Mesti jawab kenapa gagal dedah titah Adendum - Utusan Malaysia

Mesti jawab kenapa gagal dedah titah Adendum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KEWUJUDAN Titah Adendum yang dikatakan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki tempoh hukuman penjara bawah tahanan rumah mungkin membuka jalan untuk beliau kembali ke pangkuan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, bekas Presiden UMNO itu masih berdepan cabaran dan halangan yang panjang selagi tidak ditentukan kesahihannya.

Peguam, MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA mengulas panjang tentang isu tersebut selain menyentuh konsep pengampunan diraja dan sistem keadilan negara ini. Ikuti wawancaranya bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, jurugambar, IQBAL ROSLI dan juruvideo, KAMARUL HASIFI KAMARUDIN di firma guamannya, baru-baru ini.

 

FAHAMI KONSEP IHSAN,
KUASA PENGAMPUNAN
MINGGUAN MALAYSIA: Ada yang kurang faham konsep pengampunan diraja dalam titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. Boleh jelaskan?

MOHAMED HANIFF: Ihsan atau kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong bermula apabila sistem keadilan dalam institusi kehakiman tamat. Selagi sistem kehakiman tidak selesai, maka tidak wujud konsep pengampunan. Ramai yang persoal kononnya titah adendum ini mencampuri sistem keadilan.

Mahkamah sudah membuat keputusan terhadap kes Najib. Enam tahun tempoh perbicaraan, hukuman sudah dijatuhkan dan sekarang senang-senang duduk di rumah (tahanan di rumah)? Ini pertikaian pihak luar. Persoalannya, adakah ia mencampuri sistem keadilan? Tidak. Ini kerana pengampunan diraja bebas daripada sistem keadilan dan Najib sudah melalui kesemua proses ini.

BUKAN ADIL ATAU TIDAK ADIL
Ihsan atau pengampunan juga tiada kaitan antara adil dengan tidak adil kerana ia adalah kuasa mutlak Agong, Raja atau Sultan dengan menggunakan kebijaksanaan dan buah fikirannya. Ia tidak boleh dipersoalkan. Jadi, rapatnya seseorang Agong dengan mana-mana banduan boleh diguna pakai untuk mengeluarkan titah atau titah adendum.

BUKAN AMALAN DUA DARJAT
Apakah titah adendum menjurus kepada amalan dua darjat atau berat sebelah terhadap banduan lain?
Rakyat bertanya, adakah ini titah dua darjat (antara Najib dan banduan lain). Sebenarnya tidak, kerana pengampunan bukan sistem keadilan. Kita tidak boleh ada undang-undang dua darjat kerana ia salah.

Tetapi, kita bercakap tentang pengampunan yang bebas daripada sistem kehakiman dan keadilan. Jadi, dua, tiga atau 10 darjat sekalipun tidak wujud dalam kes ini. Rakyat boleh berfikir macam-macam, tetapi, itulah konsep pengampunan.

Tanggapan berat sebelah juga tidak terpakai dalam konsep pengampunan kerana ia bukan sistem keadilan yang saya jelaskan. Maka, dalam kes pengampunan Najib, ada beberapa keadaan yang boleh menjadi pertimbangan Agong antaranya beliau bekas perdana menteri yang mentadbir negara selain anak jati Pahang, orang kaya dan orang besar di negeri ini.

Mungkin ia nampak seperti berat sebelah sehingga orang ramai tidak puas hati, tetapi, ia tidak memainkan peranan dalam sistem pengampunan kerana ia satu ihsan. Banduan lain boleh diberi pengampunan, tetapi, kemungkinan besar tidak akan dapat kerana mengikut penilaian Agong, kesemua banduan lain tidak mempunyai ciri-ciri seperti Najib.

Jika tetap mohon pengampunan, buatlah, tetapi mungkin tidak akan dilayan oleh mana-mana Agong di Wilayah Persekutuan, Sultan-Sultan atau Raja-Raja negeri kerana mereka tidak mencapai faktor yang membolehkan institusi diraja ini mengubah ihsan seperti yang diberi kepada Najib. Namun, harus diingat, ia bukan faktor muktamad kerana tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan di dalam minda Agong.

Saya cuma beri anggaran faktor yang mungkin sudah diambil kira membolehkan Agong memberi perintah (titah adendum) kepada Najib.

Sebagai rakyat, apa anda rasakan jika Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah?
Ramai dalam kalangan rakyat tidak setuju dalam hal pemberian pengampunan Najib di bawah tahanan rumah. Tetapi, seperti saya cakap, ini ihsan dan kuasa mutlak Agong memberi pengampunan terhadap seseorang yang dikehendaki.

PERINTAH MANDAMUS
Bolehkah pasukan guaman mewakili Najib ‘memaksa’ Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaaan menguatkuasakan titah adendum itu tanpa ada undang-undang khusus?
Isu sama ada boleh paksa atau tidak itu adalah dari segi undang-undang administratif bermaksud perintah mandamus dan ini yang berada di mahkamah sekarang. Tetapi, ia belum sampai ke tahap ini kerana sekarang hanya menyentuh kepada kewujudan titah adendum dan jika wujud, ia pun dilaksana.

Prosesnya bagaimana?
Selepas ini, Mahkamah Tinggi akan mendengar terlebih dahulu adakah titah adendum yang wujud sah atau tidak? Jika mahkamah mendapati sah atau sebaliknya, maka, ia akan memberi peluang kepada pihak berkuasa melaksanakannya.

Jika tidak dilaksanakan, mahkamah mempunyai kuasa di bawah undang-undang administratif membuat perintah mandamus bagi tujuan perintah ini dilaksanaan. Ini kerana, pihak berkuasa enggan atau cuai melakukan apa sepatutnya dan kemudian akan ada panggilan permintaan untuk tindakan penghinaan mahkamah dan sebagainya.

Adakah titah adendum masih berkuatkuasa meskipun sudah bertukar tampuk pemerintahan?
Analoginya begini, apabila Agong yang pertama dan seterusnya mengampunkan beberapa banduan dan jika seseorang Agong sudah tamat tempoh atau bersara, adakah kerajaan perlu menangkap semula banduan tersebut?

Konsep keagungan ini adalah kerusi, bukan individu yang buat keputusan dan dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan atas kuasanya sebagai Agong. Walaupun sekarang Sultan Johor, Sultan Ibrahim sebagai Agong ke-17, namun, keputusan Agong berterusan dan berkuatkuasa.

KELEGAAN UNTUK NAJIB
Bagaimana Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sedangkan Parlimen belum menggubal dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan tahanan di rumah?
Ramai yang khilaf mengatakan tiada undang-undang tahanan rumah. Ini tidak benar. Kuasa atau titah ‘menghantar’ Najib ke rumah adalah satu bentuk kelegaan hukuman yang dibenarkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Akta Penjara 1995 juga menjelaskan dengan kuasa kepada menteri memberi arahan kepada warden penjara supaya banduan dibawa ke satu tempat dan boleh diisytihar bagi tempoh tersebut sebagai penjara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri pun pernah membenarkan banduan mendapat akses kepada latihan tertentu yang mana satu syarikat memiliki kilang baju diisytihar sebagai penjara sementara dan banduan dibawa ke sana.

NAJIB, UMNO DAPAT HAK
Selain Najib memperoleh apa yang beliau berhak peroleh daripada kandungan titah adendum ini, UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan pun memperoleh apa yang perlu tanpa menggugat kedudukan kerajaan. Tidak mungkin pada masa sama rakyat meminta peguam negara yang menjadi hakim sekarang digugurkan yang akhirnya, banyak perkara diselesaikan.

Kalaulah buang ego dan kerajaan sanggup terima cadangan rakyat Malaysia bahawa ada cara sebenarnya dalam menyelesaikan kemelut walaupun hanya bersifat krisis Perlembagaan.

Suka saya ingatkan, kegagalan mendedahkan titah adendum ini mempersoal konsep tadbir urus negara tidak sihat yang mesti dijawab. Segala tindak-tanduk peguam negara boleh terdedah kepada suatu kesalahan jenayah dan terdapat peruntukan daripada hukuman serendah enam bulan penjara atau denda RM10,000. Saya tidak merujuk kepada individu tertentu, tetapi, bercakap soal kerusi diduduki seseorang yang kini seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

ESOK’ PUN NAJIB BOLEH ‘KEMBALI’ KE PANGKUAN ROSMAH
Mengikut perkiraan sendiri, bolehkah Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah dalam masa terdekat?
Esok adalah sebutan kes dan mahkamah akan beri arahan memfailkan afidavit kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Mahkamah biasanya beri 14 hari, kemudian beri tempoh 14 hari lagi kepada pasukan guaman Najib jika mahu membalas afidavit tersebut. Apabila peringkat ini selesai, hujahan bertulis daripada pihak terlibat kena failkan kemudian mahkamah tetapkan tarikh bicara.

Anggaran saya, biasanya Mahkamah Tinggi mendengar kes ini mungkin memakan masa tiga bulan. Tetapi, jika pihak berkuasa terima nasihat yang saya sentuh tadi untuk terima pakai titah adendum seadanya, esok pun Najib boleh balik ke rumah. Tetapi, jika ada yang bantah, mahkamah perlu buat keputusan walaupun secara perundangannya, mahkamah boleh dan wajar menitahkan titah ini sah. Tetapi, ini kuasa mahkamah menentukannya.

CETUS KRISIS PERLEMBAGAAN
Timbul kenyataan bahawa kes titah adendum berisiko mencetus krisis Perlembagaan. Benarkah?
Ya, saya setuju. Malaysia sebenarnya berada di satu persimpangan yang mana jika kes ini tidak ditangani dengan baik, menjurus kepada krisis Perlembagaan. Sama ada ia boleh ditangani atau mendatangkan mudarat, ia tertakluk kepada pihak tertentu yang mengendalikannya.

Krisis yang bagaimana?
Krisis yang boleh menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana jika kerajaan tidak mematuhi mana-mana peruntukan titah diraja, bagaimana mereka menentukan keabsahannya sebagai kerajaan?

Apabila ada titah diraja, namun tidak patuhi. Ini yang berisiko menjatuhkan kerajaan, menjadi krisis Perlembagaan dan politik tidak stabil yang akan membawa kepada pelantikan perdana menteri baharu atau keperluan mengadakan pilihan raya sekali lagi. Persoalannya, adakah rakyat perlu melalui semua ini?

Selain itu, ia juga mempersoalkan kesucian dan amanah Peguam Negara dan ahli Lembaga Pengampunan. Apakah mereka yang terlibat ini menjalankan tugas dengan amanah, ikut telunjuk atau takut kepada kerajaan dengan tidak mendedahkan perkara ini (titah adendum)?

Apa yang harus dilakukan sebelum krisis ini berlaku?
Sebagai kerajaan berpandukan sistem tatakelola yang baik, sewajarnya serah kepada pihak berkuasa iaitu Lembaga Pengampunan untuk melaksanakan apa yang perlu. Lembaga Pengampunan pula seperti dalam kes-kes lain akan memajukan titah adendum ini kepada Jabatan Penjara dan pihak tersebut akan mengikuti titah berdasarkan tindakan-tindakan yang perlu diambil.

Dalam hal ini, kerajaan akan nampak seolah-olah satu pihak sudah mematuhi titah (walaupun lewat setahun). Kerajaan boleh menjelaskan bahawa kelewatan ini kerana tidak dapat mengesahkan ketulenan dan kewujudkan titah adendum.

Tetapi, apabila mahkamah mengesahkan kewujudannya, maka, kerajaan tiada bantahan. Ini yang akan dapat mengurangkan kesannya terhadap kerajaan sekaligus mengurangkan tuntutan untuk bertanggungjawab dan kerajaan dijatuhkan melalui pelbagai cara atau atas isu ini. _ Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN