MALAYSIA kembali memimpin ASEAN sebagai Pengerusi buat kali ke-5. Satu peranan dan tanggungjawab yang sangat besar tetapi amat-amat strategik untuk kembali meletakkan Malaysia sebagai peneraju bukan sahaja ASEAN tetapi seluruh rantau Asia lalu menambah kredibiliti
Malaysia sebagai pemain utama politik global. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali sebelum ini – tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Menariknya, setiap kali Malaysia memegang tampuk pengerusi, pasti ada pencapaian besar yang menjadi legasi. Contohnya, semasa kali pertama menjadi pengerusi pada 1977, Malaysia telah berjaya meletakkan agenda keamanan dan kestabilan serantau sebagai fokus utama dengan mengadakan siri dialog dan penyelesaian konflik secara aman dalam kalangan anggota.
Pada ASEAN 1997, Malaysia telah berjaya memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialog antarabangsa melalui pelbagai perjanjian dan kerjasama strategik.
Pada 2005, kepengerusian Malaysia telah merumuskan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN, yang bertujuan untuk mewujudkan pasaran dan pangkalan pengeluaran yang tunggal di Asia Tenggara.
Pada 2015 pula, Malaysia telah menjuarai satu lagi pencapaian besar iaitu perumusan dan pelancaran Komuniti ASEAN yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Kini, Malaysia kembali menjadi pengerusi untuk melihat pencapaian Komuniti ASEAN dan seterusnya merangka pelan jangka panjang ASEAN 2045.
AGENDA KELESTARIAN
Tahun 2025 ini, kelestarian dan keterangkuman menjadi tema ASEAN. Sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN sebenarnya sudah wujud dan berjalan atas paksi kelestarian dan keterangkuman apabila agenda utamanya memastikan keselamatan dan kestabilan politik serantau, integrasi ekonomi yang memberi peluang setiap ahli ASEAN mendapat manfaat dari pembangunan ekonomi bersama, dan sentiasa meraikan kepelbagaian sosial dan budaya.
Bayangkan seorang petani kecil di wilayah pedalaman bergelut dengan hasil tuaian yang semakin berkurang akibat cuaca tidak menentu, atau seorang remaja luar bandar yang menghadapi jurang teknologi. Senario sebegini masih biasa dan banyak berlaku di ASEAN, walaupun selepas 68 tahun penubuhannya.
Maka, inilah masa dan peluang terbaik untuk Malaysia benar menjuarai agenda ini dan menjadi jurubicara golongan tertinggal ini.
Dengan seluruh dunia hangat membicarakan isu kelestarian, Malaysia dan ASEAN membuat keputusan yang tepat meletakkan agenda ini sebagai fokus utama kerana ia merupakan agenda ASEAN yang belum selesai sejak penubuhannya.
ISU ALAM SEKITAR ASEAN
Negara-negara ASEAN berdepan bencana yang semakin kerap dan memburuk. Malaysia sendiri, yang telah menyaksikan banjir besar dan kebakaran hutan, amat terkesan dan memahami perubahan iklim sebagai ancaman nyata. Sebagai pengerusi, Malaysia perlu memastikan bahawa pembangunan ekonomi tidak mengorbankan alam sekitar atau meminggirkan mana-mana kumpulan. Inilah asas kepada pembangunan ASEAN yang lestari dan terangkum.
ASEAN, berbanding kelompok negara-negara maju sebenarnya mempunyai kekuatan yang unik dalam menentukan pola pembangunan seterusnya supaya tidak terus terperangkap dengan model pembangunan negara maju yang terbukti gagal dan tidak lestari.
ASEAN menyatukan 10 negara yang mempunyai pelbagai kekuatan tersendiri iaitu kearifan tempatan. Banyak komuniti pribumi di ASEAN telah lama hidup harmoni dengan alam sekitar.
Contohnya, mereka mengamalkan pengurusan tanah secara lestari dan menggunakan kaedah seperti pembakaran terkawal untuk mencegah kebakaran besar, teknik yang kini diiktiraf di peringkat global.
Thailand dan Filipina misalnya mempunyai pengalaman berharga dalam pengurusan hutan komuniti, di mana penduduk tempatan diberi hak untuk mengurus kawasan hutan secara lestari.
Pendekatan ini bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi juga mengurangkan kemiskinan dengan memberi sumber pendapatan kepada komuniti tempatan. Masyarakat Orang Asli di negara-negara ASEAN sudah lama bekerja dengan alam, bukan melawan alam. Kearifan mereka mengajar kita bahawa kelestarian sebenar memerlukan kita menghormati kitaran ekosistem. Inilah yang diperlu dikembalikan secara lebih serius bukan sekadar sesuatu yang trending.
Maka satu langkah penting bagi menterjemah tema ini ialah mengintegrasikan semula kearifan tempatan ke dalam strategi utama ASEAN. ASEAN tidak perlulah terlalu memandang ke negara maju dan menanti mereka menyelesaikan cabaran di ASEAN.
Malah, lebih sinikal, negara-negara maju inilah yang telah mengeluarkan segala hasil mahsul negara-negara ASEAN sebelum ini untuk membangunkan negara mereka dan kini acah-acah untuk meminta kita memastikan kelestarian alam.
Untuk itu, tema kelestarian ini adalah ‘senjata’ paling ampuh untuk Malaysia dan ASEAN benar-benar bangkit menjadi jurucakap untuk mereka sendiri bukan untuk menjadi pendengar kepada ‘perintah’ atau teori apatah lagi ugutan dari negara maju. ASEAN bukan lagi pertubuhan yang spoken for atau spoken to oleh pertubuhan atau individu luar.
Mengintegrasikan kearifan tempatan dengan pendekatan moden bukanlah tanpa cabaran. Terdapat kecenderungan untuk meminggirkan kaedah lama sebagai usang dan tidak saintifik. Namun, mengabaikan warisan ini bermakna kehilangan sumber daya yang boleh menjadi penyelesaian untuk masalah hari ini.
ASEAN perlu menghargai sumber asli bukan sahaja sebagai bahan ekonomi, tetapi sebagai bahagian penting identiti dan daya tahan sosial. Inovasi teknologi boleh melengkapkan, bukan menggantikan, pengetahuan yang telah terbukti berkesan selama berabad-abad.
KETERANGKUMAN ASEAN
Malaysia perlu memastikan bahawa agenda kelestarian dan keterangkuman tidak hanya terhad kepada perbincangan di peringkat tinggi. Baru-baru ini penulis berpeluang mengikut bengkel tentang ASEAN dan pembangunan lestari. Topik, peserta dan penganjuran masih bersifat elitis dan tidak benar-benar menjiwai semangat kelestarian dan keterangkuman.
Membicarakan isu kemiskinan dalam suasana kemewahan dengan suhu pendingin 16 darjah Celcius adalah amat ironik kalau tidak hipokrit. Maka, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN 2025 harus bersifat proaktif, inovatif, tetapi berani mengambil langkah-langkah transformatif dan benar-benar menjiwai makna kelestarian dan mengamalkan prinsip keterangkuman.
Seperti kata Einstein, “Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dengan cara pemikiran yang sama ketika kita menciptanya.” Oleh itu, mengharapkan hasil yang berbeza dengan menggunakan pendekatan yang sama adalah mustahil.
Maka, Malaysia perlu membawa pendekatan baharu yang lebih dinamik dan praktikal bagi memastikan hasrat ASEAN yang lebih lestari dan terangkum bukanlah sekadar impian tetapi adalah warisan yang pernah kita bina dan boleh kita perbaharui dengan kebijaksanaan yang sudah lama tersemat dalam budaya serantau kita. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










