SejaTi Madani bina ekonomi komuniti di luar bandar, pedalaman

SejaTi Madani membina ekonomi komuniti di luar bandar, pedalaman

JPKK Kampung Ulu Ladang memanfaatkan geran SejaTi Madani dengan memperkenalkan dua produk pelancongan utama di kawasan tersebut, iaitu Mercu Tanda Sawah Kampung Londah dan ATV Kampung Ulu Ladang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF SejaTi Madani telah membuka lebih 6,400 peluang pekerjaan dalam pelbagai kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dengan peruntukan RM600 juta di bawah program SejaTi Madani dalam Belanjawan 2025, inisiatif ini dijangka akan terus merancakkan ekonomi komuniti di kampung, bandar, kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

SejaTi Madani seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa setiap pedesaan, miskin bandar, di kampung, pedalaman dan rumah panjang diberi peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000. Pendekatan ini merupakan suatu anjakan bagi memperkasa rakyat akar umbi untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka. Kerajaan melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU JPM) hanya bertindak memantau dan memberi galakan, seraya kekuatan adalah daripada akar umbi.

Tambah Perdana Menteri lagi, melalui kolaborasi strategik antara kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat, kita memastikan semua rakyat, terutama di kawasan luar bandar, mendapat manfaat yang adil. Inisiatif ini bukan sahaja mencipta peluang tetapi juga membina keyakinan rakyat untuk terus maju.

Warga Perlis Wujudkan Ekonomi Komuniti dengan ATV
Usaha warga Kampung Berseri Jaya, Perlis, untuk meningkatkan ekonomi komuniti membuahkan hasil apabila projek pelancongan dan aktiviti ekonomi yang dimulakan dengan hanya tujuh buah ATV dan lima kiosk makanan kini mencipta peluang pekerjaan berterusan untuk lebih 20 keluarga di kampung tersebut.

Ismail Md. Hashim, salah seorang penggerak projek ini, berkata bahawa ia permulaan yang kecil tetapi penuh tekad ini telah memberikan impak besar kepada ekonomi kampung.

Di Taman Angsana Berseri, Perlis, projek penghasilan produk berasaskan kekabu dan jahitan turut memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat. Projek ini membuka peluang pekerjaan dan juga meningkatkan kemahiran penduduk setempat, terutamanya dalam kalangan suri rumah dan ibu tunggal, untuk menambah pendapatan.

Menurut Nur Hidayah Sharif, salah seorang peserta projek, “Kami memanfaatkan kemahiran jahitan untuk menghasilkan pelbagai produk yang laris dijual di pasaran tempatan. Pendapatan ini sangat membantu kami untuk menampung perbelanjaan keluarga.”

Pengerusi Kemas Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, turut memberi pandangan positif terhadap inisiatif ini.

“Kerajaan memberi nasihat agar setiap cawangan JPKKP menjalankan projek yang mendatangkan hasil dan keuntungan, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat, terutama golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal dan anak-anak yatim,” tambah beliau.

Aktiviti hijau dan pusat kitar semula
Antara sektor tumpuan SejaTi Madani adalah aktiviti hijau dan kitar semula seperti penduduk Seksyen 17, Shah Alam yang menjalankan Projek Rintis Pusat Kitar Semula, Pandu Lalu Automatik.
Mohd. Asri Ismail Pengerusi, Persatuan Penduduk Seksyen 17, Timur Dan Barat, Shah Alam, Selangor berkata, “Pusat kitar semula ini menggunakan teknologi terkini iaitu menggunakan sistem solar. Semua penduduk boleh menggunakan sistem ini dan hanya perlu mendaftar sebagai pengguna.”

Memanfaatkan Kelebihan Geografi Setempat
Sementara itu, di Negeri Sembilan, JPKK Kampung Ulu Ladang memanfaatkan geran SejaTi Madani dengan memperkenalkan dua produk pelancongan utama di kawasan tersebut, iaitu Mercu Tanda Sawah Kampung Londah dan ATV Kampung Ulu Ladang. Dengan mengguna pakai kelebihan geografi setempat iaitu sawah padi, komuniti ini berjaya meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan dan produk ini dijangka akan menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan.

Setakat ini, ikhtiar SejaTi Madani membenih lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan. Dengan kejayaan yang dicapai setakat ini, kerajaan optimis untuk memperluaskan program ini ke lebih banyak kawasan, membuka peluang pekerjaan baharu dan mengukuhkan ekonomi komuniti.

Lima sektor tumpuan program SejaTi Madani iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula dilihat signifikan dengan komuniti sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Di samping memanfaatkan sumber persekitaran, program ini secara tidak langsung berupaya menyumbang kepada aliran tunai dalaman melalui pelancongan domestik, menampung pengeluaran makanan tempatan berasaskan pertanian dan penternakan serta bimbingan kesedaran dalam menjaga kelestarian alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN