UJIAN kehidupan adalah kepastian yang akan dilalui oleh manusia di muka bumi ini. Ia ditentukan oleh Allah SWT untuk menguji keimanan, ketakwaan dan kesabaran hamba-hambaNya. Semua akan diuji, hatta para nabi dan rasul juga diuji. Sama ada hamba-hambanya beriman atau tidak beriman kepadaNya pasti akan menerima dan melalui ujian kehidupan.
Ujian kehidupan ini pelbagai, sama ada dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan, kesakitan, penderitaan, ketakutan, kelaparan, wabak penyakit dan bencana alam. Malah, pelbagai krisis kehidupan yang dilalui manusia sama ada secara individu mahupun masyarakat adalah juga ujian yang datang dari Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Hakikatnya, baik dan buruk yang dilalui dalam kehidupan ini semuanya adalah ujian buat manusia di dunia yang bersifat fatamorgana. Dalam surah al-Ankabut, ayat 1-2, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian, nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya mengenai orang-orang yang berdusta.”
Demikian juga dalam surah Al-Mulk, ayat 2, Allah SWT berfirman, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang baik amalnya dan ia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat” .
Ujian kehidupan ini sudah tentu termasuk musibah tertentu seperti bencana alam. “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan” (Al-Baqarah: 155).
Bila ujian kehidupan datang melanda maka sama ada seseorang itu reda atau tidak pasti ia perlu melaluinya. Bagi orang beriman, pastinya ujian yang datang diterima dengan reda, tawakal dan jika ujian itu berupa kesenangan buatnya maka ia akan bersyukur dan tidak lupa akan kedudukannya sebagai hamba Allah. Mereka akan tetap mengingati Allah walaupun ketika menerima ujian, “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” (Al-Baqarah, ayat 156).
Ketika ini negara sedang berdepan musim tengkujuh yang antara risiko atau kesannya ialah terjadinya kejadian atau musibah tanah runtuh, banjir dan sebagainya. Banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri ketika ini sudah tentu menimbulkan pelbagai kesulitan (ujian), terutamanya kepada mangsa-mangsa banjir. Mereka mungkin mengalami kerugian harta benda, malah ada yang kehilangan nyawa. Semua ini boleh memberi tekanan kepada mental dan emosi.
Dalam saat seperti inilah kita mesti tingkatkan kesabaran dan keyakinan pada Allah. Islam tidak menjadikan musibah sebagai perkara yang sia-sia kerana bagi yang reda akan diberi ganjaran pahala dan akan ada hikmah-hikmah tertentu di sebaliknya.
Di saat bencana melanda inilah maka akan ada dalam kalangan anggota masyarakat yang berpadu tenaga untuk menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk tenaga (menyelamat) atau keperluan-keperluan asas seperti makanan, pakaian dan sebagainya.
Sudah tentu di pihak kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Agensi Bencana Alam (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya sentiasa bersiap sedia untuk menyelamat, memindah dan menghulur keperluan kehidupan buat mangsa-mangsa banjir.
Dalam masa sama mereka yang menguruskan mangsa banjir juga akan menerima ganjaran baik di sisi Allah. Yang penting semua bentuk amal kebajikan itu dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Salah satu hikmah kemasyarakatan yang diperoleh daripada musibah banjir ini ialah terjalinnya ikatan ukhuwah kejiranan dan sesama anggota masyarakat yang lain. Sikap mulia ini dijelmakan melalui gerak kerja membantu mangsa-mangsa banjir atau musibah lain oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai kumpulan masyarakat, termasuk orang perseorangan.
Sebaik-baiknya gerak kerja mulia itu perlulah melalui kerjasama dengan pihak berautoriti yang dipertanggungjawab mengurus bencana supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham, selain dapat memberi impak yang lebih berkesan kepada kerja menyelamat dan membantu.
Pihak berautoriti pula sebaiknya tidak wajar menolak atau menafikan tindakan mana-mana pihak atau sesiapa sahaja yang mahu menghulur bantuan atas kapisiti dan kemampuan mereka.
Apa yang penting usaha-usaha membantu tidak terhenti pada pasca banjir kerana ia memberi cabaran besar terutama di kawasan-kawasan yang menghadapi banjir besar. Selepas banjir mereka akan menempuh fasa membaik pulih keadaan rumah, membersihkan rumah, mengeluar dan membuang barangan yang rosak agar kehidupan kembali seperti sediakala.
Ada kalangan mangsa yang mungkin mengalami kerosakan rumah yang teruk, kerosakan kenderaan dan sebagainya. Pastinya kumpulan B40 dan M40 akan mengalami masalah kewangan yang besar jika keadaan ini berlaku. Ketika inilah mangsa sekali lagi memerlukan kesabaran dan tawakal yang tinggi. Justeru, elakkan sikap merungut, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan ujian Allah.
Kerajaan pula harus prihatin supaya bantuan dan pertolongan yang sewajar diberikan kepada mangsa-mangsa banjir tanpa pilih kasih atau melewat-lewatkan bantuan. Sektor swasta dan majikan juga patut menghulurkan bantuan supaya beban yang dipikul dapat diringankan.
Kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada ujian, musibah dan malapetaka, tiada siapa boleh terlepas daripada berdepan cabaran dalam kehidupan. Justeru, sebagai hambaNya maka kita mesti reda dan sabar segala ketentuan dari Allah.
Pastinya yang berjaya mengharungi ujian atau musibah yang datang akan ditingkatkan kualiti keimanan dan ketakwaannya kepada Allah serta menikmati ganjaran kebaikan di akhirat kelak.-UTUSAN
Penulis adalah penganalisis sosiopolitik bebas.










