PELBAGAI inisiatif telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memartabatkan bahasa Melayu sejak menjadi Perdana Menteri, dari arahan tegas kepada jabatan kerajaan hingga pembentangan Belanjawan yang mengangkat bahasa dan budaya bangsa.
Anwar ketika berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan tahun lalu mengarahkan jabatan kerajaan agar memulangkan semula surat yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan tidak kira sama ada ia datang dari sektor swasta mahupun dari sektor kerajaan.
Arahan ini bukan sekadar satu prosedur pentadbiran yang biasa, tetapi ia adalah satu isyarat yang jelas agar semua lapisan masyarakat menghargai bahasa kebangsaan sebagai lambang identiti dan maruah bangsa.
Ia pernyataan penting untuk memperkuat keutuhan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam komunikasi rasmi selain untuk memupuk kesatuan nasional.
Anwar turut menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar terus bergerak aktif dalam usahanya untuk memperkasakan bahasa Melayu.
Ujar beliau, kerajaan akan sentiasa memberi sokongan terhadap usaha yang menjadi sebahagian daripada objektif kerajaan Madani.
Sokongan ini terzahir melalui pemberian peruntukan RM50 juta kepada DBP dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Anwar pada 18 Oktober lalu bertujuan untuk mempergiat aktiviti seni dan budaya tempatan.
Inisiatif ini akan merangkumi aktiviti penterjemahan karya agung, penganjuran teater dan memelihara bahasa etnik minoriti seperti etnik Siam.
Melalui pemberian dana yang agak besar ini, kerajaan berusaha untuk mengembangkan peranan bahasa dan sastera dalam mendidik masyarakat, serta menjadikan seni dan budaya kebangsaan sebagai wadah penting dalam pembentukan identiti Malaysia yang Madani.
Anwar juga sering menekankan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu visi yang seiring dengan usaha Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang menyatakan komitmen kerajaan untuk menjadikannya bahasa ilmu di institusi pendidikan tinggi.
Untuk itu, Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) turut diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada tokoh akademik yang mengangkat bahasa Melayu.
Anwar juga kerap mengingatkan tentang pentingnya kebebasan dalam berkarya dan kebebasan berfikir dengan menyatakan bahawa sasterawan dan penggiat seni perlu diberikan ruang yang luas untuk menyampaikan kritikan sosial dan pandangan terhadap sejarah dan politik.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu bertemakan Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada 26 Mac lalu yang menyaksikan beliau melancarkan beberapa buah buku.
Ujar Anwar, kebebasan ini adalah nadi bagi kesusasteraan bahasa Melayu untuk berkembang tanpa kongkongan.
Impak dari kebebasan berkarya yang dimahukan oleh beliau ini diharapkan dapat memperkayakan landskap kesusasteraan dan seni budaya Malaysia, serta mewujudkan masyarakat yang lebih terbuka, berfikir kritis dan menghargai seni dan budaya mereka.
Anwar sendiri melalui ucapannya termasuk dalam pembentangan Belanjawan 2023, 2024 dan 2025 adalah teladan kepada pemartabatan bahasa Melayu ini dengan memperkenalkan dan menghidupkan kembali perkataan-perkataan Melayu yang jarang digunakan.
Perkataan-perkataan ini adalah seperti marcapada, arakian, taakul, intiha, mahsul, kesenjangan, sementelahan, walhasil, ketimbang, maha kaya dan kendatipun. Selain itu ialah membugar, prakarsa, tatanan, gejolak, galau, seyogia, dhamir dan wewenang.
Gaya bahasa Anwar yang kaya dengan istilah sastera ini menunjukkan kecintaan beliau terhadap bahasa dan budaya.
Ini selain menarik perhatian rakyat juga boleh mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa yang kaya dan unik, mencerminkan intelektualisme dan keindahan bahasa.
Penggunaan istilah unik yang sejak sekian lama menjadi identiti Anwar ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan minat rakyat khasnya golongan muda terhadap bahasa kebangsaan serta memupuk kecintaan mereka terhadap kosa kata dan budaya bahasa tempatan.
Hal ini menjadi lebih penting dalam keadaan di mana walaupun bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, masih terdapat kecenderungan dalam kalangan kepimpinan untuk menggunakan bahasa Inggeris yang telah mengakibatkan bahasa Melayu sedikit terpinggir.
Sehubungan itu, Anwar sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 pada 6 Oktober lalu telah menegur sikap sebahagian elit yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris.
Langkah Anwar harus dijadikan contoh oleh semua pemimpin, baik di sektor awam, politik atau swasta. Penggunaan bahasa Melayu secara meluas adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pemimpin bagi memastikan warisan bangsa tidak hilang ditelan arus globalisasi.
Penggunaan bahasa Melayu oleh pemimpin akan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan.
Apabila pemimpin menyampaikan maklumat dalam bahasa yang mudah difahami oleh majoriti rakyat, mereka lebih mudah untuk mengikut dan menyokong dasar-dasar ini.
Pemimpin yang menggunakan bahasa Melayu dalam setiap ucapan, mesyuarat dan dokumen rasmi menunjukkan komitmen mereka terhadap budaya tempatan.
Ini akan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kerana rakyat merasa dihargai apabila pemimpin mereka berbicara dalam bahasa yang mereka fahami dan mereka anggap sebagai milik bersama.
Apabila pemimpin konsisten menggunakan bahasa Melayu, ia juga menjadi contoh teladan kepada generasi muda untuk mencintai bahasa ini.
Generasi muda akan lebih cenderung mengutamakan bahasa Melayu bila mereka melihat bahawa ia digunakan secara aktif oleh pemimpin mereka.
Dengan mengutamakan bahasa Melayu seperti dilakukan Anwar, kita boleh membuktikan kita masih mampu maju walaupun menggunakan bahasa sendiri.
Dalam era moden, identiti kebangsaan adalah aset yang tidak ternilai dan bahasa adalah elemen penting dalam mengekalkan identiti ini. – UTUSAN
DATUK Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










