Hargai khidmat bakti warga pesara

Hargai khidmat bakti warga pesara

TAN Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) menyampaikan bantuan asas kepada pesara uzur, Rohati A. Jalil, di Bukit Payong, Terengganu, pada 30 Oktober 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang kian mencabar, terutama dengan cabaran ekonomi semasa, pesara sering menjadi golongan yang terkesan. Keperluan untuk terus menyara kehidupan selepas bersara, dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, menuntut keprihatinan dan perhatian berterusan daripada pihak kerajaan.

Pesara, yang telah menyumbangkan sebahagian besar hidup mereka kepada perkhidmatan awam, berhak menikmati hari-hari persaraan dengan lebih selesa. Kesedaran inilah yang mendorong kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah bersasar yang bertujuan mengurangkan beban kewangan mereka.

Dalam konteks ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan pesara terus terpelihara. Salah satu inisiatif penting ialah Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), yang mula diperkenalkan selepas keputusan penting di mahkamah yang melibatkan struktur penyelarasan pencen pesara perkhidmatan awam.

Aminah Ahmad, seorang pesara perkhidmatan awam di Kementerian Luar Negeri, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan pada 2017 atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam yang lain, mendakwa pindaan terhadap seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] yang membenarkan kenaikan pencen tahunan sebanyak dua peratus setiap tahun telah menyebabkan keadaan yang kurang baik kepada beliau berbanding penyelarasan pencen sebelum ini di bawah Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang memihak kepada Aminah. Keputusan ini diterima oleh Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan pindaan terhadap seksyen 3 dan 7 Akta A1447 ini terbatal dan tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen kerana bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan perlindungan hak pencen.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini diterima baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata pada 6 Julai 2023 bahawa kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan serta mempunyai mekanisme untuk mengharmonikan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan keperluan menjaga kebaikan pesara yang terkesan berikutan keputusan tersebut yang sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan pesara.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu, ramai pesara kini bergelut untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Inflasi, peningkatan harga barangan keperluan dan perbelanjaan perubatan sering menjadi isu utama yang membebankan golongan ini. Oleh itu, kerajaan menyedari bahawa sokongan tambahan diperlukan untuk membantu pesara menangani cabaran ini.

Inisiatif PKKP adalah manifestasi kepada rukun ihsan yang menjadi salah satu asas Malaysia Madani. Ia menggambarkan semangat keprihatinan dan usaha untuk membantu golongan pesara melalui pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya pada 18 Julai 2023 mengumumkan bahawa pesara akan menerima amaun pencen asal sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023. PKKP pula diberikan mulai Julai hingga Disember 2023 menjadikan jumlah bayaran pencen yang diterima sama seperti Jun 2023. Bantuan khas PKKP ini telah dipersetujui untuk diteruskan oleh kerajaan kepada pesara yang terkesan dari tempoh Januari 2024 hingga Disember 2024.

Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan pesara turut menerima manfaat seperti penjawat awam yang lain yang mana kerajaan berusaha memastikan pesara tidak terpinggir daripada arus pembangunan dan penambahbaikan ekonomi negara. Melalui pelaksanaan pelarasan gaji yang diberikan secara berfasa di bawah pelaksanaan SSPA, iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026, pesara perkhidmatan awam turut menerima penyelarasan pencen yang mana amaun pencen mereka akan diselaraskan mengikut fasa tersebut ke atas gaji akhir pesara.

Namun, kerajaan juga menyedari bahawa langkah ini mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi sepenuhnya cabaran yang dihadapi pesara. Oleh itu, Perdana Menteri sendiri mengumumkan bahawa kerajaan, melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember lalu, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menerima PKKP sebagai bantuan khas bagi menghargai sumbangan pesara dan menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini. Malah, nilai-nilai ihsan ini diperluaskan melalui pembentangan Belanjawan 2025 dengan pemberian sumbangan bantuan khas kewangan berjumlah RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Kesediaan kerajaan untuk terus menyokong pesara adalah cerminan penghargaan terhadap khidmat bakti mereka selama ini. Semasa berkhidmat, pesara perkhidmatan awam telah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, memastikan pentadbiran berjalan lancar dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Justeru, usaha untuk menyantuni mereka selepas bersara adalah satu tanggungjawab moral dan sosial yang tidak boleh diabaikan.

Langkah menyantuni pesara ini bukan sahaja memberi impak positif kepada golongan tersebut, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Dengan memberikan bantuan kewangan tambahan, kerajaan membantu meningkatkan kuasa beli pesara, yang secara tidak langsung merancakkan aktiviti ekonomi.

Keprihatinan kerajaan terhadap pesara mencerminkan iltizam yang tinggi untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara. Inisiatif seperti PKKP dan kenaikan pencen melalui SSPA adalah langkah-langkah yang membuktikan bahawa kerajaan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk membantu golongan rentan.

Dalam masa yang sama, penghargaan terhadap khidmat bakti pesara ini membawa mesej penting bahawa jasa dan pengorbanan mereka tidak pernah dilupakan. Sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan prinsip ihsan, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, usaha ini adalah langkah signifikan ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×