SEMAKIN digempur semakin menjadi-jadi. Itulah ungkapan terbaik menggambarkan situasi masalah rasuah baik di sektor awam mahupun swasta.
Tangkapan demi tangkapan yang dibuat pihak berkuasa menunjukkan masalah moral dan integriti ini semakin serius dan apa yang pasti ia berlaku merentasi semua sektor dan lapisan anggota masyarakat.
Hakikatnya kecurangan segelintir individu yang mementingkan diri, dikuasai sifat tamak haloba, tidak amanah dan hilang nilai integriti menyebabkan seluruh organisasi terpalit dan merudum bersama. Tuntasnya masalah jahil amanah semakin membimbangkan.
Suka atau tidak, perlu akui rasuah sudah menular menjadi sistematik dalam anggota masyarakat di hampir semua sektor sehingga terlalu sukar untuk dicegah dan dihentikan.
Umpama patah tumbuh hilang berganti, masalah rasuah terus menghantui generasi ke generasi termasuk kelompok anak muda yang baharu memasuki alam pekerjaan angkara pengaruh pekerja senior.
Ini menyebabkan usaha membanteras rasuah sering berhadapan dengan pelbagai cabaran yang besar, justeru baik pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi mahupun warga organisasi yang masih kuat pegangan dan amalan integriti disyorkan terus mencipta pelbagai inisiatif kreatif bagi memerangi rasuah dari peringkat akar umbi.
Ironinya kita tidak boleh berputus asa dalam memerangi ketirisan sebaliknya perlu terus nekad menggempur kelompok yang menjejaskan imej organisasi, merugikan wang rakyat dan memalukan negara.
Agensi penguatkuasaan yang selama ini bertindak tangkas menjadi penyelamat wang negara disyorkan terus melipatgandakan usaha pembanterasan dengan meneroka pelbagai pendekatan baharu untuk menangani masalah ketirisan di semua peringkat khususnya dari segi strategi penyiasatan.
Misalnya, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah antara langkah inovatif dan proaktif yang boleh membantu usaha memerangi rasuah.
Jadi agensi penguatkuasaan perlu bingkas beradaptasi dengan pelbagai teknologi tinggi dalam merancakkan siasatan.
Pihak berkuasa juga digalakkan lebih banyak memberi tumpuan kepada usaha pencegahan dengan memupuk kesedaran dalam kalangan golongan muda khususnya pelajar sekolah dan mahasiswa yang bakal mengemudi masa depan negara.
Gunakanlah secara kreatif kemudahan platform teknologi dan komunikasi yang sesuai dengan generasi sekarang seperti TikTok, Instagram dan X untuk mendekatkan diri dengan kelompok ini bagi menyebarluaskan kepentingan menjaga dan memelihara integriti, amanah serta jati diri dalam setiap urusan harian.
Sedarkan mereka kesan negatif kepada diri, keluarga, organisasi dan negara jika terpalit dengan gejala rasuah.
Dalam masa sama, pihak pengurusan organisasi tidak boleh memejamkan mata dan membiarkan masalah ketirisan merosakkan nama baik dan reputasi masing-masing.
Dalam konteks ini setiap organisasi tidak boleh hanya bergantung harap kepada pihak berkuasa semata-mata sebaliknya perlu merangka pelan pencegahan rasuah sendiri. Ini tanggungjawab moral yang perlu dipikul bersama demi menjaga nilai dan budaya kerja yang berintegriti.
Dalam konteks memerangi rasuah, kita tidak boleh mengamalkan konsep satu saiz muat semua, yakni menggunakan formula yang sama untuk tangani masalah ketirisan sebaliknya perlu merangka dan melaksanakan pendekatan berbeza dan bersesuaian mengikut keadaan latarbelakang kes.
Hakikatnya, setiap organisasi perlu kaji dan memahami terlebih dahulu kenapa seseorang warga kerjanya terbabit rasuah selain melihat kelemahan sistem yang membuka ruang kepada mereka untuk mengambil kesempatan.
Hanya selepas itu barulah tindakan yang efektif dapat dilaksanakan sekali gus boleh memberikan hasil yang sewajarnya.
Hakikatnya dua isu besar dalam setiap organisasi ialah adanya kelompok individu yang tidak amanah dan kedua wujudnya kelompongan dalam sistem serta prosedur kerja.
Jadi, pihak pengurusan organisasi perlu mempunyai pelan pencegahan dan penguatkuasaan yang kreatif untuk tangani kedua-dua masalah serius ini.
Ringkasnya, perlu diwujudkan kaedah penilaian efektif untuk meneliti status integriti warga kerja serta permasalahan sistem yang wujud sepanjang masa.
Sebagai contoh perlu ada sistem penilaian dan pemantauan berkesan yang mampu mengenalpasti mana-mana individu terlibat dalam rasuah. Ia perlu berfungsi secara efisien dan mampu memberikan amaran awal supaya jika ada yang tidak kena, maka pihak pengurusan boleh bertindak dengan pantas agar nasi tidak menjadi bubur.
Dalam konteks ini pegawai penyelia perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab kerana sebagai individu yang kenal dan rapat dengan anak buah mereka sepatutnya mudah dan bijak menghidu kecurangan yang berlaku.
Manakala sistem dan prosedur kerja yang ada pula perlu sentiasa dikaji dan ditambah baik supaya tidak ada individu yang memanipulasi kelemahan yang ada.
Jujurnya kebanyakan masalah salah guna kuasa dan penyelewengan yang sedang berlaku berpunca daripada kelompongan dalam sistem yang ada sehingga mereka bijak mengaburi mata semua pihak.
Harus diingat sistem yang bermasalah jika terus dibiarkan lama-kelamaan boleh turut mengheret individu yang amanah dan berintegriti terjebak dan menjadi mangsa keadaan.
Dalam konteks ini, menggunakan teknologi dan mengurangkan perhubungan langsung dengan pelanggan adalah antara amalan kerja terbaik yang mampu mengurangkan gejala rasuah dalam sesuatu organisasi.
Kita memuji langkah beberapa agensi penguatkuasaan yang mula menggunakan teknologi terkini seperti kamera badan untuk pantau gerak geri anggotanya dan mampu membanteras masalah salah guna kuasa dan rasuah. Diharap lebih banyak lagi agensi akan mengikuti jejak langkah seperti ini.
Walaupun inisiatif ini melibatkan kos yang tinggi namun percayalah pelaburan dalam segmen integriti tidak pernah merugikan sebaliknya akan memberikan pulangan yang besar dengan meletakkan nilai sesuatu organisasi itu pada landasan yang betul dan bermaruah.
Dalam hal ini kita juga memuji inisiatif baharu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu meningkatkan amalan tadbir urus dan tatakelola baik dalam kalangan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara melalui Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT).
Ini satu usaha penambahbaikan yang kreatif dan wajar dicontohi oleh semua organisasi lain.
Besar harapan kita agar setiap agensi kerajaan dan swasta akan mula berfikir luar kotak dan mengambil langkah kreatif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk menangani masalah rasuah sekali gus meningkatkan budaya kerja berintegriti tinggi dalam organisasi masing-masing.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).











