ISTIADAT Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kementerian Pendidikan telah berjaya dilangsungkan selama empat hari, iaitu bermula pada 4 November 2024 hingga 7 November 2024.
Istiadat Konvokesyen kali ini merupakan konvokesyen Kali Ke-14 yang dilangsungkan sebanyak lapan sidang dan melibatkan seramai 6,382 orang graduan IPGM yang telah berjaya menamatkan pengajian pendidikan guru.
Amanat Rektor
Sejarahnya bermula dengan para graduan mengisi permohonan Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) secara dalam talian. Setelah para graduan berjaya UKCG, dipanggil pula untuk mengikut temu duga dan Ujian Kelayakan Fizikal (UKF). Semua ini telah dilalui oleh para graduan dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya menempatkan diri sebagai siswa dan siswi guru IPGM di 27 kampus seluruh negara. Para graduan melalui segala perit dan jerih, suka dan duka selama lima tahun dalam proses pendidikan guru. Dari cabaran belajar sewaktu pandemik Covid-19 sehingga cabaran melengkapkan pengajian pendidikan guru termasuk dengan latihan ilmiah dan praktikum.
Di sebalik segulung ijazah perguruan ini, ingin saya ingatkan kepada para graduan bahawa anda adalah insan yang terpilih untuk memikul tanggungjawab dan amanah besar, iaitu membina generasi masa hadapan untuk agama, bangsa dan negara tercinta.
Sedarlah bahawa di sebalik kejayaan anda berada di kampus IPGM, ramai lagi yang ingin memasuki IPGM tetapi takdir mereka bukan sebagai seorang guru atau cikgu. Justeru, diingatkan bahawa tanggungjawab dan amanah yang besar di sebalik gelaran guru atau cikgu hendaklah diimani dan dipegang bersungguh-sungguh bersama-sama kejujuran dan keikhlasan. Hal ini adalah kerana anda adalah “orangnya” yang arif dan berupaya dalam segala urusan mendidik dan memimpin putera puteri negara kita.
Percayalah andai tanggungjawab dan amanah seorang guru atau cikgu dikhianati mahupun diserahkan kepada bukan “orangnya”, nescaya harapan untuk melihat generasi masa hadapan yang mampan membela agama, bangsa dan negara akan membuahkan kehampaan. Inilah ingatan yang ternukil dalam hadis Nabi SAW, iaitu “Jika amanah diserahkan kepada bukan orangnya/ahlinya, nantikan saat kehancuran”. (HR; Bukhari)
Bagi memperkukuh nyala rasa guru, saya menyeru agar para graduan tidak lupa akan janji kita yang telah kita patrikan dalam lagu keramat Kami Guru Malaysia, iaitu “amanah yang diberi, kami tiak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan”.
Sesungguhnya, amanah itu adalah mendidik dan membimbing anak bangsa masa hadapan tidak kira keturunan, agama dan latar belakang keluarga. Inilah juga kegembiraan seorang guru atau cikgu yang telah dizahirkan dengan lafaz “kami bangga menjadi guru”dalam lagu IPGM yang kita nyanyikan bersama-sama selama lima tahun yang lalu. Jangan kita lupa semua ini kerana semua ini merupakan nyala rasa kita sebagai seorang guru atau cikgu yang layaknya nanti diungkapkan dengan ungkapan “sekali bergelar guru, selama-lamanya tetap guru”.
Sedarlah juga bahawa graduan merupakan siswa dan siswi yang dididik di satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan. Oleh itu, berikanlah yang terbaik untuk menzahirkan anda sebagai penyambung warisan kepemimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan untuk membimbing dan mendidik anak bangsa. Sesungguhnya, para graduan adalah benih yang baik “dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung dan dicampak ke langit menjadi bintang kejora yang menghiasi malam nan indah”.
Sedarlah bahawa di luar sana banyak dugaan yang menggamit para graduan. Dugaan itu kadang kala datang dengan janji-janji manis sebuah kekayaan. Jika tidak berhati-hati dengan dugaan yang ada, dugaan itu akan mengalihkan perhatian para graduan daripada tanggungjawab dan amanah sebagai seorang guru atau cikgu. Sesungguhnya sebagai seorang guru atau cikgu, kekayaan itu bukannya kekayaan wang dan mata benda.
Kekayaan seorang guru atau cikgu itu adalah kaya hatinya. Hati guru atau cikgu akan sentiasa kaya dengan kasih akan anak bangsanya. Hati guru atau cikgu itu akan sentiasa kaya dengan belas kasihan akan anak bangsanya. Inilah pegangan guru atau cikgu, iaitu “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)” (HR: Bukhari, Muslim, ath Tirmidzi, Ibnu Majah dan Iman Ahmad).
Lantaran itu, guru atau cikgu yang sentiasa kaya hatinya akan berusaha sedaya upaya mendidik dan membimbing anak bangsa. Guru atau cikgu akan berasa puas dan gembira apabila anak bangsa yang dididik menjadi orang budiman, iaitu seorang yang memiliki budi pekerti, budi bicara, budi bahasa, hati budi dan akal budi.
Para graduan sekalian usah terpedaya dengan persona dunia yang memesongkan daripada tanggungjawab dan amanah. Ingatlah pesanan Nabi SAW, iaitu “Bukankah kamu ditolong dan diberi rezeki lantaran orang-orang lemah antara kamu?”(HR: Bukhari).
Siapakah orang lemah pada seorang guru atau cikgu? Tentunya anak bangsa yang menjadi murid dalam bilik darjah masing-masing. Muridnya itu lemah ilmu pengetahuan, lemah kemahiran, lemah nilai dan lemah psikologi. Justeru menerusi kekayaan hati seorang guru atau cikgu, murid ini akan terbela. Lantaran itu, pelbagai keberkatan dalam hidup akan menyirami hidup guru atau cikgu. Inilah kunci kekayaan sebenar bagi seorang guru atau cikgu.
Hari ini menjadi bukti bahawa para graduan telah layak menjadi seorang guru atau cikgu setelah segala bekal sebagai seorang guru atau cikgu telah diberikan oleh pensyarah yang telah mendidik dan membimbing sepenuh jiwa dan raga. Justeru, usah takut untuk melangkah. Usah gentar untuk berpencak. Terbanglah sejauh-jauhnya untuk menebarkan sayap kasih untuk anak bangsa. Andai sayap itu tersadung duri pidana lalu luka dan berdarah, kembalilah segera ke pangkuan pensyarah budiman untuk dirawat sebagai seorang pejuang agama, bangsa dan agama.
Sehubungan dengan ini, tahniah kepada para graduan sekalian atas kejayaan menamatkan pendidikan guru dengan jayanya. – UTUSAN
DR. Mohd Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia.










