PADA masa kini, cabaran alam sekitar menjadi isu utama yang menuntut perhatian semua pihak, baik dalam kerajaan, industri mahupun masyarakat umum.
Pencemaran air, peningkatan sisa pepejal dan perubahan iklim memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian rakyat Malaysia. Menyedari perkara ini, bidang kejuruteraan alam sekitar memainkan peranan penting sebagai pemacu dalam usaha mencapai kelestarian negara.
Bidang ini diumpamakan seperti payung pelindung yang berusaha mengurangkan kesan negatif manusia terhadap alam semula jadi.
Kejuruteraan alam sekitar ialah bidang yang berkembang pesat di Malaysia, terutamanya dengan pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Alam Sekitar Negara yang memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan sumber alam dan pengurangan pencemaran.
Dasar-dasar ini menyokong inisiatif untuk mengurangkan pencemaran serta menggalakkan penggunaan teknologi yang mesra alam.
Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2021, hampir separuh daripada sungai yang dipantau di seluruh negara diklasifikasikan sebagai tercemar akibat daripada aktiviti industri, domestik dan pertanian yang tidak terkawal. Cabaran ini, jika dibiarkan akan merumitkan usaha negara untuk mencapai kelestarian dan meninggalkan kesan buruk kepada generasi masa depan.
LANGKAH MENUJU KEMAMPANAN
Bidang kejuruteraan alam sekitar melibatkan penggunaan teknologi terkini dalam menangani masalah alam sekitar secara saintifik. Dengan pelbagai inovasi dalam bidang ini, jurutera alam sekitar mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan air, udara dan tanah tidak terus terjejas oleh pencemaran.
Sebagai contoh, teknologi rawatan air yang canggih digunakan untuk menapis bahan kimia berbahaya dan logam berat daripada air buangan industri sebelum dilepaskan ke sungai. Proses ini membantu melindungi kualiti air untuk kegunaan harian dan menjaga ekosistem semula jadi yang turut terjejas oleh pencemaran air.
Dalam pengurusan sisa pepejal, pelbagai teknologi turut diperkenalkan bagi mengurangkan impak negatif tapak pelupusan terhadap masyarakat dan alam sekitar. Salah satu contoh ialah pengurusan sisa yang lebih efektif dengan sisa pepejal diproses secara sistematik untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Dengan adanya teknologi moden ini, tapak pelupusan sampah tidak lagi menjadi ancaman besar kepada alam sekitar.
Di samping itu, dalam era yang semakin mengutamakan penggunaan teknologi hijau, jurutera alam sekitar turut memainkan peranan dalam menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biogas. Dengan memanfaatkan sumber tenaga yang mesra alam, Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon, malah menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih. Dalam jangka masa panjang, usaha ini menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya dalam aspek kelestarian alam sekitar dan pengurangan jejak karbon.
Peranan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam melahirkan generasi pakar alam sekitar, sebagai satu-satunya universiti awam yang menawarkan program Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian. UniMAP mengambil tanggungjawab besar dalam mendidik generasi muda. Program ini bukan sahaja melatih pelajar dengan kemahiran teknikal yang relevan, tetapi juga memupuk nilai tanggungjawab sosial dan etika dalam memelihara alam sekitar.
Dengan kata lain, UniMAP berusaha melentur buluh dari rebungnya, melahirkan graduan berkaliber serta berwawasan dalam bidang kelestarian alam.
Lebih daripada sekadar menyediakan pendidikan formal, UniMAP turut aktif dalam pelbagai projek penyelidikan yang berfokus pada penyelesaian inovatif dan mampan untuk isu-isu alam sekitar. Antara bidang penyelidikan yang ditekankan termasuklah teknologi rawatan air, pengurusan sisa pepejal dan pemulihan ekosistem.
Projek-projek ini dijalankan dengan kerjasama erat antara UniMAP, industri dan agensi kerajaan. Melalui usaha kolektif ini, UniMAP bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan penyelesaian mampan untuk Malaysia, tetapi juga memperkukuh kedudukan negara di persada global dalam usaha mencapai matlamat pembangunan lestari.
INDUSTRI DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Kini, dunia korporat turut memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar melalui konsep Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG). Malah, permintaan terhadap jurutera alam sekitar semakin meningkat dalam sektor industri. Penerapan prinsip ESG dalam sektor perindustrian menunjukkan komitmen syarikat-syarikat bukan sahaja terhadap keuntungan tetapi juga terhadap kesejahteraan alam dan masyarakat.
Dengan menerapkan amalan ESG, syarikat-syarikat bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar, tetapi juga mengambil langkah proaktif dalam mengurangkan jejak karbon dan melaksanakan inisiatif yang menyokong kelestarian.
Amalan ESG ini menjadi landasan bagi syarikat-syarikat untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara telus dan beretika. Seperti pepatah alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, syarikat kini mengambil langkah lebih jauh dalam memastikan aktiviti mereka tidak memberi impak negatif terhadap alam sekitar, malah menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Kesimpulannya, kejuruteraan alam sekitar adalah satu bidang yang sangat penting dalam usaha Malaysia menuju masa depan yang lestari. Dengan usaha bersama antara kerajaan, universiti, sektor swasta dan masyarakat umum, Malaysia berpotensi untuk mencapai matlamat pembangunan mampan yang diidamkan.
Harapan kita ialah agar generasi muda yang dilahirkan daripada institusi seperti UniMAP akan terus seperti berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam memikul amanah menjaga alam sekitar demi generasi masa depan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai peranan untuk menjaga bumi yang diami ini. Sama ada melalui pendidikan, teknologi ataupun amalan harian yang lebih mesra alam, setiap langkah kecil menyumbang kepada matlamat besar kelestarian.
Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha memastikan bumi yang kita warisi hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi yang akan datang. Sesungguhnya, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Masa depan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama kita semua.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Che Zulzikrami Azner Abidin ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
DR. Nor Amirah Abu Seman @ Ahmad ialah Pengerusi Rancangan Kejuruteraan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










