MEMASUKI separuh kedua semester pembelajaran, kehidupan kami menjadi lebih sibuk. Semakin banyak kursus yang diambil, semakin banyak tugasan dan pembentangan yang perlu disiapkan. Begitu juga dengan persiapan untuk ujian, sudah tentu lebih banyak buku yang perlu dibaca. Namun, jika tidak dipecahkan ruyung, mana boleh mendapat sagunya.
Jika di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pelajar boleh menambah seberapa banyak mata pelajaran pilihan atau elektif secara percuma daripada mana-mana fakulti yang ada. Asal sahaja sanggup berusaha kuat untuk berjaya melaksanakannya, tiada masalah dengan mengambil mana-mana kursus lain. Saya melihat apa yang ditawarkan ini sebagai peluang keemasan yang amat menguntungkan pelajar.
Saat ini kami sudah mula memasuki musim pemilihan dan pendaftaran kursus yang bakal ikuti pada semester hadapan. Selain memilih subjek, kami juga bertanggungjawab merangka dan mengatur sendiri jadual kelas masing-masing.
Pelajar diberi peluang untuk mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang mengikut keupayaan masing-masing. Kefleksibelan mengatur jadual pembelajaran amat menguntungkan kerana tidak terkongkong dalam satu kerangka pembelajaran yang terlalu ketat dan mungkin tidak mendatangkan hasil optimum kepada semua pelajar.
Pada asasnya saya lebih suka cara pembelajaran yang mendorong kita untuk berfikir serta memerlukan pemahaman yang mendalam berbanding cara menghafal dan terikat kepada teori serta skop yang terhad. Justeru, memberikan pilihan ini kepada pelajar akan membuka peluang untuk mereka memperkasakan kelebihan masing-masing berbanding jika hanya terikat kepada satu acuan yang sama untuk semua orang.
Oleh kerana tidak semua kursus pilihan akan ditawarkan pada setiap semester, maka pelajar harus sentiasa peka supaya berjaya mendaftar mata pelajaran diminati. Kami juga boleh memilih untuk belajar mata pelajaran yang digariskan bagi tahun yang berlainan. Sebagai contoh, semester ini saya mengambil kursus tahun empat, walaupun masih dalam tahun kedua. Hal ini dibenarkan, asalkan kita mampu melaksanakannya.
Sebagai pelajar, kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak universiti dengan mengamalkan sikap berhati-hati dan berfikir secara matang ketika proses membuat pilihan.
Sebelum membuat pendaftaran, pastikan kursus pilihan atau minor yang dipilih adalah sesuai dengan minat dan kebolehan. Hal ini penting kerana keputusan peperiksaan setiap kursus yang kita daftarkan akan diambil kira dalam perkiraan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK atau CGPA) nanti.
Uniknya sistem ini ialah universiti tidak lagi hanya melahirkan graduan melalui satu cetakan yang sama bagi setiap kursus. Graduan daripada jurusan yang sama akan mempunyai kebolehan dan kemahiran berbeza, hasil gabungan kursus berlainan yang mereka pilih semasa belajar di universiti.
Keadaan ini jelas lebih signifikan bila mana para pelajar mengambil kursus rentas fakulti. Ia bukan sahaja dapat memperkayakan ilmu tetapi juga membantu pelajar menilai sesuatu perkara daripada perspektif yang berbeza. Ini sangat bermanfaat dalam membentuk budaya intelektual dalam kalangan pelajar.
Memberi hak kepada mahasiswa untuk belajar rentas fakulti ialah langkah yang sangat penting dalam usaha memperkasakan siswa. Hak ini lebih utama untuk diperjuangkan berbanding hak untuk berhimpun dan berpolitik, kerana mahasiswa perlu menuntut ilmu sebelum menyibukkan diri dalam hal lain.
Saya membawa isu penyepaduan ilmu rentas bidang ini ketika diberi pelung berkongsi pengalaman bersama pakar-pakar pendidikan daripada dunia Islam yang mengambil bahagian dalam Mesyuarat Penyelarasan Universiti-universiti Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan OIC kali kedua, bulan lalu.

SALING BERKAIT
Malah, menuntut ilmu dalam pelbagai bidang yang berlainan bukanlah perkara baharu bagi umat Islam. Mengapa kita tidak melihat contoh kehebatan tokoh-tokoh cendekiawan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Al-Khwarizmi dan Al-Ghazali yang berjaya menguasai pelbagai bidang, tidak kira sains, kesenian, kemanusiaan, mahupun agama?
Sistem yang mengongkong dan menghadkan mahasiswa untuk belajar hanya dalam bidang tertentu sahaja sudah tidak lagi releven kerana ia hanya akan menyempitkan pemahaman dan pemikiran kita. Hakikatnya, setiap bidang ilmu yang kita pelajari sebenarnya saling berkait dengan ilmu-ilmu daripada bidang lain yang berbeza.
Jika mahu berjaya sehingga ke pentas dunia, kita harus gigih berusaha serta berani melakukan anjakan paradigma untuk keluar daripada kepompong yang selesa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia sangat kompetitif pada hari ini, untuk mempunyai daya saing, kita memerlukan ilmu yang bersepadu.
Awal minggu ini, ketika menghadiri forum bertajuk Sains Sosial Pasca-Barat: Kedudukan Tatanama Islam dalam Sains Politik di universiti, saya melontarkan persoalan ini kepada salah seorang ahli panel forum yang juga bekas Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik.
Menurut beliau, pada hari ini walaupun belajar dalam satu bidang sahaja sudah membolehkan memperoleh ijazah sarjana muda, namun ia tidak cukup untuk memberikan mahasiswa pengalaman yang sewajarnya bagi bersaing di pasaran kerja.
Untuk menjadi pusat pendidikan bertaraf dunia, kita tidak boleh sekadar terus berpaut kepada cara lama walaupun itulah yang dianggap cara terbaik suatu masa dahulu. Kita mesti berusaha untuk terus berada di hadapan. Jika kita alpa, kita akan ketinggalan.
Bagi pelajar, kami mengharapkan peluang yang lebih daripada kerajaan untuk berada di pentas dunia. Jika ahli sukan mendapat dana yang besar serta sokongan padu, kami juga memerlukan dana dan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Oleh kerana itulah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan agar kanak-kanak tidak membesar dengan hanya melihat peperiksaan sebagai matlamat pembelajaran. Kita tidak boleh sekadar belajar demi peperiksaan dan hanya mengambil kursus kerana terpaksa. Belajar perlu datang dari minat dan niat.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)










