SEJAK kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2018, Kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan selepas itu kurang stabil dan ada kerajaan negeri turut berada dalam keadaan yang serupa. Sejak BN dijatuhkan, kerajaan persekutuan sudah dipimpin oleh empat Perdana Menteri dari empat parti utama dalam perikatan politik yang berlainan. Ini berlaku dalam tempoh enam tahun ke belakang. Beberapa negeri turut bertukar kerajaan dari tangan BN dan UMNO kepada parti dan gabungan parti baharu, termasuk ada juga kerjasama di antara UMNO dengan parti lain bagi membolehkan sesetengah kerajaan wilayah ditubuhkan.
Enam puluh tahun sebelum ini, iaitu dari 1957 sehingga 2018, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh enam Perdana Menteri yang mengetuai satu parti utama dalam perikatan parti seperti Alliance dan kemudiannya BN. Semua kepimpinan dan kerajaan tersebut stabil dan kuat kerana parti utama menang majoriti sendiri. Semua parti komponen tidak diperlukan untuk menubuhkan kerajaan tetapi mereka menjadi pelengkap. Dua pertiga diperolehi oleh UMNO dan BN kerana sokongan dari parti lain terutamanya MCA dan dari gabungan parti di Sabah dan Sarawak. Justeru, presiden UMNO memimpin perikatan dari sudut kuat dan tanpa ada mana-mana parti komponen berani berlainan pendapat dengannya. Ini termasuk tiada yang berani cuba mengugut UMNO seperti sekarang di mana ada pihak tertentu secara terbuka mengancam kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.
Ini tidak termasuk lagi ada pihak seperti DAP di mana kepimpinan utama mereka memilih untuk berdiam diri tetapi akar umbi mereka sudah lama gelisah kerana harapan dari memberi sokongan kepada PKR dan PH dikaitkan dengan janji reformasi yang tidak ditunaikan lagi. Namun, ada pihak mengatakan mereka masih berdiam diri dan terus berada dalam perikatan itu kerana itu pilihan terbaik semasa dan dalam keadaan tersepit ibarat pepatah Dayak “lari ari ribut, betemu enggau ujan” (lari dari ribut, bertembung dengan hujan). Tetapi, berapa lama pula mereka bersedia berada dalam keadaan sebegitu kerana ada juga pepatah Inggeris mengatakan “lebih baik (berkawan dengan) syaitan dikenali dari syaitan tidak dikenali”.
Dalam keadaan Kerajaan Persekutuan kuat, maka banyak hal boleh dijentolak oleh UMNO kepada rakannya dalam BN. Dalam tempoh BN berkuasa, proses nyah pusat atau nasionalisasi mudah dilakukan khasnya berkaitan hal-hal penting bagi Sabah dan Sarawak. Ini termasuk peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi kelonggaran dan perlindungan kepada Sabah dan Sarawak, termasuk pemindahan atau penyerahan kepada Petronas hak menggali minyak dan gas di persisiran pantai wilayah berkenaan. Dalam banyak hal, semua hak itu diserahkan dan bukan dirampas oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam keadaan politik sekarang, umum didedahkan bahawa ketidakadilan berlaku kerana kekayaan wilayah berkenaan diambil oleh pusat untuk bangunkan wilayah Malaya.
Selepas 10 tahun pertama penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Ini hanya boleh dilakukan dengan persetujuan kedua-dua wilayah itu pada masa tersebut. Peruntukan dalam perlembagaan persekutuan manyatakan bahawa Sabah dan Sarawak sama ada selepas 10 tahun kelak akan mengekalkan atau menukar Inggeris kepada Melayu dalam sistem sekolah kedua-dua wilayah itu.
Pertukaran ini pada 1974 bukan tindakan paksaan dari Kuala Lumpur. Sama juga, bahawa pemindahan hak dan kuasa menggali gas dan minyak diberi oleh Sabah dan Sarawak melalui persetujuan kedua-dua wilayah itu dalam Akta PDA 1974.
Apa yang sudah diputuskan tidak akan dikembalikan. Mengembalikan sesuatu bukan bergantung kepada si penuntut tetapi ihsan si penerima, iaitu Petronas dan Perdana Menteri. Justeru, beberapa keadaan mesti dilihat dalam konteks sama ada Kerajaan Madani mahu memulangkan semula hak dan kuasa ini kepada si penuntut (Sabah dan Sarawak). Pertama, hal terlalu penting untuk dibuat oleh seorang pemimpin tanpa memikirkan implikasi kepada kepimpinan dan asas sokongan beliau, iaitu dari pengundi Malaya dan Melayu. Sekiranya beliau bersetuju, maka beliau akan hilang sokongan dan akan ditendang dari kedudukannya yang memang goyah dari mula. Justeru, pilihannya ialah melengah-lengahkan masa sehingga pilihan raya umum akan datang.
Kedua, Anwar dan PKR tidak ada kuasa memulangkan hak ke atas minyak dan gas yang dituntut wilayah Borneo. Ini adalah kerana PKR tidak ada jumlah kerusi Parlimen yang dominan dalam kalangan parti komponen PH. Walaupun PH ada dua pertiga, namun sokongan Malaya dari Melayu dan Cina Malaya belum tentu dapat beliau uruskan untuk sokongan usul berkaitan.
Ketiga, harapan Sarawak dan Sabah mengenai apa mereka tuntut dikembalikan dan diiktiraf berasaskan MA63 akan tinggal harapan semata-mata. Mereka akan dapat suatu tidak kekal seperti peruntukan tahunan bertambah, jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Yang Dipertua Dewan Negara. Perkara ini adalah ihsan dan pertimbangan Perdana Menteri dan ia boleh berubah dari masa ke masa bergantung kepada siapa Perdana Menteri pada ketika itu.
Umum mengetahui bahawa hanya kebijaksanaan Tuanku Agong menyebabkan kurang polemik dan politik bagi memberi laluan PH memimpin negara dalam keadaan tenang sehingga penghujung tempoh. Namun, prestasi beberapa menteri Kabinet Kerajaan Madani dan jawapan Perdana Menteri dalam sesi Parlimen bahawa perbelanjaan rombongan kerajaan ke luar negara baru-baru ini tidak mendekatkan mereka dengan rakyat. Rakyat tahu hal ini kerana ada pembangkang yang kuat dan memainkan peranan mendedahkan perbuatan Kerajaan Madani yang dipandang kurang senang dan bercanggah dengan aspirasi mereformasi urus tadbir negara.
Kebelakangan ini, kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat wilayah atau negeri sering dan suka sangat memberi wang kepada rakyat tanpa banyak penilaian mendalam ke atas implikasi perbuatan ini kepada kesihatan kewangan negara. Pemimpin lumrah berbelanja seperti memberi kenaikan gaji, bonus dan insentif kepada pelbagai pihak tanpa mengaitkan hal tersebut dengan produktiviti. Teori ekonomi memaklumkan bahawa kenaikan gaji tanpa diikat dengan peningkatan produktiviti akan merendahkan nilai mata wang yang berebut barangan yang sama.
Dua tahun sudah berlaku, Kerajaan Madani memerlukan penilaian dan rombakan bagi meningkatkan efisiensi kerajaan. Ini tidak mudah dilakukan kerana ramai lantikan dibuat untuk mengikat kesetiaan dalam keadaan politik nasional yang tidak menentu dan kesetiaan politik terikat kepada pampasan. Ini cabaran berdepan PKR dan khasnya Anwar Ibrahim. Beliau ada dua tahun lagi untuk perkukuhkan kedudukan beliau bagi menjamin kelangsungan Kerajaan Madani dan peluang beliau naik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU ke-16. – UTUSAN
DATUK Dr. Jayum Anak Jawan ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Penasihat di Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN).










