Kampung Baru tanah tumpahnya darah bangsa

Kampung Baru tanah tumpahnya darah bangsa

AHLI Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani sebelum ini menegaskan akan mempertahankan status Kampung Baru selagi ada bintang dan bulan termasuk memastikan tanah ini kekal milik tangan orang Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dunia kini dicengkam ketidak-pastian politik, ekonomi dan alam sekitar. Ketegangan geopolitik memarakkan konflik, kelaparan global meningkat, jurang kekayaan semakin melebar dan pemindahan paksa mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah.

“Perubahan iklim akibat perbuatan manusia terus memburukkan keadaan, dengan lebih 1.7 bilion orang terkesan akibat cuaca ekstrem dalam sedekad yang lalu. Pola ini memerlukan pendekatan pembangunan baharu yang berani dan inovatif untuk menangani cabaran global yang semakin kompleks.” – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Antara polemik politik dan akademik, isu tanah Kampung Baru disulam dengan sembang rakyat marhaen dan dengungan aktivis Melayu. Ada pihak yang mempersoalkan penilaian harga tanah, ada yang membantah pelan pembangunan dan ada pula yang mempertikaikan kewajaran syarikat yang dipilih bagi menjalankan pembangunan semula tanah keramat ini.

Sejak mula dicadangkan, proses pembangunan semula Kampung Baru tidak lekang dengan bantahan dan desakan. Tuntutan yang timbul juga bukan kerana penduduk tamak haloba dengan jumlah pampasan bagi nilai tanah yang amat strategik ini. Malah, tiada pampasan, waima sebesar mana sekali pun, yang dapat menggantikan kehilangan kampung halaman leluhur bangsa.

Sebaliknya, sentimen yang dirasai penduduk adalah kerana memahami Kampung Baru tidak wujud hanya sebagai simbol semata-mata. Bagi ribuan anak jati, tanah ini adalah tempat tumpahnya darah bangsa Melayu yang menjadi saksi seribu satu pengorbanan demi kemajuan negara dan kemodenan masyarakat.

Lewat tahun 1990-an sedikit demi sedikit kawasan Kampung Baru berubah wajah. Jika dulu Sungai Klang menelusuri nadi Kampung Baru, kini yang berdiri megah adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). Jika dulu Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang menjadi tempat bersemadi jasad pejuang bangsa Melayu di ibu kota, kini tanah perkuburan ini hanya dilihat sebagai sebahagian daripada landskap kota mendasari Pintasan Saloma yang megah bergemerlapan saban malam.

Peri penting duduk dan letaknya Kampung Baru bukanlah perkara kecil yang boleh dientengkan. Jika tidak, mustahil sekali tanah keluasan hanya 300 ekar ini, memerlukan suatu akta parlimen khusus bagi mengelolakannya. Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 (Akta 733) merupakan pengganti kepada Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement, MAS) yang digunapakai oleh Lembaga Pentadbiran MAS.

Mandat yang diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru adalah sebagai badan penyelaras utama berhubung pembangunan semula atau penambahbaikan pembangunan kawasan berkenaan. Maka, kehadiran wakil pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru berperanan bukan hanya sebagai penyambung suara tetapi sebagai pemberi amaran agar sebarang tindakan yang dijalankan ke atas tanah ini haruslah mengambil kira kepentingan penduduk yang khuatir kehilangan pegangan hak milik tanah di Kuala Lumpur.

Isu ini melibatkan kesan gentrifikasi komuniti Melayu di Kuala Lumpur dan ini bukanlah perkara sempit yang boleh dipandang mudah. Perlu ditekankan pegangan tanah di Kuala Lumpur memberikan isyarat yang ampuh mengenai kekuatan politik bangsa Melayu di ibu kota ini dengan mengambil kira Kuala Lumpur tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya diwakili oleh 11 kerusi Parlimen.

JANGAN LIHAT KESAN EKONOMI SEMATA-MATA
Sebarang rancangan pembangunan bagi memajukan kawasan Kampung Baru tidak boleh hanya mengambil kira kesan ekonomi semata-mata. Betapa kaya sekali pun sebuah negara, tiada erti jika jati diri bangsa rakyat negara itu musnah dalam taruhan.

Lihat saja daerah sekitar Lembah Klang yang sudah mengalami proses gentrifikasi yang drastik seperti di Mont Kiara, di mana kebanyakan penduduk asal sekitar Segambut masih kekal terbatas di kawasan persisiran dan tidak mempunyai pegangan hak milik hartanah di Mont Kiara yang bermakna.

Tanah Kampung Baru yang menjadi saksi seribu satu lipatan sejarah tidak boleh hanya dinilai dengan taruhan wang ringgit. Sebagai anak bangsa yang lahir dan membesar di Kampung Baru, ada sesak dalam dada yang mencengkam setiap kali saya melihat timbunan batu-bata yang menjadi bukti proses perobohan demi menyambut pembangunan semula kawasan berkenaan.

Persoalan utama yang sering bermain di minda penduduk Kampung Baru, adakah munasabah dan wajar kependudukan daripada kawasan seluas 10 ekar dipadatkan kepada kawasan seluas dua ekar?

Mungkin ramai yang beranggapan pada ketika ini pun kependudukan di tanah Kampung Baru sudah melebihi jumlah yang sepatutnya. Namun, ini tidak wajar menjustifikasikan proses mengecilkan lagi pemilikan penduduk ke atas tanah di Kampung Baru.

Kerakusan generasi lampau dan kini untuk mengejar arus kemodenan tidak patut memangsakan anak cucu di masa hadapan.

Demi memastikan jati diri, tradisi dan warisan bangsa tidak mati bersama dalam timbunan debu robohan rumah-rumah di Kampung Baru, kerajaan harus melihat kembali perancangan pembangunan kawasan ini dengan lebih menyeluruh.

Jangan nanti bangsa Melayu jadi bagai galah dijual di bumi sendiri.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×