Mahasiswa tulang belakang misi bantuan pasca banjir

Mahasiswa tulang belakang misi bantuan pasca banjir

PROGRAM Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) anjuran bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) membersihkan Sekolah Kebangsaan Seri Banai di Jitra, Kedah yang teruk dilanda banjir, baru-baru ini. - FACEBOOK UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR besar yang baru-baru ini melanda beberapa negeri di Malaysia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap masyarakat yang terjejas. Selain menyebabkan kerugian harta benda, bencana ini turut menuntut keperluan mendesak bagi bantuan fizikal dan sokongan mental. 

Dalam keadaan yang getir ini, mahasiswa dari seluruh negara tampil sebagai penyumbang utama dalam usaha membantu komuniti yang memerlukan melalui pelbagai program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Penglibatan mahasiswa dalam usaha kemanusiaan ini bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat, malah turut membangunkan bakat mereka untuk menjadi pemimpin masa depan yang prihatin dan berdaya saing. Keprihatinan terhadap masyarakat tanpa mengira bangsa, fahaman politik atau latar belakang adalah nilai utama yang dipupuk melalui aktiviti kesukarelawanan ini.

Bagi menyelaraskan usaha bantuan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Skuad Ihsan Madani KPT, sebuah inisiatif yang menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam misi kemanusiaan. Bersama Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM), skuad ini memainkan peranan penting dalam memobilisasi tenaga mahasiswa untuk membantu negeri-negeri yang terjejas akibat bencana banjir. Aktiviti yang dijalankan meliputi pembersihan rumah, sekolah dan kemudahan awam serta memberikan sokongan moral kepada mangsa bencana.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai contoh, berganding bahu membersihkan sekolah-sekolah, tadika dan kemudahan awam di Kedah. Aktiviti ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kesukarelawanan mahasiswa, tetapi juga menyatukan mereka dari pelbagai latar belakang untuk bekerjasama demi kebaikan masyarakat.

Kerjasama antara universiti awam di Malaysia melalui platform seperti Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) menjadi bukti semangat keserakanan dalam membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana. Universiti-universiti berganding bahu, tanpa mengira sempadan institusi untuk melaksanakan misi kemanusiaan yang bermakna. 

Ini terbukti apabila gabungan 12 buah universiti awam (UA) dalam melaksanakan misi bantuan di Kelantan menunjukkan bagaimana sinergi antara pelbagai universiti dapat mempercepatkan pemulihan kawasan terjejas. Usaha ini bukan sahaja membawa manfaat kepada masyarakat tetapi juga memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi, sekali gus mencerminkan solidariti dan tanggungjawab bersama dalam membina kesejahteraan komuniti.

Program kesukarelawanan pasca banjir ini memberi impak yang besar dalam pembangunan bakat mahasiswa, khususnya dalam memupuk ciri-ciri kepimpinan yang prihatin terhadap masyarakat. Melalui penyertaan dalam aktiviti luar kuliah, mahasiswa dapat mengasah kemahiran insaniah yang sangat berharga, selain membina empati dan kepekaan sosial terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Selain itu, penglibatan dalam misi bantuan ini melibatkan pelbagai tugas yang memerlukan koordinasi pasukan dan komunikasi dengan pihak berkepentingan, memperkasa kemahiran pengurusan dan kerjasama yang sangat penting dalam dunia profesional. Peluang untuk memimpin kumpulan sukarelawan dan merancang strategi bantuan juga memberi mahasiswa ruang untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan yang bertanggungjawab dan mengambil inisiatif.

Penglibatan universiti awam dalam kesukarelawanan pasca banjir menunjukkan kesatuan institusi pengajian tinggi dalam meringankan beban masyarakat. Gabungan tenaga universiti awam membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi agen perpaduan yang melangkaui sempadan negeri, bangsa dan fahaman politik. Aktiviti ini turut membuka peluang untuk membina jaringan sosial yang lebih luas antara mahasiswa dan universiti selain memperkukuhkan hubungan antara komuniti universiti dan masyarakat.

Penglibatan mahasiswa dalam kesukarelawanan tidak hanya memberi manfaat segera kepada masyarakat terjejas, malah memberi kesan positif jangka panjang kepada pembangunan diri mahasiswa itu sendiri. Penyertaan dalam misi bantuan meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa, dengan menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial. Aktiviti ini juga membantu mahasiswa memahami peranan mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat dan memupuk identiti serta jati diri yang lebih kukuh.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, kesukarelawanan adalah salah satu platform terbaik untuk membangunkan bakat dan kemahiran mahasiswa di luar bilik kuliah. Penglibatan dalam misi bantuan pasca banjir bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga membantu mereka membina nilai-nilai kepimpinan, empati, dan semangat kerjasama yang sangat penting dalam kehidupan profesional mereka kelak.

Beliau juga menggesa lebih ramai mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesukarelawanan, terutamanya dalam misi bantuan bencana. 

“Saya berharap lebih banyak universiti akan terus mempergiatkan usaha untuk melibatkan mahasiswa dalam kerja-kerja kesukarelawanan ini. Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat membantu mereka membina kemahiran praktikal, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan saling bantu-membantu dalam kalangan generasi muda,” kata  Zambry.

 

PLATFORM

Kesukarelawanan pasca banjir menawarkan platform yang luar biasa untuk membangunkan bakat mahasiswa dan memperkukuhkan peranan mereka sebagai agen perubahan sosial yang aktif. Inisiatif seperti Skuad Ihsan Madani KPT dan usaha MASKUM membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai penuntut ilmu, tetapi juga sebagai ejen perpaduan dan pembawa impak positif kepada masyarakat.

Dengan sokongan daripada kementerian dan institusi pengajian tinggi, mahasiswa kita terus membuktikan bahawa mereka bersedia menggalas tanggungjawab ini dengan dedikasi dan semangat yang tinggi, sekali gus melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga prihatin terhadap keperluan masyarakat.-UTUSAN

 

DATUK Dr. Mohd. Foad Sakdan ialah Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

PROFESOR Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×