AHAD lalu, saya mewakili Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya) berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Program Mekar Didik di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah serentak dengan Majlis Pelancaran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Mekar Didik dicetuskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai sebahagian daripada program Mekar Komuniti bagi mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tidak memiliki sijil lahir, kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Saifuddin bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, manakala pelaksanaannya akan dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara. Dalam majlis ini, tujuh pelajar menerima dokumen pengenalan diri berupa sijil lahir, MyKid dan MyKad dari Saifuddin.
Punca mereka ketiadaan dokumen pengenalan diri adalah pelbagai. Rata-rata penerima pada hari tersebut lewat mendaftar kelahiran disebabkan oleh masalah keluarga dan masalah pendaftaran semula perkahwinan ibu bapa di Malaysia. Ada juga yang berada di bawah kategori daftar lewat disebabkan tiada penganjur (ibu/bapa/penjaga) kerana dijadikan anak angkat pada mulanya.
Selaku pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya dan rakan-rakan amat biasa menghadapi masalah anak-anak yang menghadapi pelbagai kesulitan dalam hidup, termasuk untuk meneruskan pendidikan di sekolah atau untuk mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri. Sebab itu kami cukup memahami perasaan ibu/penjaga penerima yang menangis kerana terharu setelah menerima dokumen pengenalan diri tersebut.
Pujian perlu diberikan kepada Saifuddin dan Fadhlina yang bekerjasama melancar dan melaksanakan program Mekar Didik di seluruh negara. Diharapkan program sebegini dapat mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Pujian juga perlu diberikan kepada JPN, khasnya Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias dan Pengarah Mekar, Muhammad A’sim Ali, kerana konsisten melaksanakan program berkenaan sejak dulu. Mutakhir ini pula melaksanakannya dengan lebih intensif lagi bagi menyahut matlamat yang diletakkan oleh Saifuddin.
Saifuddin, ketika berucap dalam salah satu program Mekar sebelum ini menyebut beliau meminta Ketua Pengarah JPN supaya jumlah program berkenaan tahun ini mesti melepasi jumlah tahun lepas. Tahun lepas, JPN mengadakan 1,762 program Mekar dengan 29,340 permohonan diterima dan 23,671 khidmat nasihat diberikan.
Alhamdulillah, berdasarkan maklumat yang diperoleh, JPN menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan yang mana matlamat ini tercapai lebih awal. Bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober tahun ini sahaja, JPN mengadakan 1,920 program dengan 43,671 permohonan diterima dan 29,559 khidmat nasihat diberikan.
Program Mekar merupakan inisiatif prihatin terbaik JPN dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani untuk memberi perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental dan mereka yang tiada keupayaan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN untuk mendapatkan perkhidmatan.
Program Mekar pada peringkat awal pelaksanaannya pada 2002 dikenali sebagai Program Mobile Bergerak. Pada 2010 JPN menambah baik program ini dan dikenali sebagai Program Outreach JPN. Seterusnya, pada 1 Oktober 2019, bagi memberi nafas baharu dan memenuhi aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi inisiatif yang dekat di hati rakyat ini, program ini dijenamakan semula sebagai Program Menyemai Kasih Rakyat-Mekar.
Program Mekar kini telah diperkasakan dengan kemudahan seperti tujuh buah bas, 12 buah van kaunter bergerak serta 10 buah Kenderaan 4×4 (dilengkapi dengan set peralatan mudah alih). Tiga buah bas Mekar memiliki mesin cetak yang membolehkan kad pengenalan dicetak dalam masa 30 minit sama seperti di Pejabat JPN. Bas tersebut masing-masing ditempatkan di Putrajaya, Sabah dan Sarawak.
Manakala 12 buah van Mekar ditempatkan di semua negeri di Semenanjung Malaysia. Terkini, JPN juga menyediakan 10 buah kenderaan 4×4 masing-masing lima di Sabah dan lima di Sarawak untuk pelaksanaan program Mekar terus kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
LIMA INISIATIF MEKAR
Sebenarnya, sebelum ini terdapat lima inisiatif program Mekar yang dilaksanakan JPN iaitu Mekar Ihsan, Mekar Komuniti, Mekar Identiti, Mekar Pahlawan dan Mekar Diaspora. Mekar Ihsan menawarkan perkhidmatan JPN kepada golongan warga emas, OKU, pesakit terlantar, pesakit mental, pesakit kronik dan mereka yang tiada keupayaan untuk datang ke JPN atas faktor kesihatan.
Mekar Komuniti pula menawarkan perkhidmatan JPN kepada komuniti melalui program yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan, badan berkanun NGO dan persatuan penduduk setempat. Perkhidmatan ini turut melibatkan urusan penggantian dokumen pengenalan diri bagi individu secara berkelompok yang terlibat dengan bencana seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan sebagainya.
Seterusnya, Mekar Identiti ialah perkhidmatan JPN bagi mengenalpasti identiti individu yang mempunyai masalah mengingati nombor pengenalan diri, individu yang tiada pengenalan diri dan mengesahkan identiti sebenar. Program ini melibatkan individu yang berada di pusat tahanan, pusat jagaan orang tua, individu yang dimasukkan ke hospital dan diragui status kewarganegaraannya.
Mekar Pahlawan pula ialah program yang melibatkan pendaftaran MyTentera, MyPolis serta Askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSN). Memfokuskan pada pendaftaran dan pemprosesan dokumen untuk bekas pahlawan dan anggota tentera yang masih berkhidmat, termasuk bantuan dalam pembaharuan dokumen pengenalan diri mereka.
Terakhir ialah Mekar Diaspora yang menawarkan perkhidmatan JPN kepada rakyat Malaysia di luar negara yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.
Kesemua usaha ini adalah bukti dedikasi JPN dan KDN dalam menyelesaikan masalah rakyat.-UTUSAN
Penulis ialah Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya).










