Impak Forum Ekonomi Dunia 2025

Impak Forum Ekonomi Dunia 2025

Penyertaan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 bukan sahaja menguntungkan Malaysia dari segi ekonomi dan diplomasi, tetapi juga mengangkat ASEAN sebagai sebuah entiti yang kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEhADIRAN buat pertama kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland pada 21 dan 22 Januari lalu adalah sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi global, mempromosikan ASEAN dan serta menarik pelaburan ke dalam negara. Di Davos, Perdana Menteri menyertai beberapa sesi penting termasuk Majlis Makan Malam Pembukaan bersama pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF, Profesor Klaus Schwab, bersama pemimpin dunia lain. Mesyuarat perniagaan dengan syarikat multinasional seperti AstraZeneca, DP World, Medtronics, Nestlé, Google dan Fortescue diadakan bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

Dialog Strategi Negara dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagi memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk membentangkan strategi ekonomi Malaysia dan menggalakkan pelaburan asing. Dalam sesi ASEAN Plenary: Even Stronger Together, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama ASEAN dalam menangani cabaran ekonomi dan geopolitik, khususnya dalam menangani isu Myanmar serta memperkukuh keterhubungan digital dan tenaga. Perbincangan eksklusif dengan kepimpinan WEF diadakan bagi membincangkan hala tuju ekonomi global serta bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi dunia. Ini termasuk mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibah, Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, dan Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi.

WEF 2025
Sewaktu di Davos, Perdana Menteri membuat beberapa kenyataan utama dalam pelbagai sesi. Antara kenyataan ini ialah mengenai kepentingan ASEAN mengekalkan hubungan seimbang dengan semua kuasa besar. “Dialog dan kerjasama pragmatik adalah kunci utama dalam mengemudi hubungan antarabangsa yang kompleks, terutama dalam penglibatan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.”

Dalam bidang pelaburan dan ekonomi digital pula, Perdana Menteri memberi isyarat bahawa Malaysia akan terus menggalakkan inovasi dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan data raya. “Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi hab digital dan kecerdasan buatan di ASEAN, dan kami komited untuk mempercepatkan transformasi digital melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).”

Mengenai isu Myanmar dan keamanan serantau, Perdana Menteri menegaskan kepentingan kestabilan Myanmar dalam memastikan keamanan rantau ASEAN secara keseluruhan. “Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar melalui pendekatan diplomasi dan bukan konfrontasi.”

Dalam sesi bersama Avram Glazer dari Manchester United pula, Perdana Menteri menyebut mengenai pentingnya sukan sebagai pemangkin perpaduan. “Sukan bukan hanya satu industri, tetapi satu cara untuk membina perpaduan di Malaysia dan ASEAN.”

Penyertaan Malaysia dalam WEF 2025 membawa beberapa kepentingan utama. Pertama, ia membolehkan Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai pemimpin ASEAN yang proaktif dalam menangani isu serantau dan global selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025.

Melalui WEF 2025 ini juga Perdana Menteri mempromosikan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh. Di sana beliau memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN dilihat sebagai satu kuasa ekonomi yang kukuh dengan agenda tenaga hijau dan digitalisasi.

Dengan kehadiran Perdana Menteri dalam pelbagai sesi utama, Malaysia dapat mempersembahkan visi dan dasar ekonominya serta meyakinkan pelabur mengenai kestabilan serta daya saing negara dalam ekonomi global.

Sesi pertemuan dengan pelabur global seterusnya membuka peluang kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor teknologi, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.

Penyertaan Malaysia di WEF 2025 bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara di pentas antarabangsa tetapi juga memberikan impak kepada ASEAN secara keseluruhannya. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menggunakan platform ini untuk memperkukuh peranan ASEAN dalam ekonomi global.

ASEAN 2025
Dalam beberapa sesi, Perdana Menteri ditanya mengenai visi Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN. Ini dijawab dengan menyakinkan oleh beliau dengan antara lainnya menekankan kepada beberapa agenda utama.

Antara perkara penting yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ialah memperjuangkan pembangunan grid tenaga serantau (ASEAN Energy Grid) untuk memastikan akses tenaga yang mampan dan mampu milik.

“Untuk tahun ini, pemahaman atau konsensus adalah untuk memberi tumpuan kepada ASEAN Energy Grid, tenaga alternatif yang meliputi seluruh bekas Indochina seperti Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan termasuk kabel kuasa bawah laut dari Sarawak.”

Turut diketengetengahkan ialah kepentingan kecerdasan buatan (AI) dan keterhubungan digital dalam memastikan kemajuan ekonomi serantau. “Kini, rantau ini memberi tumpuan kepada AI untuk memastikan pemahaman yang lebih baik antara negara-negara ASEAN di samping mengekalkan daya saing ekonomi.”

Selainnya ialah seperti komitmen untuk mengekalkan ASEAN sebagai rantau yang aman dan stabil melalui hubungan diplomatik yang erat serta integrasi pasaran tunggal di mana Malaysia berhasrat menggalakkan perdagangan intra-ASEAN dengan mempercepatkan integrasi pasaran serantau.

Kehadiran Perdana Menteri di WEF 2025 membuktikan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap ekonomi global dan ASEAN. Penyertaan ini bukan sahaja menguntungkan Malaysia dari segi ekonomi dan diplomasi, tetapi juga mengangkat ASEAN sebagai sebuah entiti yang kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

NUR Hani Danisya Mohamad Nadzri ialah mahasiswi tahun akhir dalam program Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN