ADA pihak tertentu dalam kalangan etnik bukan Melayu yang menyatakan bahawa makna asal kontrak sosial semakin renggang kebenarannya dengan keadaan hari ini sehingga sudah menyebabkannya tidak bermakna lagi.
Dengan kata lain, pihak itu mendakwa ia tidak sesuai lagi setelah wujudnya pelbagai perkembangan dalam segenap bidang semenjak dipersetuju lama dahulu.
Untuk ini, wajar sekali ditanya secara serius sama ada kontrak sosial itu masih relevan lagi pada ketika ini, dan sudah tentu masa mendatang.
Kontrak sosial yang selalu kita sebut itu sebenarnya adalah rujukan longgar kepada Perjanjian Etnik 1955 antara Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia.
Ia sebenarnya adalah untuk memperoleh kemerdekaan daripada penjajah. Ia kemudiannya termaktub sebagai Perkara 3, 152, 153 dan 181 dalam Perlembagaan Persekutuan setelah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Sebagai klausa tertentu yang khusus sifatnya, ia bukan sahaja berupa perundangan induk tentang Islam, bahasa Melayu, kedudukan etnik Melayu dan kemudiannya peribumi Sabah dan Sarawak serta Raja-raja Melayu.
Juga ia dokumen utama untuk mentadbir urus negara agar hak dan keistimewaan setiap etnik dipelihara pada setiap masa.
Kesemua ini dipersetuju bersama oleh etnik Melayu, Cina dan India untuk kebaikan masing-masing selain untuk manfaat negara yang bakal merdeka.
Dalam pada ini, untuk mahu terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini melalui pemberian kerakyatan oleh etnik Melayu, etnik bukan Melayu bersetuju untuk memberikan kedudukan istimewa kepada etnik Melayu selaku tuan milik tempat ini.
Ia dilakukan antaranya kerana etnik Melayu merupakan penduduk asal semenjak azali lagi kepada tempat ini.
Inilah sifat utama pada kontrak sosial itu. Ia tercapai menerusi perbincangan dan perundingan antara Melayu-Cina-India untuk mendapat kemerdekaan.
Walaupun begitu, ia adalah keputusan yang masih amat tepat sekali dalam konteks negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Sehubungan ini, ia yang didakwa statik dan tegar, hendaklah terus-terusan bersifat tegas sebegitu.
Ini kerana ia masih terus relevan dengan keadaan dahulu, semasa dan mendatang di negara ini yang akan tetap berupa negara Melayu-Islam selama-lamanya.
Walaupun ditohmahkan sebagai hanya relevan sebagai semata-mata keperluan untuk mencapai kemerdekaan dahulu dan harus ditinggalkan kini setelah negara berkembang pesat semenjak 1957 dan 1963 sebagai negara majmuk, ia tetap wajib dipertahan dalam bentuk asalnya agar terus utuh hingga ke akhir zaman.
Ia kerana negara ini tidak lain dan tidak bukan adalah bumi Melayu-Islam pada sepanjang masa dan segenap waktu.
Dalil malah dalih bahawa kontrak sosial tidak relevan lagi kini sesungguhnya ibarat peribahasa Melayu habis madu sepah dibuat.
Ini kerana kontrak sosial itu mahu sangat digunakan dahulu, malah disanjung tinggi sewaktu etnik bukan Melayu sangat memerlukannya untuk mahu terus tinggal di sini.
Kini setelah bumi Melayu-Islam ini mahu cuba dikenali, malah ingin dijadikan negara majmuk dengan dasar sama rata pula untuk semua etnisiti, baik yang asal mahupun bukan, kontrak sosial itu mahu ditinggalkan.
Juga kini dengan kekuasaan negara China, etnik Cina Malaysia khususnya bukan sahaja sudah berkiblat ke sana, juga mahu bergantung harap agar diiktiraf atas dasar primordial sebagai Cina Seberang Laut, yakni warga Cina di luar China selain berleluhur Cina dari sana.
Sikap begini tidak ubah filsafat peribahasa Melayu sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.
Dengan kebangkitan semula negara leluhur mereka, etnik Cina Malaysia melihat China kini sebagai aset. Ini berbeza sekali dengan keadaan China yang papa kedana sebelum tamatnya Perang Dingin pada 1989.
Semasa itu, etnik Cina Malaysia menganggap China sebagai liabiliti yang jika boleh perlu dijauhi. Pada waktu itu, etnik Cina di sini banyak berungut sebab sanak saudara mereka dari China banyak menyusahkan mereka.
Ini kerana mereka selalu meminta bantuan kewangan dan pelbagai barangan, antaranya mesin jahit dan basikal untuk dikirimkan ke China.
Berbalik kepada kontrak sosial itu, antara sebab utama ia mahu ditinggalkan ialah keadaan sosial di negara ini yang telah banyak berubah dalam tempoh hampir 70 tahun ini.
Untuk ini, disenaraikan banyak peristiwa yang telah berlaku di dalam mahupun di luar Malaysia.
Oleh itu, kontrak sosial itu sangat perlu ditinggalkan akibat realiti politik dalam dan luar negara itu.
Sebenarnya Perkara 3, 152, 153 dan 181 tidak boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya walaupun setelah berjaya memperoleh korumnya di Parlimen.
Ini kerana ia hendaklah seterusnya menerima perkenan daripada Majlis Raja-raja Melayu.
Oleh sebab sifat empat perkara ini amat sensitif kepada keberadaan negara ini sebagai bumi Melayu-Islam dalam konteks kekuasaan Raja-raja Melayu, ia sewajarnya tidak boleh sesekali disarankan untuk ditinggalkan, apatah lagi dicabar untuk dihapuskan dan secara terbuka lagi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi rakyat negara ini sendiri.
Sebenarnya Perkara 3, 152, 153 dan 181 bukan sekadar kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah kuasa mutlak Majlis Raja-raja Melayu.
Itulah sebenar-benarnya makna asal kontrak sosial yang mahu dipertikai kini.
Selain makna harfiahnya yang begitu nyata, jauh lebih penting lagi adalah ia ikut mendukung makna simbolik yang sangat agung, iaitu kedaulatan negara ini melalui empat perkara itu yang diwasiatkan kepada Raja-raja Melayu selaku Ketua Negeri dan Negara di seluruh bumi Melayu-Islam ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










