‘Kabel besar’ atau ‘kabel politik’, Mara tak layan - Utusan Malaysia

‘Kabel besar’ atau ‘kabel politik’, Mara tak layan

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Isu kegagalan membayar balik pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) menimbulkan persoalan terhadap pengurusan dana awam. Golongan terlibat bukan sahaja terdiri daripada usahawan dan belia, tetapi juga individu berprofil tinggi seperti selebriti yang gagal melunaskan pinjaman jutaan ringgit.

Desakan semakin kuat agar Mara lebih telus, termasuk mendedahkan jika terdapat “tangan ghaib” yang melindungi pihak tertentu. Adakah sudah tiba masanya reformasi menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan dana awam digunakan dengan bertanggungjawab dan keadilan terjamin untuk semua?

Memuatkan artikel berkaitan…

Berapa jumlah pinjaman keseluruhan yang telah dikeluarkan Mara? Berapa ramai peminjam yang gagal membayar balik? Kegagalan ini menyebabkan ramai peminjam diisytiharkan muflis, membantutkan usaha membina semula kehidupan melalui pendidikan atau perniagaan.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan, ALIF FADLI MOHD. SORI dan ASLINDA NASIR bersama jurufoto, FARIZ RUSADIO dengan PENGERUSI MARA, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI.

PINJAMAN BERJUTA RINGGIT
MINGGUAN MALAYSIA: Antara persoalan yang timbul selepas isu kontroversi melibatkan selebriti popular, mengapa Mara dengan mudah memberi pinjaman jutaan ringgit kepada peminjam, adakah itu sejajar dengan objektif penubuhan Mara dari konteks pembiayaan perniagaan?
ASYRAF WAJDI: Mara terlibat dengan pelbagai program usahawan, ramai usahawan yang ada keupayaan dan kekuatan untuk melebarkan perniagaan sehingga ke luar negara, tetapi kita terhad dari peruntukan yang kerajaan berikan.

Mara memberikan peruntukan pinjaman bermula RM10,000 ke RM1 juta bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, mengembangkan perniagaan dan melestarikan kesinambungan sesebuah perniagaan. Mara ini bukan hanya beri wang, kita bantu dalam pelbagai aspek. Kita melatih untuk kemahiran tertentu dalam aspek perniagaan. Itu adalah objektif kita.

‘SAYA TIADA KENA MENGENA
DENGAN KELULUSAN’
Selain itu, kriteria utama sebagai seorang peminjam juga menjadi tanda tanya? Adakah status seseorang membolehkan permohonan pinjaman diluluskan dengan muda?

Setiap peminjam akan melalui proses yang sama. Pengerusi tidak berada di mana-mana jawatankuasa untuk luluskan permohonan, jadi saya tidak ada kena dengan sebarang proses kelulusan.

Tetapi tidak dinafikan ada pihak yang akan memohon surat sokongan atau ‘syafaat’ dari pihak-pihak tertentu, tetapi peminjam itu tetap perlu melalui proses yang betul. Kalau tidak, surat dari sesiapa pun saya tidak akan layan kerana akhirnya saya kena bertanggungjawab.

TIDAK AMBIL KIRA STATUS SELEBRITI
Maka persoalan seperti status selebriti atau pihak berpengaruh memudahkan proses kelulusan pinjaman itu tidak tepat?

Tidak adil jika ada pihak yang menuduh saya pilih kasih atas status seseorang untuk kelulusan. Saya juga dapati tidak ada kecurigaan melibatkan kelulusan pinjaman jika kita bercakap tentang skim pembiayaan perniagaan oleh selebriti tersebut.

Dalam laporan, status sebagai selebriti tidak diambil kira. Pinjaman dia diluluskan pada 2017 dengan melalui jawatankuasa yang dipatuhi. Kalau mahu tuduh ada tangan ghaib, susah hendak dibuktikan.

Proses penilaian sama, ada proses yang dibuat oleh jawatankuasa, sama ada di peringkat jawatankuasa negeri sebanyak RM500,000 ke bawah atau RM500,000 ke atas. Penilaian akan dibuat di peringkat jawatankuasa pusat.

Selain selebriti itu, adakah wujud selebriti lain yang turut membuat pinjaman Mara? Adakah mereka disiplin dalam pembayaran atau ada kalangan mereka yang liat dalam melunaskan hutang?

Seperti yang saya maklumkan, kita tidak menyenaraikan status peminjam sebagai siapa dan apa. Jadi, untuk saya katakan ada selebriti lain buat pinjaman itu, tidak dapat dipastikan. Sesiapa sahaja bebas memohon pinjaman.

MASIH BOLEH BINCANG
Mengambil isu selebriti tersebut, adakah pihak Mara sudah mengemukakan pelbagai cara dan proses memudahkan bayaran balik sebelum penyitaan serta permohonan status muflis?

Bila peminjam gagal melunaskan hutang dalam tempoh masa ditetapkan, kita masih ada ruang untuk perbincangan. Bila pihak Mara buka ruang perbincangan, jangan disalahgunakan. Perbincangan bermaksud, mereka datang beritahu apa masalah.

Saya tekankan, kita masih ada nilai ihsan. Maksudnya, bila mereka tidak boleh bayar, kita tidak tahu apa masalah. Jadi, datang berbincang. Kita boleh buat penjadualan dan persetujuan balik hutang-hutang ini.

Maksudnya ada segelintir peminjam yang sudah beberapa kali diberi peluang namun masih tetap berdegil untuk membayar balik?

Itu masalahnya perangai dan sikap segelintir peminjam yang mengambil mudah dan tidak bertanggungjawab. Mereka merasakan bahawa pinjaman Mara ini adalah pinjaman remeh. Tidak ada tindakan tegas yang akan dikenakan. Bukan keutamaan untuk bayar balik.

Mereka boleh meminjam untuk membeli kereta jutaan ringgit contohnya. Mereka boleh membeli rumah jutaan ringgit. Tetapi mereka tidak boleh membayar hutang pinjaman Mara ini. Mereka lebih rela untuk bayar kad kredit, tetapi tidak wang rakyat ini.

Tetapi bila kita mulakan tindakan tegas, selepas tiga bulan kita hantar notis tiada kompromi. Kalau masih berdiam diri, kita akan ambil tindakan mahkamah untuk menyita dan menyenarai hitam.

INI WANG RAKYAT
Tetapi ada yang melihat tindakan menyita, menyenarai hitam dan muflis tidak cukup untuk menakutkan peminjam yang liat membayar balik pinjaman wang rakyat?

Saya tidak tahu jika ada yang anggap notis bankrap adalah sesuatu perkara remeh. Selalunya bila kita mulakan proses permohonan notis bankrap, mulalah peminjam yang liat ini rasa takut dan ‘merayu’.

Sebab itu, kita lihat ada peningkatan drastik dalam pembayaran semula pinjaman terutama selepas kita memendekkan tempoh mula pembayaran balik dari enam bukan ke tiga bulan. Ramai yang sedar kepentingan bayar balik pinjaman.

Ini adalah wang rakyat. Amanah rakyat. Yang anda pinjam bukan wang persendirian tetapi rakyat. Hutang harus dilangsaikan. Dalam Islam, betapa berat hukum soal hutang ini sebenarnya.

NOTIS BANKRAP
Apa yang akan berlaku sebaik sahaja notis kebankrapan dikeluarkan?
Bila kita beri notis kebankrapan, ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada penjamin tetapi keluarganya. Mara juga mengikut lunas undang-undang negara. Kita tidak boleh suka hati sita rumah orang, rampas rumah orang, itu law of the jungle.

Tetapi kalau sudah sampai notis bankrap, itu adalah langkah terakhir. Namun, jangan ingat ruang tidak diberikan sebelum itu. Jadi, mereka yang ada masalah tunggakan itu boleh datang kepada Mara di seluruh negara, bincang.

Kalau buat tidak tahu, kita akan ambil tindakan undang-undang melalui mahkamah, bankrap atau sita dan macam-macam. Mara sudah melalui proses yang panjang untuk mendapatkan bayaran balik daripada peminjam.

TUNGGAKAN PINJAMAN

Setakat ini, berapa jumlah tunggakan yang tidak dibayar langsung oleh peminjam Mara?
Sejak 2014 sehingga 2024, jumlah hutang keseluruhannya adalah RM1.66 bilion. Daripada jumlah itu, RM126.8 juta adalah tunggakan yang tidak dibayar langsung membabitkan 13,548 peminjam.
Daripada RM126.8 juta, RM75.5 juta adalah untuk pembiayaan perniagaan, manakala pendidikan pula RM51.3 juta.

Daripada jumlah itu, berapa ramai yang telah diisytiharkan muflis?
Seramai 1,803 individu diisytiharkan bankrap dan kesemuanya membabitkan pembiayaan perniagaan. Kalau dalam pendidikan ini secara umumnya, kita banyak beri diskaun berdasarkan keputusan mereka.

Cuma ada yang bersifat culas, walaupun sudah bergaji besar dan mereka merasakan Mara ini tidak tegas dan lembut. Tetapi kita tetap tidak akan kompromi. Gunalah kabel sebesar mana pun saya sebagai Pengerusi Mara, tidak akan berkompromi.

Hendak guna kabel politik atau apa pun, kita tidak akan layan. Kita tidak ada hak sewenangnya melupuskan hutang dan memaafkan begitu sahaja sebab ini bukan wang kita. Ini wang rakyat.

Berapa ramai golongan belia yang membuat pinjaman Mara dalam bidang keusahawanan?

Mara menyediakan pembiayaan bagi golongan belia melalui Program Pembangunan Keusahawanan Belia. Sepanjang RMK-12 , Mara telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM49.7 juta kepada 2,343 usahawan belia melalui program ini.

Bagaimana perkembangan bayaran balik pinjaman Mara pada tahun ini?

Bayaran balik dalam tahun ini agak memberangsangkan, peminjam boleh datang berjumpa, Mara sering mengadakan program dan rakyat boleh memanfaatkan Mara di seluruh negara termasuk menerusi program Peace Of Mind.

Maksudnya pasukan baharu Mara benar-benar memainkan peranan yang sewajarnya dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman?

Sehingga hari ini kita diberikan amanah tersebut, saya menggalas tugas sebagai Pengerusi dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Ahli Majlis melihat secara menyeluruh soal disiplin kewangan.

Banyak perkara kita tambah baik dan pertingkatkan, bukan sahaja dari segi laporan kewangan, tadbir urus tatakelola kewangan dan audit dalaman dilakukan secara berterusan dalam memastikan disiplin kewangan berada pada tahap tertinggi.

Bagi saya kita tidak boleh ambil sikap acuh tidak acuh dan tidak boleh sedikit pun membenarkan walaupun satu sen wang Mara iaitu wang rakyat dibazirkan ataupun tiris dalam apa jua bentuk.

Ini adalah amanah dan harapan besar rakyat kepada Mara yang merupakan institusi penting untuk memperkasakan agenda ekonomi dan bumiputera.

Apa tindakan drastik Mara untuk menggesa peminjam membayar balik pinjaman?

Kalau dulu, enam bulan orang tidak bayar secara berterusan dan ansuran, baru kita ambil tindakan, tetapi sekarang hanya tiga bulan untuk nama peminjam tersebut disenarai hitam dan hantar notis tuntutan, segala prosedur mahkamah dilakukan.

Tahun ini, Mara diberi sebanyak RM140 juta, ini pun tidak banyak untuk pembiayaan perniagaan, kita gunakan semua duit yang dikumpul balik ini untuk dipusingkan kepada peniaga dan usahawan yang lain.

Maka, sebab itu aspek disiplin ini amat mustahak untuk memastikan proses pembiayaan ini berada pada tahap yang baik. Kita tidak pilih kasih walaupun ada surat sokongan daripada sesiapa, tetapi paling utama soal pembayaran balik perlu mengikut jadual.

Sebelum ini, Mara pernah mendedahkan secara umum senarai peminjam yang liat membayar hutang. Ada pertimbangan akan dibuat untuk mendedahkan kepada umum senarai nama peminjam yang tidak dibayar?

Benar, Mara pernah mendedahkan senarai nama yang tidak bayar, ketika itu ada dalam kalangan anggota Kabinet yang tidak bayar. Tetapi kita tidaklah melihat itu sebagai satu tindakan penting buat masa ini.

POLITIK

Adakah Lembaga Disiplin UMNO akan memanggil Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri tentang kedudukannya?

Setakat ini, tiada ada apa-apa laporan kerana Lembaga Disiplin berdiri sendiri daripada pengurusan parti dan bagi saya yang pentingnya untuk Tengku Zafrul boleh berjumpa terus dengan Presiden menjelaskan apakah benar apa yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri itu bahawa ada perundingan dan perbincangan.

Kita sebagai pemimpin dalam parti ini perlu menghormati ketua, kita yang patut berjumpa dengan ketua kita, bukan ketua yang perlu telefon kita tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Adakah perkara ini membuatkan hubungan antara UMNO dan PKR ‘dingin’?

Saya hanya memperingatkan bahawa jangan sampai pisang berbuah dua kali. Pengalaman UMNO ketika 1974 adalah antara natijah daripada barah yang ada. Jadi, cukuplah satu dua insiden saja untuk menatijahkan sesuatu yang tidak baik.

Lebih baik kita saling hormat menghormati, wujudkan kepercayaan dan juga keyakinan antara satu sama lain. Ambillah pengajaran yang lama, jangan sekali-kali perkara yang lama berulang kembali.

Kita tidak akan mengizinkan soal mencuri ahli atau pemimpin mana-mana parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Ini bukan soal UMNO dengan PKR semata-mata.

Apa penyelesaiannya?

Kita sudah bincang, Presiden UMNO sudah jumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri akur bahawa ini pendirian UMNO, jadi saya tidak rasa bahawa dia akan meneruskan perkara ini kerana kita dalam sebuah Kerajaan Perpaduan. Perdana Menteri kata perkara ini dia akan selesaikan dan tidak akan berterusan.

Adakah UMNO masih memberi laluan kepada ahli UMNO lain yang digantung dan dipecat seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin untuk kembali perkukuh parti?

UMNO tidak pernah tutup pintu kepada sesiapa. Tetapi kali ini, perkara pertama yang UMNO perlu ingat, semua kena bersatu di bawah satu payung, suka tidak suka, dalam Islam pemimpin itu perlu kita taat selagi mana dia tidak ajak kita buat kemungkaran.

Kita juga mengalu-alukan kepada mereka yang mahu menyumbang untuk kekuatan parti, tetapi jangan kita ingat bahawa kita kita boleh melakukan sewenang-wenangnya seolah-olah kita lebih besar daripada parti.

Kita sepatutnya belajar daripada kesilapan-kesilapan lampau, mereka-mereka ini bukan tidak ada jasanya, jasanya hebat manfaatnya besar, tetapi isu dalaman itu yang menyebabkan apabila wujudnya kelompok-kelompok dalam parti kita sendiri yang memikirkan soal diri sendiri berbanding soal agenda perjuangan.

Sekali lagi saya tekankan siapa juga yang mahu menyumbang untuk kekuatan parti dialu-aluka dan semua yang ni adalah lahir daripada rahim UMNO. Datuk Seri Anwar dari rahim UMNO, Tan Sri Muhyiddin dari rahim UMNO, semua pemimpin ini lahir dari rahim UMNO, sekarang ini berpecah akhirnya kuasa Melayu berpecah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini