BANYAK isu telah dan sedang dibincangkan di peringkat global berkaitan dengan perubahan iklim akibat daripada peningkatan suhu dunia. Perkara ini dikaitkan dengan aktiviti pelepasan gas rumah hijau oleh aktiviti manusia seperti industri, kenderaan bermotor dan bekalan tenaga. Perubahan iklim memberi kesan kepada kepelbagaian biologi dalam banyak segi. Antaranya ialah mengurangkan kepelbagaian genetik dalam populasi yang berhijrah, mempengaruhi kadar pembiakan, meningkatkan paras laut yang merosakkan habitat yang boleh menyebabkan kepupusan haiwan dan tumbuhan, meningkatkan kejadian cuaca melampau seperti kemarau, gelombang panas dan hujan lebat. Semua isu yang berkait antara satu dengan lain ini memerlukan kerjasama semua pihak.
Persetujuan dunia berkaitan perubahan iklim, kehilangan kepelbagaian biologi dan tanggungjawab sosial telah dibincangkan dalam banyak siri persidangan. Sidang Kemuncak Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP16 yang sedang berlangsung di Columbia juga menyarankan tindakan segera bagi memulihkan kepelbagaian biologi yang dirosakkan oleh manusia. Dunia diberi amaran kesuntukan masa untuk menyelamatkan kira-kira sejuta spesies dipercayai terancam kepupusan.
Seluruh dunia bersetuju agar lebih banyak peruntukan kewangan dan kepakaran diperlukan bagi mencapai misi yang ditetapkan PBB. Sumber pembiayaan untuk penyelidikan, program kesedaran dan pendidikan sangat diperlukan. Terlalu banyak perbincangan dalam pelbagai persidangan sejak lebih 50 tahun dahulu untuk memastikan keharmonian manusia dan alam sekitar. Daripada penumpuan kepada kepelbagaian biologi dan perubahan iklim hinggalah sekarang menumpukan kepada kesihatan planet.
Ketidakseimbangan alam sekeliling boleh menyebabkan banyak krisis ekologi dan memerlukan undang-undang serta tadbir urus yang teratur.
Tadbir urus yang baik meliputi segala proses dan interaksi melalui undang-undang dan peraturan termasuk kuasa-kuasa masyarakat yang tersusun. Dalam proses ini melibatkan banyak pihak termasuk pemerintahan kerajaan semasa di peringkat pusat, negeri dan wilayah. Semua pihak mesti memahami undang-undang serta kepentingan undang-undang dan peraturan untuk manusia dan alam sekeliling. Dalam banyak hal keselarian politik, pentadbiran dan alam sekeliling mestilah diambil kira.
Kerjasama antara politik, organisasi komuniti dan penguatkuasaan undang-undang sangat penting kerana sebarang krisis ekologi yang berlaku akan menyebabkan kesan kepada kualiti hidup manusia dari segi kesihatan, ekonomi dan kesan-kesan lain yang berangkai melibatkan kepelbagaian biologi.
Undang-undang yang sedia ada mungkin boleh ditambah baik untuk kesejahteraan manusia dan alam sekitar terutama dalam membuat keputusan untuk pembangunan. Dalam memastikan dasar berkaitan alam sekitar dapat menyokong aktiviti manusia yang mampan, tadbir urus berkaitan alam sekitar perlu cekap. Semua pihak berkepentingan perlu berinteraksi secara formal atau tidak di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.
Satu contoh isu alam sekitar yang boleh menyokong aktiviti mampan dan kesejahteraan manusia ialah kualiti air. Air sangat penting dalam kehidupan harian manusia serta menyokong habitat haiwan dan tumbuhan akuatik. Kestabilan kualiti air penting dalam sosio-ekonomi manusia. Nelayan sungai dan pantai misalnya sangat bergantung kepada kualiti air sungai. Tadbir urus yang baik diperlukan untuk kemampanan ekosistem sungai.
Pengawasan kualiti air sungai Jabatan Alam Sekitar (JAS) sangat penting bagi menentukan kualiti air sungai dan mengesan perubahan ke atas kualiti air sungai. Indeks Kualiti Air (IKA) sebagai panduan untuk mengukur tahap pencemaran dan kesesuaian jenis guna air seperti yang ditetapkan oleh Standard Kualiti Air Negara. Parameter IKA termasuk oksigen terlarut, keperluan oksigen biokimia, keperluan oksigen kimia, ammonia nitrogen, pepejal terampai dan pH. Pencemaran yang berlaku selalunya berkaitan dengan pelepasan sisa kumbahan yang tidak dirawat dengan sempurna, pelepasan efluen daripada industri, dan aktiviti pertanian dan penternakan, kumbahan domestik dan aktiviti pembukaan tanah.
Daripada IKA, sungai-sungai dapat dikelaskan mengikut kualiti bekalan air dan kesesuaian penggunaannya. Misalnya air sungai Kelas I (IKA>92.7) boleh digunakan dalam keadaan semula jadi. Kelas IIA (IKA 85.0-92.7), air memerlukan rawatan konvensional, Kelas IIB (IKA 76.5-85.0) air boleh digunakan untuk rekreasi, Kelas III (IKA 51.9-76.5) air memerlukan rawatan intensif, Kelas IV (IKA 31.0-51.9) hanya untuk tujuan pengairan manakala Kelas V (IKA<31.0) air tercemar teruk.
Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim sudah cukup untuk semua rakyat Malaysia belajar. Kurang sekali perbincangan berkaitan krisis ekologi dan kesan kepada kepelbagaian biologi serta sosio-ekonomi penduduk tempatan. Contoh lain yang boleh rakyat Malaysia pelajari ialah Sungai Buloh, Selangor. Perubahan kualiti air dan pencemaran yang berlaku memberikan kesan serius kepada nelayan pantai. Antara pencemaran ialah efluen daripada industri, aktiviti perladangan dan hakisan permukaan.
Muara Sungai Buloh yang suatu masa dahulu sangat produktif menjadi kawasan ternakan kerang, habitat burung hijrah dan aktiviti nelayan pantai. Pendapatan nelayan tempatan semasa itu jauh lebih baik daripada sekarang melalui aktiviti ternakan kerang, tangkapan ikan dan ekopelancongan. Ekosistem Sungai Buloh boleh dijadikan model untuk sasaran beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030).
Transformasi tadbir urus penting dalam isu-isu berkaitan perubahan iklim dan kepelbagaian biologi termasuk spesies asing invasif. Cabaran tadbir urus ialah masa yang lama untuk tindakan ke atas perubahan atau kesan kepada alam sekitar, masalah yang kompleks dan tidak difahami, dan masalah yang kompleks antara negara misalnya jerebu melibatkan negara Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand. Pengetahuan dalam ekologi dan tadbir urus pentadbiran negara antara cara terbaik menyelesaikan masalah kemerosotan alam sekitar, dan mempromosikan transformasi peradaban ekologi. – UTUSAN
AHMAD Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










