Peranan penting IPT bentuk masa hadapan negara

Peranan penting IPT bentuk masa hadapan negara

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika Program Karisma Pemikir Madani pada 2 Disember lalu. – FACEBOOK AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGHUJUNG tahun lalu berlangsung Program Karisma Pemikir Madani. Fikir ummah diangkat sebagai tema bagi merealisasikan enam teras utama madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan demi kelangsungan ummah.

Program anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menghimpunkan 200 peserta dalam kalangan akademik dan pentadbir UIAM, AKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengurusan universiti, akademik dan pentadbir agar sama -sama menghayati hala tuju terkini pembangunan negara serta berkenaan enam Teras Madani. Dalam masa sama ia akan memantapkan hala tuju perancangan UIAM selaras dengan konsep Malaysia Madani dan penghayatan Rukun Negara. Ini bagi mencapai visi dan misi UIAM sebagai universiti bertaraf antarabangsa yang unggul dan ternama dunia.

Platform tersebut turut membicarakan tentang peranan golongan akademik dan pentadbir UIAM untuk dapat menyumbang kepada konsep Madani secara lebih khusus. Selain itu ia juga bertujuan bagi mengupas dengan lebih jelas maksud kecemerlangan akademia dan pentadbiran dalam konteks madani, menyebarluaskan kefahaman, penghayatan falsafah madani serta meneguhkan jati diri mahupun semangat patriotik dalam melakar kanvas masa depan UIAM.

Ini secara tidak langsung dapat bersama masyarakat Malaysia dalam mencorak masa hadapan negara dengan segala potensi dan bakat yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan iklim dunia selain bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep serta budaya kearifan tempatan.

BERWAWASAN
Karisma pemikir madani sangat penting dalam membentuk dan mengarahkan perkembangan masyarakat, terutama dalam konteks pembangunan sosial, politik serta budaya. Pemikir madani adalah individu yang memiliki wawasan luas tentang nilai-nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan keberagaman serta mampu mengintegrasikan pemikiran rasional dengan kepedulian terhadap masyarakat.

Karisma yang dimiliki pemikir madani mampu menjadi faktor pendorong perubahan positif kerana mereka dapat mempengaruhi orang lain dengan idea-idea progresif dan visi yang membangun.

Pemikir madani mesti memiliki kemampuan untuk memimpin melalui idea-idea dan nilai-nilai yang menjadikan kebaikan bersama itu satu matlamat, bukan sekadar mengejar kepentingan peribadi atau golongan tertentu.

Pemikir madani berkemampuan untuk memimpin dengan mengutamakan nilai kebaikan bersama, yang menjadikan kepentingan bersama sebagai matlamat utama dalam setiap tindakan dan idea.

Melalui pendekatan yang berlandaskan etika, keadilan sosial serta kepentingan seluruh masyarakat, kita dapat membina kepimpinan yang mendorong perubahan positif yang inklusif, adil dan progresif. Kepimpinan seperti ini menuntut kita untuk tidak hanya melihat kepentingan golongan tertentu, tetapi menjadikan kesejahteraan seluruh masyarakat sebagai matlamat yang lebih besar serta mempengaruhi dasar dan sistem yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

EJEN PERUBAHAN
Karisma pemikir madani dapat menjadi kekuatan untuk mendorong perubahan sosial yang inklusif, adil dan progresif. Pasti mereka mampu menginspirasi masyarakat untuk berfikir ebih kritis dan bertindak dengan lebih bijaksana. Ini dapat dilaksanakan dengan menggerakkan dialog sosial yang terbuka, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, mempromosikan pendidikan inklusif selain memastikan pembangunan sosial yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan kelestarian sosial.

Dengan pemikiran yang holistik dan strategi berterusan, kita dapat mempengaruhi serta menambah baik dasar-dasar awam dan masyarakat untuk mencipta perubahan yang lebih positif juga berdaya saing di masa hadapan.

Sebagai intelek madani, kita harus menjadi perantaraan yang efektif antara pelbagai golongan dan kelompok dalam masyarakat yang memiliki latar belakang dan juga jurang generasi umur berbeza. Kita mampu dan dapat menyediakan ruang dialog yang konstruktif untuk menyelesaikan masalah bersama secara bermusyawarah.

Dengan mengutamakan keterbukaan, toleransi, keadilan sosial dan pendidikan inklusif, kita boleh menjadi penghubung yang efektif dalam merapatkan jurang antara golongan yang mempunyai latar belakang, budaya serta pengalaman hidup berbeza.

Dengan pendekatan yang holistik dan berterusan, intelek madani mampu memimpin perubahan positif untuk kemajuan masyarakat secara keseluruhan.

Pemikir madani juga berperanan dalam membentuk karakter bangsa yang lebih tinggi toleransinya, beradab dan berpandangan jauh ke hadapan. Pemikir madani tidak hanya fokus pada kritik, tetapi juga mencari penyelesaian yang relevan dengan peredaran zaman, seperti jurang sosial, pendidikan dan persekitaran kehidupan.

Semua perlu berusaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemai nilai murni kekeluargaan dan segala usaha terarah kepada pembinaan masyarakat yang progresif.

Pemikir madani dapat mengubah pandangan ramai orang, memotivasi untuk menyumbang kepada penambahbaikan sosial dan berperanan aktif dalam membentuk dunia yang lebih adil lagi damai.

Program Karisma Pemikir Madani ini adalah bukti komitmen semua dalam menjayakan matlamat untuk melahir serta memampan nilai individu masyarakat Malaysia bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Perbincangan, idea dan resolusi yang dibangunkan dalam program ini dapat memberi sumbangan yang bermakna ke arah progresif Malaysia.

Kerjasama diperlukan untuk memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan negara dengan menjadikan identiti nasional sebagai tunjang kepada segala usaha inovasi mahupun pembangunan demi kelangsungan dan pembangunan ummah.

Sebagai sebuah universiti yang tersohor, program tersebut akan membawa UIAM bergerak seiring dengan pelbagai dimensi perubahan yang berlaku pada masa ini selain terus cemerlang dan relevan di serata dunia.

UIAM terus bersama membangunkan negara secara seimbang dan inklusif, menekankan pembangunan lestari, keadilan sosial, inovasi, penghormatan terhadap kepelbagaian, kepercayaan terhadap kerajaan, nilai kasih sayang dan kemanusiaan, demi kesejahteraan rakyat serta keharmonian negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan (Pentadbiran) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN