“SEBAGAIMANA diketahui, timbulnya suatu pemberontakan, bukanlah hal yang semata-mata timbul pada waktu itu. Pemberontakan biasanya adalah kerana ‘bergantang terlalu penuh’, sehingga tidak tertahankan lagi. Demi apabila muncul pimpinan yang berani, lalu dicetuskannya, nescaya berontak akan terjadi, walaupun misalnya kekuasaan dapat mematahkannya.” – Buya Hamka.
Petikan di atas dikarang oleh Buya Hamka ketika mengulas mengenai Pemberontakan Petani Banten 1888, yang juga digelar sebagai Geger Cilegon.
Pemberontakan itu berpunca daripada polisi yang dikeluarkan oleh kepimpinan Belanda yang memaksa petani membunuh kesemua kerbau ternak kerana tersebar penyakit wabak ketika itu. Walhal kerbau merupakan punca rezeki kepada golongan petani.
Jika difahami secara menyeluruh, sifat pemberontakan itu sememangnya didasari oleh rasa ketidakpuasan yang sudah berlalu terlalu lama sehingga tiba suatu saat, rasa tidak senang itu tidak dapat dibendung lagi. Demikian mungkin apa yang dirasai oleh ribuan petani yang mengerjakan sawah-sawah di seluruh negara mutakhir ini.
Sejak Jun tahun lalu, pesawah merasai dan menanggung rasa tidak puas hati dengan peningkatan kos benih, baja, racun tanaman dan diesel. Peningkatan kos ini tidak mengambil kira kos sara diri yang juga sama meningkat.
Setelah ketidakpuasan ini dibendung lama, kini petani mula bangkit menuntut keadilan yang setara dengan bebanan yang mereka tanggung.
Sedangkan pada Oktober, tahun lalu, dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjanjikan bantuan kepada pesawah bagi meringankan beban ekonomi mereka selaras dengan usaha kerajaan mempertingkatkan produktiviti padi tempatan, daya saing petani serta kelestarian pertanian.
Antara komitmen kerajaan termasuklah dana sebanyak RM1 billion yang disalurkan melalui Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan 11,000 hektar tanah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Projek ini bakal dilancarkan dalam Februari yang akan datang.
Baru-baru ini sekumpulan para petani telah berhimpun di Putrajaya bagi menyampaikan memorandum mendesak kerajaan agar menggarap dasar meletakkan harga lantai setan beras kepada RM1,800 berbanding harga semasa sebanyak RM1,300. Jika dibandingkan dengan harga beras dalam pasaran tempatan, terdapat jurang besar antara beras tempatan dan beras import, yangi mana beras tempatan secara amnya dijual dalam lingkungan RM25 bagi 10 kilogram (kg) manakala beras import boleh menjangkaui melebihi RM40 bagi berat sama.
Ada pihak yang menghujahkan penetapan harga beras tempatan yang terlalu rendah membolehkan manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencampurkan beras tempatan dan beras import sebelum menjual semula pada harga yang ditetapkan untuk beras import. Maka wajar jika jurang harga diperkemaskan lagi.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) selaku penganjur perhimpunan tempoh hari turut menyatakan bahawa tujuan lain perkumpulan tersebut diadakan adalah juga bagi membantah cadangan di bawah RUU Kualiti Benih Tanaman, yang antara lain mengusulkan kawalan terhadap benih tani.
Difahamkan bahawa RUU ini akan mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperoleh lesen dan menghantar benih ke makmal untuk ujian pengesahan. Sebarang kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengundang denda sebanyak RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun.
Dalam membincangkan sekatan undang-undang yang dibuat bagi mengawal benih tanaman, saya teringat filem dokumentari yang diterbitkan pada 2016 berjudul Seeds: The Untold Story. Antara perspektif menarik yang ditonjolkan dalam filem tersebut adalah tindakan Monsato, syarikat agrokimia dan bioteknologi Amerika Syarikat (AS) yang melobi berbillion dolar untuk mendesak kerajaan negara itu meluluskan polisi serta undang-undang bagi mengawal penggunaan dan pengedaran benih tanaman.
Objektif Monsato hanya satu, untuk memastikan petani kecil-kecilan tidak mampu mengekalkan daya saing dan akhirnya berhenti bertani. Sebagai natijah, syarikat Monsato memonopoli pasaran tani di AS. Malah, sebagai syarikat yang menyediakan tanaman GMO (organisma yang diubah suai genetiknya), Monsato memastikan tiada petani yang boleh menanam semula benih yang disimpan mereka. Syarikat itu juga mengheret mereka yang cuba menentang peraturan ini ke mahkamah.
Ketika kali pertama menonton filem dokumentari tersebut, tidak terjangkau akal saya memikirkan bagaimana sebuah kerajaan yang dilantik mewakili dan memelihara hak rakyat mampu meluluskan peraturan, undang-undang dan dasar yang jelas menindas golongan petani di dalam negara itu.
Selepas dua tahun filem itu diterbitkan, pada 16 September 2018, Kementerian Pertanian mengumumkan pendrafan RUU Kualiti Benih Tanaman yang secara efektif membawa masuk peraturan serupa ke Malaysia.
Meskipun sekatan sebegini dilihat boleh membantu dalam mengekalkan kualiti bahan tani, namun pada masa sama, perlu difikirkan pihak mana yang mendapat keuntungan besar apabila peruntukan sebegini direalisasikan? Atau lebih utama lagi, pihak mana yang akan ditindas apabila peraturan ini diluluskan nanti? Siapa dalang yang mengimport masuk polisi sebegini ke dalam negara?-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










