Hormati ulama sebagai benteng kekuatan umat Islam

Hormati ulama sebagai benteng kekuatan umat Islam

PERANAN ulama dalam mendidik, berdakwah dan memberikan kesedaran kepada umat adalah besar impaknya, terutama dalam mempertahan akidah, syariat Islam keperibadian umat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSTITUSI ulama merupakan akar umbi kekuatan dan benteng utama mempertahan akidah dan syariat umat Islam. Ulama menjadi ‘sumbu’ dan’ obor’ yang menerangi umat ini dengan cahaya ilmu dan tiupan jihad sepanjang zaman.

Dalam keadaan simpang siur dan pembenturan yang tidak berkesudahan dalam dunia Islam hari ini maka ulama akan sentiasa bangkit untuk membimbing umat agar tidak terus terbabas atau tersasar dari jalan hidup agama yang benar. Selain mempertahankan tradisi keilmuan Islam, peranan ulama dalam mendidik, berdakwah dan memberikan kesedaran kepada umat adalah besar impaknya, terutama dalam mempertahan akidah, syariat Islam keperibadian umat.

Benarlah apa yang disebut oleh Profesor Mohammad Naquib al-Attas bahawa seluruh sejarah umat Islam itu ulama telah memainkan peranan penting mendidik umat dengan kefahaman dan juga dengan kasih sayang.

Hakikatnya, ulama sepanjang zaman berperanan menyuntik fahaman Islam yang menyeluruh (syumul) mengikut tradisi keilmuannya yang autentik bagi memastikan umat ini tidak rapuh pegangan dan kekuatan syahsiahnya walaupun berdepan dengan berbagai cabaran.

Dalam konteks negara kita, hari ini, ulama bukan sahaja memainkan peranan besar melalui institusi-institusi keagamaan yang dibentuk oleh kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam (IKIM), Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan sebagainya tetapi juga memberi sumbangan besar melalui sistem pendidikan terutamanya melalui sekolah agama, sekolah pondok (tradisi dan moden), maahad tahfiz dan sebagainya.

Kitab-kitab yang dipelajari oleh pelajar-pelajar sekolah pondok, sekolah agama dan pengajian di masjid dan surau adalah kebanyakannya menggunakan kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama tersohor kita. Contoh, kitab Munyatul Musolli dikarang oleh ulama Melayu, Syeikh Daud Abdullah Fatani. Beliau bukan sahaja ulama yang mahir dalam banyak ilmu keagamaan tetapi beliau juga seorang pejuang dan mujahid yang terkenal di Kepulauan Melayu (Nusantara) dan kitab-kitabnya dibaca sampai sekarang.

Ketika Inggeris mencengkam Tanah Melayu dan Belanda pula mencengkam Indonesia maka tok-tok guru atau ulama-ulama yang berada di kedua-kedua negara umat Islam ini telah lebih awal bangkit meniup semangat jihad melawan penjajah bagi membebas tanah air dari penguasaan penjajah berbanding pejuang-pejuang nasionalis yang muncul kemudian. Mereka memimpin umat melawan kuasa penjajah berdasarkan kekuatan agama.

Ketika itu, pondok dan pesantren (Indonesia) bukan sahaja berperanan sebagai pusat pendidikan keagamaan tetapi juga bangkit sebagai benteng pertahanan melawan penjajah. Ulama juga banyak menyumbang dalam membentuk pemerintahan yang stabil melalui hubungannya dengan umat. Dalam konteks ini, ulama menjalankan tanggungjawabnya menasihati dan menegur pemerintah dengan penuh hikmah.

Malah, sejarah Islam turut mencatat ulama memimpin dan menjadi ketua negara yang jelas terungkap dari sejarah Khulafah ur-Rasyidin sehinggalah kepada Khalifah Umar Abdul Aziz. Mereka semua merupakan ulama yang zuhud, berakhlak mulia, kuat beribadat di waktu malam tetapi mereka berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan penuh ketertiban peraturan dan sangat mementingkan kebajikan rakyat melalui nilai-nilai good governance.

Umar Abdul Aziz, melambang sosok ulama yang bukan sahaja mementingkan tradisi keilmuan dan ibadat tetapi juga mengambil berat soal kenegaraan (politik). Maknanya politik itu penting untuk diperhatikan oleh ulama supaya umat memiliki kekuasaan dan kekuatan. Pada bab terakhir itab Kitab Munyatul Musolli karangan Syeikh Daud al-Fatani, iaitu bab ‘tatmin al-faidah’ atau penamatnya yang berfaedah ada mengupas tentang ketatanegaraan, soal kepimpinan dan keadilan,

Justeru, jangan kita pandang rendah atau memperlekehkan peranan ulama kita dan ‘kitab-kitab kuning’ yang mereka hasilkan kerana setiap ajaran ulama itu cukup tinggi nilainya termasuk ilmu-ilmu mereka mengenai politik, ketatanegaraan, tatakelola, apatah lagi nasihat-nasihat kejiwaan (kesufian) mereka yang tinggi nilainya buat santapan rohani insan. Siapalah kita yang dangkal ilmu (jahil) agama dan suka mengikut nafsu mahu menunjuk pandai dan mempertikai para ulama dengan menghina dan memperlekehkan mereka.

Apatah lagi di era sekarang, ramai ulama yang berdakwah dan menegur (menasihati) umat melalui media sosial, maka perlulah kita menjaga adab dalam merespon atau memberi komen kepada mereka dengan menjauhi komen-komen yang jelek atau menghina. Perkara khilaf yang timbul antara ulama adalah berkaitan dan di bawah penguasaan ilmu mereka. Sikap kita sepatutnya kekal mengikut dan mengambil pandangan mazhab yang kita pegang.

Oleh itu, dalam sesuatu isu agama yang jauh dari kefahaman kita maka hendaklah kita mendengar dan mengambil pandangan ulama teliti, bukan menunjuk pandai mempertikah atau memperlekeh pandangan ulama. Sepatutnya kita sentiasa mendekati mereka untuk mengambil ilmu dan nasihat- nasihat yang berguna dari mereka.

Ulama memiliki peranan sebagai ‘pewaris nabi’, iaitu penerus ajaran nabi dengan menyebarkan ajaran Islam (ilmu-ilmu Islam) dan membimbing umat ke jalan yang benar dan selamat. Kita selaku umat dan orang awam wajar bersikap hormat kepada ulama kerana menghormati ulama itu merupakan salah satu adab atau etika seorang Muslim. Antara adab lain yang wajar kita amalkan kepada ulama adalah bersikap rendah diri (tawaduk) dan tidak meremehkan mereka.

Sentiasa ingat bahawa mereka adalah sumber pengetahuan dan pembimbing umat dalam menjalani kehidupan sesuai dengan ajaran Islam. Bila kita tahu menghormati ulama maka itu adalah bentuk pengiktirafan dan penghargaan terhadap ilmu atau bimbingan yang mereka ajar dan sebarkan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat. – UTUSAN

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN