DONALD Trump memenangi pilihan raya presiden dengan kemenangan suara rakyat Amerika Syarikat (AS) dalam mesej jelas bahawa rakyat negara itu menolak polisi dan rekod kepimpinan Joe Biden dab Kamala Harris.
Faktor kekalahan Harris adalah berangkai, dari kelemahan Harris dan rekod parti Demokrat sendiri dan legasi Biden sehingga kepada kekuatan Trump dan MAGA movement sejak dahulu. Strategi dan percaturan yang salah di pihak Demokrat dan Harris sendiri juga menjadi punca kepada pencapaian the new red wave kali ini.
Gelombang merah dan kemenangan Trump menandakan kebangkitan politik terbesar dalam sejarah, melambangkan harapan baharu untuk kedamaian dunia dan pengakhiran konflik global seperti yang dijanjikannya.
TAMPARAN HEBAT
Faktor Trump dan fokusnya pada isu-isu asas utama yang selari dengan kebimbangan dan kepentingan utama rakyat AS adalah faktor terbesar yang membezakannya dengan Harris, yang terus menggunakan strategi yang dilihat sebagai lapuk iaitu menggambarkan pilihan raya sebagai pilihan antara norma kesopanan dan integriti di bawah Harris atau kekacauan dan keruntuhan akhlak moral di bawah Trump.
Fokus Harris adalah pada isu pengguguran dan keadaan demokrasi, sementara Trump menyentuh keresahan rakyat dengan prestasi ekonomi, keselamatan sempadan dan keselamatan peribadi mereka.
Akhirnya, keputusan pilihan raya bermakna rakyat menolak secara langsung dasar-dasar dan prestasi Demokrat serta pentadbiran Biden-Harris, setelah mengalami empat tahun ketidakcekapan dan hala tuju yang salah, dan mereka inginkan perubahan dengan kebergantungan yang dikenal pasti pada rekod prestasi Trump dalam menyelamatkan AS.
Kemenangan dalam merebut kembali Senat dan Trump meraih undi popular, menjadi Republikan pertama dalam dua dekad yang melakukannya, juga menunjukkan bahawa para pengkaji pendapat (pollsters) dan semua tinjauan yang mendakwa perlumbaan ini sebagai sengit, sekali lagi kehilangan kredibiliti dan kerelevanan mereka, seperti situasi sama pada tahun 2016. Hampir kesemua tinjauan dan anggaran pendapat terbukti silap, dan Trump sekali lagi membuktikan bagaimana beliau percaya kepada dasar instinct beliau yang tepat dalam memahami keinginan dan keresahan rakyat AS itu sendiri.
FAKTOR GENDER, PERIBADI DAN ISU GAZA
Harris dengan imej wanita berkulit hitam, ibu bapa imigran yang datang ke AS dan memperjuangkan hak wanita, masih belum cukup untuk memenangi undi rakyat. Adakah ini bermakna rakyat AS masih percaya, seorang calon lelaki, berkulit putih lebih layak menjadi presiden? Rakyat AS tidak meletakkan kepentingan khusus pada peranan jantina; sebaliknya, mereka mahukan dasar yang jelas dan terbukti serta arah yang kukuh yang boleh menangani isu-isu utama yang mereka hadapi terutamanya dasar keselamatan sempadan, keselamatan peribadi, dasar ekonomi dan fokus yang adil kepada kepentingan rakyat AS terlebih dahulu.
Mereka melihat woke agenda Demokrat dan keutamaan yang salah pada isu-isu globalisme, agenda hijau, dan keutamaan woke sebagai polisi membawa hala tuju negara ke arah yang salah, dan oleh itu, walaupun dengan tarikan menggunakan gender card untuk mendapatkan undi wanita dan undi minoriti, majoriti demografi lebih tertumpu pada isu-isu asas yang penting kepada mereka iaitu keselamatan nasional dan pembaharuan ekonomi dan kos sara hidup.
Hillary Clinton menggunakan gender card dan woman factor ini sebagai faktor utama dalam kempen untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan demografi ini pada 2016, dan ia berakhir buruk untuknya dan kempennya. Harris menyedari kesilapan itu dan tidak mengulanginya, tetapi agenda partinya yang salah dan fokus yang salah terhadap apa yang dianggap sebagai keprihatinan sebenar rakyat AS membuatkan beliau kalah dalam pilihan raya kali ini, bukan kerana statusnya sebagai seorang wanita.
Buat masa ini, suara rakyat AS adalah jelas, bahawa mereka mahukan pendekatan yang kuat, berasaskan prinsip common sense approach dan konservatif dalam hala tuju negara, dengan sempadan yang kukuh, menyelesaikan isu imigran, menghentikan jenayah dan fentanyl daripada merosakkan masyarakat, memperbaiki ekonomi, membetulkan ketidakadilan selama beberapa dekad dalam sistem perdagangan AS di mana ia dieksploitasi oleh negara-negara lain, membetulkan kesan negatif daripada menanggung beban untuk membayar keselamatan dan keamanan global selama beberapa dekad, menghentikan woke agenda yang tidak berkesan dan berbahaya serta impak far left policies dan green agenda yang mereka bimbang akan terus mengheret AS ke kancah kemunduran dan membantut kualiti hidup.
Jika calon wanita boleh mempunyai keyakinan dan dorongan yang kuat seperti Trump dalam isu-isu teras ini, sama ada seorang Republikan atau calon Demokrat yang lebih bersifat tengah dan bukan calon kiri jauh seperti yang dilihat pada Harris kini, kemungkinan presiden wanita tidak mustahil.
Melainkan Trump 2.0 gagal dengan teruk, peluang Demokrat untuk merebut semula Rumah Putih pada tahun 2028 sama ada oleh Harris lagi atau calon wanita lain adalah tipis.
Namun, peluang calon wanita Republikan pada 2028 dan presiden berikutnya akan kelihatan cerah jika prestasi Trump berjaya seperti yang dijangkakan dan cara beliau mengubah pandangan Republikan terhadap pencalonan wanita dan sokongannya.
Harris tewas di Michigan antaranya disebabkan undi protes berikutan peranan pentadbiran Joe-Biden-Harris dalam isu keganasan Israel di Gaza.
Ini juga memainkan peranan sebagai salah satu faktor utama, dilihat bukan sahaja di Michigan tetapi di seluruh negara dengan sokongan asas tradisional untuk Demokrat yang semakin berkurangan, di mana kumpulan demografi ini gusar dan marah dengan hubungan rapat dan sokongan tinggi yang diberikan kepada Benjamin Netanyahu dan rejimnya dalam peperangan di
Gaza serta tiada pengakhiran nyata terhadap konflik tersebut di bawah pemerintahan Biden-Harris.
Dalam banyak perhimpunan bersama penyokong semasa kempen Harris, protes telah tercetus berikutan kegagalan Biden-Harris dalam menguruskan krisis Gaza dan ini tentunya merupakan faktor besar.
Namun, Harris kalah terutamanya disebabkan faktor keseluruhan penolakan besar rakyat AS, bahkan dalam kalangan kumpulan minoriti terutamanya Hispanik, pengundi muda dan kelas pekerja, disebabkan kegagalan dasar pentadbirannya dan pendekatan yang salah, serta ketidakmampuannya untuk membezakan antara kepimpinannya yang baharu dan visi dengan Biden, di mana orang ramai sangat kecewa dengan prestasi Biden-Harris.
Rakyat dan terutamanya penyokong Trump menolak kempen dan pendekatan Demokrat yang dilihat elitis, dan mereka tidak suka dipandang rendah, dengan pelbagai panggilan nama terhadap penyokong MAGA seperti rasis, fasis, dan dipanggil sebagai garbage oleh Biden, tentunya meningkatkan sokongan terhadap Trump kali ini. – UTUSAN
COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.










