Mudahnya Generasi Z menjadi mangsa propaganda, manipulasi di media sosial

Mudahnya Generasi Z menjadi mangsa propaganda, manipulasi di media sosial

KELALAIAN dalam memastikan sumber maklumat yang sahih di media sosial boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pemikiran dan tindakan Generasi Z.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital yang pesat berkembang, media sosial menjadi salah satu medium utama untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi pendapat. Generasi Z (Gen Z), terdiri daripada golongan muda yang lahir antara 1997 hingga 2012, adalah antara pengguna paling aktif platform-platform ini. Mereka bergantung kepada media sosial untuk berkomunikasi, belajar, berhibur dan mendapatkan berita. 

Namun, dalam keghairahan itu, generasi ini sering kali terdedah kepada maklumat tidak sahih, tidak beretika dan tidak disahkan kebenarannya.

Tidak dapat dinafikan media sosial memberikan kemudahan luar biasa dalam komunikasi. Platform seperti Instagram, TikTok, X dan Facebook membolehkan golongan muda berinteraksi dalam komuniti global dan terdedah kepada pelbagai budaya serta ideologi. Akses tanpa had ini membuka peluang yang luas untuk mereka mengenal dunia secara lebih dekat. Namun, dengan lambakan maklumat yang tidak ditapis, Gen Z berdepan risiko menjadi mangsa maklumat palsu, fitnah dan propaganda yang tersebar luas di platform ini.

Penyelidikan mendapati bahawa hampir 70 peratus pengguna media sosial dalam kalangan Gen Z menganggap platform ini sebagai sumber maklumat utama mereka. Malangnya, ketidakupayaan untuk membezakan antara maklumat yang sahih dan palsu sering kali menimbulkan kekeliruan. Ramai daripada mereka lebih tertarik kepada berita yang sensasi atau teori konspirasi kerana maklumat tersebut lebih mudah tersebar dan mendapat perhatian berbanding berita yang lebih berasaskan fakta.

Gen Z dikenali sebagai generasi yang suka menatal (scroll) secara pantas pada kandungan yang mereka lihat. Dengan trend kandungan video pendek dan infografik menarik, mereka kurang memberi perhatian pada sumber asal sesuatu maklumat. Secara tidak langsung, kelalaian ini membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu. Malahan, algoritma media sosial sering kali mempromosikan kandungan berdasarkan minat peribadi pengguna, menjadikan Gen Z lebih terdedah kepada perspektif yang berbaur bias dan kurang sahih.

Sikap sambil lewa dalam memastikan kesahihan maklumat bukan sahaja berbahaya kepada individu yang mempercayainya tetapi juga boleh memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan. 

Misalnya, isu kesihatan awam seperti wabak Covid-19 menjadi bukti nyata bagaimana penyebaran maklumat tidak sahih boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Sebahagian daripada Gen Z hanya mempercayai maklumat di media sosial terperangkap dengan maklumat palsu mengenai vaksin dan kaedah rawatan alternatif yang tidak berasas, sekali gus memberi kesan kepada tindakan dan keputusan mereka.

 

MEDIA SOSIAL ALAT PROPAGANDA, MANIPULASI

Kewujudan akaun palsu dan ‘bot’ yang diatur untuk menyebarkan maklumat tertentu menjadikan media sosial alat yang sangat efektif dalam mempengaruhi pendapat umum. Gen Z sering kali terperangkap dalam permainan propaganda tanpa menyedari mereka sedang dimanipulasi. Dengan hanya beberapa klik, mereka berpotensi untuk menyebarkan maklumat mengandungi propaganda politik atau kepentingan perniagaan yang tersembunyi.

Contohnya, dalam krisis global atau pilihan raya, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mempengaruhi emosi Gen Z dengan menyebarkan maklumat berbaur fitnah atau kebencian. Pada usia yang masih muda dan mudah terpengaruh, Gen Z mungkin melihat maklumat-maklumat ini sebagai fakta, tanpa menyedari sedang digunakan untuk mencapai agenda tertentu.

Salah satu aspek paling membimbangkan akibat kelalaian dalam mencari maklumat sahih ialah kesan terhadap pembangunan minda kritis. Apabila terdedah kepada maklumat palsu secara berterusan, mereka akan terlatih untuk hanya menerima maklumat tanpa mempersoalkan kesahihannya. Kekurangan keupayaan untuk menilai maklumat dengan kritikal menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan cenderung untuk mempercayai perkara-perkara yang tidak berasas.

Sikap ini turut memberi kesan terhadap kepercayaan mereka terhadap media arus perdana apabila lebih mempercayai berita di media sosial lebih daripada media tradisional. Mereka berpotensi untuk meminggirkan sumber-sumber berita yang lebih sahih dan beretika. Hal ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana kita sebagai masyarakat dapat memastikan generasi muda ini mempunyai keupayaan untuk membezakan antara maklumat yang benar dan yang palsu.

 

PUPUK KESEDARAN

Untuk menangani isu ini, penting bagi kita untuk memperkasakan Gen Z dengan angkahan literasi media yang kukuh. Ini termasuk dalam menilai sumber, memahami konteks dan membezakan antara pendapat mahupun fakta. Pendidikan literasi media yang dijalankan sejak awal akan membantu mereka untuk menjadi lebih kritis dan selektif dalam memilih maklumat.

Pihak berkuasa, institusi angkahan dan platform media sosial perlu berganding bahu dalam meningkatkan kesedaran tentang bahaya maklumat palsu. Kempen kesedaran yang dijalankan di sekolah, universiti dan platform media sosial boleh membantu dalam membentuk tabiat yang lebih sihat dalam kalangan Gen Z. Contohnya, inisiatif seperti semak sebelum sebar atau periksa sumber boleh didorong sebagai langkah mudah untuk membantu mereka menilai maklumat sebelum menyebarkannya.

Platform media sosial juga perlu mengambil tanggungjawab dalam memantau dan mengawal penyebaran maklumat yang tidak sahih. Melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), syarikat media sosial boleh mengesan dan menandai maklumat palsu serta memberi amaran kepada pengguna. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan komitmen dan ketelusan yang tinggi dari pihak media sosial kerana mereka juga mendapat manfaat dari kandungan tular, walaupun kandungan tersebut mungkin tidak sahih.

Facebook, Instagram, dan X memperkenalkan ciri-ciri baharu untuk menandai berita palsu dan memberi amaran kepada pengguna, namun langkah ini perlu diperluaskan dan dipertingkatkan. Media sosial bukan sekadar platform hiburan sebaliknya berperanan memastikan kesejahteraan maklumat dalam masyarakat. Usaha berterusan perlu dilaksanakan agar media sosial dapat menjadi sumber maklumat yang lebih bertanggungjawab.

Kelalaian dalam memastikan sumber maklumat yang sahih di media sosial boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pemikiran dan tindakan Gen Z. Sebagai generasi yang bakal mengambil alih masa depan, amat penting bagi kita untuk memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran literasi media dan kesedaran tentang bahaya maklumat palsu. 

Pendidikan literasi media yang berkesan dan langkah-langkah kawalan oleh platform media sosial boleh membantu dalam mengurangkan kelalaian ini.

Masa depan maklumat terletak di tangan kita semua. Oleh itu, kita perlu bertindak sekarang untuk membentuk Gen Z yang bukan sahaja peka terhadap perkembangan semasa tetapi juga mampu menjadi penapis yang bijak dan bertanggungjawab dalam menilai maklumat. 

Generasi yang bijak menilai maklumat adalah generasi yang mampu mencipta perubahan yang positif dan inilah yang perlu kita usahakan bersama.-UTUSAN

 

DR. Azian Muhamad Adzmi ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN