Pelancongan Malaysia wajib seimbang antara ekonomi dan budaya

Pelancongan Malaysia wajib seimbang antara ekonomi dan budaya

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan bahawa pelancongan sebagai sumber negara bukan sahaja amat penting untuk pertumbuhan ekonomi. Sehubungan ini, ia menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan merangsang perniagaan tempatan dengan mempertingkat jualan perkhidmatan dan barangan setempat.

Juga pelancongan sangat penting untuk ehwal budaya, khususnya dari aspek perkongsian. Sehubungan ini, pelancong mengalami tradisi dan amalan hidup berlainan. Ini penting untuk memupuk toleransi dan kesedaran sejagat yang mustahak dalam mempertingkat hubungan dan kerjasama antarabangsa.

Namun kebelakangan ini, hanya dimensi ekonomi diberi penekanan luar biasa di Malaysia untuk sektor pelancongan memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara. Ini dilakukan dengan berlebihan sekali untuk memperoleh dampak ekonomi optimum sehingga menjejaskan dampak budaya pelancongan dengan seriusnya. Antaranya dalam pemeliharaan warisan budaya watan kita.

Sehubungan ini, warisan budaya watan kita semenjak azali sebagai bumi Melayu-Islam mahu dikesamping dengan begitu sahaja. Ini antaranya dapat dilihat apabila ada keinginan bersungguh-sungguh untuk menggunakan papan tanda dan iklan dalam bahasa Mandarin secara bersendirian sahaja. Ia untuk memenuhi cita rasa pelancong tertentu, khususnya China dari pelbagai sisi. Antaranya termasuklah keinginan, kegemaran dan kecenderungan mereka.

Dengan ini, warisan budaya watan, khususnya bahasa Melayu selaku bahasa negara yang wajib digunakan secara perundangan mahu ditinggalkan terus. Ia yang ingin dilakukan sedemikian untuk memperolehi dampak ekonomi dalam merangsang perniagaan, ikut mengundang pelbagai spekulasi negatif. Antaranya mendewakan bahasa leluhur.

Selain ini, terdapat peniaga yang sedia melakukan apa-apa sahaja yang bukan sahaja tidak munasabah, juga yang melanggar perundangan negara. Ini dapat dilihat apabila ada yang berusaha untuk mendapat barang khusus tertentu dari negara tertentu, misalnya China. Ia semata-mata untuk menarik pelancong ke premis perniagaan mereka agar dapat dilayan sebaik-baiknya seperti di negara asal pelancong itu.

Sehubungan ini, mereka menggunakan barang import dari China yang tertera ideologi politik di sana yang bukan sahaja tidak diterima di sini, malah yang sama sekali dilarang di Malaysia. Ia yang ingin juga dilakukan untuk dampak ekonomi ikut tidak dapat elak daripada bermacam-macam andaian buruk. Antaranya menyokong ideologi politik itu.

Sewajarnya perbuatan mahu menggunakan bahasa Mandarin sahaja dan menyajikan makanan dalam bekas yang tertera imej tokoh politik China tertentu selain prinsip ideologi politik republik itu, tidak sepatutnya berlaku di sini dan oleh rakyat Malaysia sendiri pula.

Ini kerana bukan sahaja ia sesekali tidak wajar dilakukan di sebuah negara berdaulat lain yang mempunyai budaya watannya selain ideologi politiknya sendiri. Juga ia sama sekali tidak selari dengan aspirasi nasional kita, yakni sebagai hasrat sebuah negara secara keseluruhannya dan bukan hanya nafsu kelompok tertentu di dalamnya, untuk sesuatu agenda negara itu.

Sesungguhnya pelancongan memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara itu dan juga perkongsian budaya watannya. Oleh itu, kedua-dua dampak ekonomi dan budaya haruslah dipastikan selalu seimbang. Dengan ini, ia wajib memastikan fenomena sosiobudaya pada pelancongan mesti seiringi dengan fakta sosioekonominya.

Dalam pada ini, pelancongan di Malaysia tidak boleh hanya mempunyai dampak positif dari segi ekonomi semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan manfaat ekonomi daripada pelancongan, kita dapat menikmati prasarana lebih baik di samping kemudahan kesihatan dan pendidikan yang juga lebih baik.

Pada masa sama, pelancongan juga harus memiliki dampak positif yang serupa dari segi budaya. Dengan ini, warisan budaya watan kita wajib dipastikan bukan sahaja selalu dipelihara dengan baik, juga hendaklah ditentukan dapat terus kekal selama-lamanya. Semua ini penting untuk dipromosikan sebagai jati diri kita selaku negara berdaulat dengan rakyatnya yang patriotik.

Dengan ini, berpada-padalah dalam kita membangunkan sektor pelancongan di Malaysia agar ia ikut bermanfaat dalam memastikan kemakmuran sosiobudaya kepada rakyat dan negara, dan bukannya cuma untuk kemakmuran sosioekonomi yang sepenuhnya sahaja. Oleh itu, warisan budaya watan tidak boleh sesekali diketepikan dalam apa-apa bentuk jua pada bila-bila masa.

Untuk ini, bahasa Melayu sebagai warisan budaya watan wajib diangkat pada setiap masa sebagai keperibadian kebangsaan, yakni pemikiran dan tingkah laku yang bukan sahaja dikongsi bersama, juga yang dipamerkan oleh semua pihak di Malaysia. Begitu juga dengan aspirasi nasional yang merupakan fahaman yang wajib dihayati oleh setiap rakyat di negara ini. Juga sebagai sentimen dan gagasan yang menyatukan kita semua di tanah air yang dicintai bersama-sama ini.

Sesungguhnya, ehwal budaya pada pelancongan adalah sangat penting kepada sesebuah negara. Ini kerana warisan budaya negara berkenaan adalah unsur pertama dan utama kepada identiti nasional bagi negara itu dan identiti budaya bagi rakyatnya. Oleh itu, ia tidak boleh sesekali dikompromikan atas apa-apa jua alasan.

Dalam hal ini, warisan budaya watan kita sebenarnya mewakili ciri negara ini sebagai bumi Melayu-Islam, selain mempamerkan pelbagai bukti akan kewujudannya pada sepanjang masa dari semua aspek, termasuklah sosiopolitik. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN