HUBUNGAN diplomatik antara Malaysia dan Singapura terus menunjukkan kemajuan yang signifikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lawrence Wong, yang dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei 2024.
Pada 6 dan 7 Januari lalu berlangsung Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ke-11 antara Malaysia-Singapura, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala yang telah terjalin selama enam dekad menyusuli lawatan kerja dua hari Wong pada 11 dan 12 Jun 2024.
Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ke-11 dimulakan dengan sambutan rasmi untuk Wong dan delegasinya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Acara ini menampilkan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja, simbolik kepada hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.
Anwar menyifatkan lawatan ini sebagai kunjungan penting dan cukup bermakna tatkala hubungan dua hala Malaysia-Singapura menginjak usia enam dekad, dengan kedua-dua negara komited untuk mempererat persahabatan dan persefahaman yang terjalin sejak sekian lama.
Usai istiadat rasmi, kedua-dua Perdana Menteri mengetuai Mesyuarat Terhad Malaysia-Singapura (ALR) bersama delegasi masing-masing. Beberapa isu tertunggak utama yang dibincangkan termasuk soal persempadanan maritim, ruang udara, bekalan air, Informasi Penerbangan Wilayah (FIR) dan cabaran kesesakan di Tambak Johor. Kedua-dua pemimpin menekankan pentingnya mencari penyelesaian holistik dan menang-menang bagi isu-isu yang berlarutan selama puluhan tahun.
Anwar turut menggariskan keperluan untuk meneroka peluang kerjasama baharu, termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, khasnya eksport tenaga melalui kabel dasar laut, pendigitalan, perdagangan dan pelaburan serantau. Beliau juga menghargai sokongan Singapura terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, sambil menegaskan hubungan erat antara kedua-dua negara adalah kunci kepada pembangunan rantau yang lebih mantap.
Wong pula menegaskan komitmen Singapura untuk terus menyokong usaha Malaysia dalam memperkukuh kedudukan ASEAN di pentas global. Beliau turut menyatakan isu-isu tertunggak seperti maritim dan bekalan air harus diselesaikan dengan semangat konstruktif agar ia tidak menghalang kemajuan dalam projek-projek bersama.
Dalam sidang akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala, Anwar dan Wong berkongsi beberapa pencapaian penting.
Antaranya ialah mengenai pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam mana kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk memulakan pelaksanaan JS-SEZ. Inisiatif ini bertujuan menarik pelaburan global dengan sasaran 100 projek dalam tempoh 10 tahun. JS-SEZ meliputi kawasan pembangunan strategik seperti Iskandar Malaysia dan Forest City, yang berpotensi mencipta ribuan peluang pekerjaan.
Dalam bidang perdagangan dan pelaburan pula, Anwar mengumumkan Malaysia dan Singapura terus menjadi rakan dagang utama dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM360 bilion pada tahun 2024. Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan digital dan ekonomi hijau.
Dari segi rundingan isu tertunggak, Wong mengakui bahawa isu seperti persempadanan maritim dan ruang udara adalah rumit, tetapi beliau optimis perbincangan secara holistik akan menghasilkan penyelesaian yang adil dan kekal. Anwar pula menegaskan mesyuarat berkala akan diadakan untuk mempercepatkan penyelesaian.
Dari sudut pengukuhan ASEAN, Wong menyatakan sokongan penuh Singapura terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, terutamanya dalam usaha meningkatkan integrasi serantau. Anwar pula menegaskan kepentingan ASEAN sebagai platform utama untuk menghadapi cabaran geopolitik global.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran lapan dokumen utama, termasuk perjanjian bersama JS-SEZ, enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu surat niat (LOI). Dokumen-dokumen ini meliputi kerjasama dalam bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Anwar dan Wong sepakat bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Singapura harus menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran rantau ini. Kedua-dua negara bersetuju untuk memasarkan JS-SEZ secara bersama sebagai destinasi pelaburan global, dengan penekanan kepada kelebihan komplementari yang dimiliki oleh Johor dan Singapura.
Dalam sidang akhbar, Anwar menegaskan Malaysia akan memberi keutamaan kepada projek-projek yang mampu memberi impak besar kepada rakyat, sambil memastikan penyelesaian isu tertunggak tidak menghalang kemajuan projek bersama. Wong pula menekankan bahawa Singapura akan terus menyokong usaha Malaysia dalam membina ASEAN yang lebih kukuh.
Selain perbincangan serius, sesi pemukiman ini juga diserikan dengan acara kebudayaan dan simbolik. Makan malam rasmi di Rumah Tangsi, sebuah rumah agam bersejarah berusia 120 tahun, sekali gus mengangkat warisan di Kuala Lumpur, menjadi tanda penghormatan Anwar kepada Wong.
Begitu juga dengan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana yang menampilkan hidangan lauk-pauk tempatan serta buah durian Musang King dan persembahan kebudayaan Malaysia. Acara ini memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara, melangkaui kerjasama ekonomi dan diplomatik.
BUKTI
Pemukiman ini membuktikan bahawa Malaysia dan Singapura terus komited untuk memperkukuh hubungan dua hala berdasarkan prinsip persahabatan dan kepercayaan. Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif strategik seperti JS-SEZ, kerjasama pendidikan dan perdagangan digital, kedua-dua negara berada di landasan yang tepat untuk mencipta masa depan yang lebih cerah buat rakyat mereka.
Hubungan Malaysia-Singapura di bawah kepimpinan Anwar dan Wong adalah manifestasi nyata bagaimana dua negara berjiran dapat bekerjasama untuk menghadapi cabaran global dan merebut peluang baharu.
Semoga persahabatan ini terus mekar serta memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada rakyat kedua-dua negara tetapi juga kepada rantau ASEAN secara keseluruhan.-UTUSAN
PENULIS ialah mahasiswi tahun akhir dalam program Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).










