LEBUHRAYA maklumat melalui jaringan internet telah mencetuskan ledakan dan lambakan maklumat yang sungguh luar biasa di era pascamodenisme ini.
Ia tercetus hasil dari perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sangat pantas dan canggih.
Fenomena lambakan segala bentuk maklumat dalam pelbagai bidang kehidupan ini berlaku begitu cepat dan meluas menerobosi sempadan geografi dan ruang waktu kehidupan manusia.
Kini kecanggihan ICT diperhebatkan lagi dengan teknologi AI atau kecerdasan buatan.
Teknologi AI ini mampu untuk belajar dari pengalaman, mengidentifikasi pola, membuat keputusan, dan menyelesaikan tugas-tugas kompleks yang dihadapi manusia pascamodenisme hari ini.
Semua perkembangan pesat teknologi ICT ini telah memudah dan menyenangkan bermacam urusan kehidupan manusia.
Lebuhraya maya ini menyalur serta melambakkan segala macam bahan berita dan informasi dari yang bersifat teks hingga ke bentuk audio visual yang pelbagai ragam dan rencam sifatnya.
Selari dengan itu, pelbagai bentuk wadah atau platform media baharu yang dikenali sebagai media sosial dan portal berita menjadi begitu penting dalam menyampaikan segala macam kejadian dari hal ehwal kehidupan peribadi, rumah tangga hinggalah semua perkara yang berlegar dalam kehidupan manusia yang berlaku saban hari.
Segala rempah ratus kehidupan manusia hari ini dihidangkan di ruang maya sama ada yang baik ataupun buruk, benar mahupun palsu, maaruf mahupun mungkar, logik mahupun tidak logik, misteri mahupun yang nyata dan seribu satu macam lagi.
Komputer dan telefon pintar digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyampai atau menyebar segala macam yang mahu disampai itu.
Sebaran segala macam berita dan maklumat berkaitan segala aktiviti manusia ini bukan setakat berlegar di sekeliling kita (tempatan) tetapi juga seantero dunia.
Semua itu disebar dan ditularkan (viral) walaupun kesahihannya belum dapat dipastikan. Apa pun, media sosial telah menjadi medan menyalurkan pelbagai bentuk maklumat, berita, idea, pendapat, pandangan dan pemikiran manusia di langit terbuka.
Ia menjadi medan untuk melakukan perdebatan, perbahasan, kritikan, komentar, forum, diskusi dan sebagainya oleh pelbagai golongan masyarakat.
Sekaligus ia menjadi tempat manusia mempamerkan watak dan perwatakannya.
Dalam erti kata lainnya segala sifat kemanusiaan kemalaikatan, kehaiwanan dan kesyaitanan manusia disalur dan dipamerkan di “langit terbuka.”
Kaki penipu (scammer) boleh sahaja memperdaya mangsanya dengan pelbagai tipu muslihatnya, penjenayah siber boleh mengambil kesempatan memerangkap mangsanya, pengganas boleh sahaja menyebarkan minda dan idea-idea keganasannya, mereka yang berlidah dan berhati kotor boleh sahaja menghamburkan caci maki dan kata-kata nista kepada sasarannya.
Mereka yang mahu merosakkan imej dan reputasi atau membunuh karakter pihak lain boleh sahaja menyebarkan pelbagai bentuk fitnah dan berita-berita yang tidak benar.
Kekeliruan dan kepalsuan yang dicipta dan disebarkan dari watak dan perwatakan hodoh insan ini mampu merosak pemikiran dan jiwa mereka yang lemah dan mudah terpedaya dengannya.
Hakikatnya, di era ‘langit terbuka’ ini, tipu daya iblis makin meluas, canggih dan rencam sifatnya serta mampu merosakkan minda dan jiwa mereka yang lemah keperibadiannya.
Justeru, ia memerlukan kematangan kita berfikir dan keupayaan untuk menapis perkara-perkara yang baik dan buruk, yang palsu dan yang benar atau yang maaruf mahupun yang mungkar.
Ini termasuklah penyebaran nilai-nilai asing yang bercanggah dengan nilai-nilai luhur fitrah keinsanan seperti nilai-nilai liberalisme yang banyak merosakkan fitrah manusia disebarkan dengan mudah dan meluas di ‘langit terbuka’.
Kita harus sedar bahawa dalam pentas ‘langit terbuka’ yang membuka ruang seluas-luas kepada apa juga pemikiran dan fahaman, termasuk fahaman keagamaan yang menyeleweng akan dengan mudah menyelinap masuk untuk mencari pengaruh dan pengikutnya.
Manipulasi isu-isu agama turut mengambil tempat di ‘langit terbuka’ sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat, bukan sahaja setempat malah di pentas antarabangsa.
Justeru, benar atau palsunya sesuatu berita atau maklumat itu mesti ditapis dengan penuh hati-hati.
Pastikan isi kandungan yang ingin disampai dan dikongsi itu sahih dan bertepatan dengan fakta serta menepati nilai-nilai kehidupan beragama.
Kawalan dan tindakan tegas juga perlu dikenakan ke atas mana-mana kandungan di media sosial yang melampaui atau melanggar batas undang-undang.
Semua pihak mesti mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dengan jernih.
Gunakan kebebasan menyalur dan menyebar maklumat di ‘langit terbuka’ secara bijak dan beretika dengan menyebarkan kebaikan dan kebenaran. Luahkan pandangan, kritikan dan komentar secara konstruktif atau membina di media sosial.
Bila memasuki ruang ‘langit terbuka’ maka pastikan niat kita adalah untuk mencari dan menyebar kebaikan (maaruf). Ingat, amal perbuatan kita bukan sahaja dinilai di alam nyata tetapi juga di alam maya.
Segala amal perbuatan kita itu tidak lari dari timbangan dosa dan pahala. Allah SWT berfirman yang maksudnya, “Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatNya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatNya” (al-Zalzalah ayat 7-8.) – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis bebas sosiopolitik.










