannya kepada generasi yang akan datang.

Bahan rujukan Islam yang banyak dan mudah diakses menjadi salah satu faktor utama yang menarik minat alumni UIAM untuk menjadi ahli alumni perpustakaan dengan bayaran yang ditetapkan. Keahlian ini membolehkan mereka terus menikmati khidmat perpustakaan yang berkualiti. Malah, ramai alumni yang melanjutkan pelajaran di universiti lain, baik di dalam mahupun luar negara, tetap setia menggunakan khidmat perpustakaan ini sebagai sumber utama pencarian bahan rujukan Islam.

Keistimewaan ini menjadikan Perpustakaan Dar al-Hikmah sebagai pusat rujukan yang tidak ternilai bagi komuniti akademik UIAM dan alumni.

Perpustakaan ini juga memperkenalkan kaedah peminjaman bahan yang fleksibel untuk memenuhi keperluan pelajar, pensyarah dan komuniti universiti.

Kaedah ini memastikan pengguna mempunyai akses kepada maklumat yang diperlukan untuk kajian tanpa mengira lokasi geografi bahan tersebut.

UIAM adalah salah sebuah institusi yang menawarkan pengajian dalam bidang Islam secara meluas kerana memiliki gedung ilmu yang kaya dengan sumber rujukan Islam.

Sebagai pusat ilmu Islam yang terkemuka, UIAM dan Perpustakaan Dar al-Hikmah terus memainkan peranan penting dalam menyokong kajian dan pembelajaran dalam bidang kesarjanaan Islam.

Dengan koleksi bahan rujukan yang komprehensif, perkhidmatan peminjaman antara perpustakaan dan akses kepada teknologi terkini, UIAM memastikan pelajar dan penyelidik mendapat sokongan penuh untuk menjalankan penyelidikan dan kajian yang berkualiti tinggi.

Keunikan koleksi manuskrip Islam dan integrasi teknologi AI menjadikan UIAM pilihan unggul untuk mereka yang ingin mendalami pengajian Islam dalam persekitaran akademik yang dinamik dan maju.-UTUSAN

PENULIS ialah Pustakawan Kanan, Ketua Unit Islam dan Sains Kemanusiaan, Bahagian Sokongan Pembelajaran, Pustakawan Perhubungan untuk Kulliyyah Abdul Hamid Abu Sulayman (AHAS KIRKHS) dan Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa IINHART), Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN