Bersatu mara ke hadapan sebagai peneraju abad ke-21

Bersatu mara ke hadapan sebagai peneraju abad ke-21

MUHYIDDIN Yassin ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin, Aqilah Mior Kamarulbaid dan Aslinda Nasir di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATANGLAH apa jua cabaran dan rintangan sekali pun, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan sesekali menyerah kalah sebaliknya akan terus memegang amanah memperjuangkan hak Melayu tanpa mengenepikan bangsa lain di negara ini.

Itu tegas Presidennya, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo, MOHD FIKRI PADIL @ FADZIL yang melihat rakyat Malaysia semakin terhimpit dengan pendekatan kerajaan hari ini.

Berusia 77 tahun, bekas Perdana Menteri kelapan itu tetap tenang menjawab soalan yang diajukan berkaitan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), dakwaan parti dan perikatan diambang perpecahan, kegagalan menarik sokongan bukan Melayu, pandangan tentang kerajaan hari ini dan sebagainya.


HALA TUJU JELAS MEMPERJUANGKAN BANGSA MELAYU TANPA KETEPIKAN KAUM LAIN

Kita baru selesai pemilihan parti yang berlangsung dengan cukup teratur dan baik. Mereka yang terpilih hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan parti.

Saya akan memperingatkan mereka dalam ucapan dasar dan mesyuarat-mesyuarat seterusnya tentang apa yang harus mereka lakukan.

Ini barisan pasukan terbaik dibentuk atas dasar demokrasi, dipilih oleh ahli yang ramai. Saya ingin memperingatkan, ini adalah amanah. Kalau dalam Islam amanah itu tidak boleh dipandang ringan. Dan ini juga satu bebanan tugas, kita berdepan dengan cabaran yang besar baik dari segi orang Melayu mahupun rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, saya harapkan dengan terbentuknya pasukan terbaik ini maka Bersatu akan mara ke hadapan sebagai peneraju abad ke-21. Wadah perjuangan Melayu bukan untuk tempoh ini sahaja tetapi pada masa hadapan.

Kita mahu berbeza dengan parti-parti lain. Kita mahu dilihat bukan sahaja merentas sempadan batasan negara sebaliknya melewati peringkat nasional, seratau dan juga antarabangsa.

Bermakna Bersatu akan memainkan peranan yang jauh lebih besar. Lebih-lebih lagi dalam isu negara dengan keadaan yang sedang dihadapi ketika ini seperti bebanan serta kesukaran ditanggung orang Melayu dan rakyat Malaysia. Ini kita akan bantu dalam mengurangi bebanan mereka.

Sebagai pembangkang, kita akan bersuara lebih lantang supaya tiada yang merasakan Bersatu sebuah parti yang senyap. Kita mengharapkan media sosial dalam memberi penekanan untuk menyebarluaskan maksud perjuangan dan tumpuan kita.

TIADA PERPECAHAN

Bagusnya tiada perpecahan walaupun pemilihan sudah berlangsung. Ini kerana mereka sudah menerima saranan, malah saya diberi ruang untuk mengaturkan perancangan.

Bagi menunjukan parti ini inklusif, maka kita bentuk Bersekutu, kita pinda perlembagaan. Kita tidak ketepikan bangsa dan kaum lain. Ini luar biasa, perlembagaan kata parti Melayu, Islam tetapi orang bukan Melayu pun berminat. Mereka juga ada di barisan pimpinan dan hadir mesyuarat, berbincang mengenai Melayu dan dalam masa sama bincang juga tentang masalah mereka.

Ini satu permulaan yang luar biasa. UMNO tidak buat begitu, parti lain pun tidak buat. Kita bersifat terbuka, tiada rahsia sesama kita. Asalkan ia demi kebaikan bersama, tidak kira apa jua bangsa, kalau susah, miskin dan sebagainya, kita tolong.

TIADA ‘KEM’ DALAM BERSATU

Saya sudah dengar selalu. Dari awal dahulu sudah ada ‘kem’ walaupun sebenarnya ‘kem’nya hanya satu sahaja iaitu saya. Kalau ada pun andaian begitu, lumrah dalam politik, sedangkan kiblat kita cuma satu, iaitu parti.
Saya tidak bimbang langsung kerana kita luar biasa tenteram dan tidak timbul isu pahat masih berbunyi walau rumah sudah siap.

Mungkin ada kecenderungan untuk suka seseorang atau kurang suka, itu perkara biasa. Cuma tiada perbalahan atau keretakan seperti yang didoakan oleh setengah-setengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak berlaku, alhamdulillah.

TIADA ISU AZMIN ANAK KESAYANGAN

Saya akui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara tokoh politik yang lama (dalam arena politik), banyak pengalaman, memegang jawatan tertinggi dalam parti lama. Apabila berhijrah ke kumpulan kita maknanya beliau memberi sumbangan yang sangat bermakna, yang boleh memperkuatkan parti. Apabila sudah berlaku fasa pemilihan, maka terdapat kekosongan jawatan penting, kerana itu saya fikir Mohamed Azmin tidak boleh tertinggal dalam proses perubahan baharu ini.

Beliau sudah terima (jawatan Setiausaha Agung Bersatu), sudah berbincang dan bersedia pikul tanggungjawab. Saya berikannya sepenuh kepercayaan, buat apa yang penting, kuatkan parti, susun semula pentadbiran, soal keahlian dan sebagainya.

Kita mahu memperkuatkan Bersatu, selain PN sebagai organisasi abad ke-21. Ini cita-cita saya supaya orang melihat kita luar biasa. Sebab itu peranan sebagai setiausaha agung ini sangat penting.

Tiada isu anak kesayangan, saya layan semua kerana mereka seperti anak saya. Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah lama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama saya sebagai pengasas. Kita juga ada Datuk Seri Rina Mohd. Harun, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan muka-muka baharu yang muda, yang hendak belajar politik.

Saya bersifat terbuka, saya ambil kira semua ahli sebagai sebahagian daripada parti yang harus dihormati. Saya berikan mereka tugas dan peranan. Saya harapkan mereka laksanakan (tanggungjawab) dengan yang terbaik. Itu yang penting bukan soal peribadi tetapi perjuangan.

PELAPIS YANG BERMUTU

Saya rasa bangga, mereka yang tidak terpilih (dalam pemilihan) ramai masih muda. Contohnya ketika diberi taklimat oleh Armada, saya lihat kelayakan latar belakang mereka, saya bangga kerana terdiri daripada peguam, doktor dan sebagainya. Sebahagian besarnya lepasan universiti dari dalam dan luar negara. Ada juga yang mempunyai pengalaman, aktif dalam media sosial, kreatif dalam penulisan, pandai pidato, pandai bicara. Ini antara nilai-nilai kepimpinan yang diambil kira tetapi tidak memadai itu sahaja.

Kita perlu latih mereka. Saya perlu beri ceramah, retreat, kursus, tarbiah, termasuk soal-soal nilai.

Saya seorang yang teliti berkaitan sistem nilai, akhlak, moral dan etika. Ini saya tekankan.

Dalam kepimpinan Bersatu mesti ada nilai selain ilmu dan kelulusan. Siapa anda sebagai pemimpin akan terlihat daripada wajah, agak tenteram, budi bahasa. Itu sistem nilai yang kita perlukan kerana semakin berkurang dalam kalangan anak muda.

Sebab itu saya anjurkan lima idealisme perjuangan Bersatu. Ini untuk mendidik ahli, bahawa mereka bukan ahli Bersatu sahaja tetapi pejuang dan perjuangan itu berasas.

Jadi, apabila ke mana-mana, mereka boleh berucap dalam satu nada dengan jelas seperti isu integriti, menentang rasuah, membangunkan ummah dari segi ekonomi, sosial dan lain-lain.

TIDAK SETUJU DIKATAKAN UMNO 2.0

Bagaimana mahu bandingkan Bersatu dengan UMNO? Saya tidak terfikir membentuk Bersatu untuk menggantikan UMNO.

UMNO dengan hal mereka. Mereka buat apa yang mereka buat, mereka tidak buat apa yang patut mereka buat. Kedudukan nilai mereka hari ini terkorban dan dikorbankan apabila berkompromi dengan DAP yang menentang dasar-dasar Melayu.

Kita tidak akan sama dengan mereka. Ia pujian apabila orang kata Bersatu gantikan UMNO kerana parti itu tidak lagi dilihat sebagai perjuangan Melayu yang tulen, sudah banyak tercemar. Kita belajar juga daripada itu. Kerana itu, sejak awal lagi, kita fokus membangunkan sistem nilai, integriti dan perjuangan. Saya fikir ini akan membezakan kita dengan parti-parti lain.

KEKAL MENDAPAT SOKONGAN MELAYU

Melayu dari segi sokongan kepada Bersatu dan Pas sebagai gabungan perikatan cukup baik, data-data pilihan raya umum (PRU) dalam pilihan raya negeri (PRN) membuktikan itu. Di sesetengah kawasan sehingga 90 peratus sokongan, ada yang 70 dan 80 peratus sokongan Melayu.

Walaupun mendapat sokongan besar tetapi saya tidak ambil mudah sebab ia mungkin tidak kekal selama-lamanya. Belajar daripada apa yang sudah berlaku. Untuk ke depan, kita perlu membuat perancangan, untuk mengisi cita-cita dan harapan.

Yang penting percaya kepada parti. Kalau kita tidak menyuarakan masalah mereka baik di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka akan persoalkan tujuan menyatakan sokongan.

Peranan kita untuk membuktikan menjadi juara dalam memperjuangkan masalah seperti berkaitan isu ekonomi, kos sara hidup, inflasi, cukai, subsidi dan pelbagai lagi yang masih dibahas di Parlimen.

Begitu juga pendidikan, bantuan persekolahan, sosial, keselamatan. Mereka ini mahu melihat siapa yang boleh tolong. Minta tolong kerajaan, minta bantuan tidak dapat. Setidak-tidaknya ketika zaman susah, ketika Covid-19, kita bantu, ada makanan atas meja, ada duit dalam poket, kita selamatkan nyawa dengan pemberian vaksin. Kita buktikan kita boleh buat.

Begitu juga hubungan serantau, antarabangsa, Sabah dan Sarawak mahupun di peringkat dunia seperti isu Palestin, Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan pergolakan serantau. Jadi, sebagai parti masa depan, kita menyiapkan perkara sebegini supaya dapat tahu apa yang ada di hadapan dan kita boleh buat apa yang harus dilakukan.

AKUI SOKONGAN BUKAN MELAYU KURANG

Cuba lihat berapa lama PN ditubuhkan? Walaupun lima tahun, kita sudah menjadi kerajaan, berada dalam kerajaan. Ini bermakna sokongan itu terbukti ada dan kita telah pun berada dalam peringkat-peringkat tertentu.

Kami sudah lama fikir mengenai sokongan bukan Melayu, sebab itu kita tubuhkan PN. Sebab ini Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jika dalam gabungan parti saya tidak mewakili bangsa lain, di pentas atau ceramah hanya muka saya dan Ustaz Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) sahaja, mereka tidak akan datang.

Jadi, kita akan fokus soal mengurus secara mikro. Kedua, kita mahu menyebar luas konsep PN sebagai parti gabungan yang mewakili semua kaum. Ia belum berhasil sepenuhnya.

Memang ada persepsi bahawa parti ini Melayu tetapi saya tidak melihat untuk tempoh satu masa singkat, bukan juga sederhana mungkin untuk jangka masa panjang.

Saya tidak hanya memainkan peranan dalam Bersatu dan Pas sahaja tetapi ketika itu (menjadi kerajaan) kita ada wakil MIC, MCA, Sabah dan Sarawak.

Jika mahu bentuk kerajaan hanya dengan Melayu sahaja, tidak cukup. Itu realiti politik. Persepi itu tidak boleh elak kerana ada banyak cerita. Sebab itu dalam PN, kita banyak bincang mengenai ini supaya anjakan dibuat untuk sesuaikan situasi membolehkan kita membentuk kerajaan persekutuan.

Peratusan bukan Melayu ketika ini tidak sampai lima peratus. Jika dapat naik ke 10 peratus cukup besar kerana ia memberi kesan kepada penambahan bilangan kerusi, sokongan dan sebagainya. Itu antara sasaran kita.

Kerana itu usaha perlu berterusan. Sempat atau tidak kita perlu buat. Kita ada strategik dan cara, cuma perlu dilihat dari segi pecahan undi untuk memberi tumpuan dalam PRU akan datang.

Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) juga sudah tahu kelemahan mereka. Saya beritahu Datuk Dr. Dominic Lau (Presiden Gerakan) yang mereka perlu lakukan sesuatu yang lebih besar. Mereka perlu menjenamakan semula parti, cara baharu dan ketengahkan tokoh-tokoh bukan Melayu.

Betul, setakat ini belum mencukupi. Kita perlu galakkan mereka. Ini dinamakan proses dan ia mengambil sedikit masa.

KERJASAMA BOLEH TETAPI TIDAK LANGGAR PRINSIP

Hasrat wujudkan Muafakat Nasional (MN) baik, supaya parti Melayu boleh bekerjasama di bawah satu bumbung. Sewaktu saya memimpin dahulu pun begitulah, UMNO dan Pas sokong, kita bentuk kerajaan.

Persoalan berbangkit boleh ke berlaku lagi? Kita sebagai pemimpin mesti ada prinsip, asas, perjuangan, kalau UMNO tidak bersama DAP, okeylah.

Jika ia boleh memberi manfaat kepada Melayu atau Islam, kita timbal balik tetapi tidak mengorbankan prinsip kita.


‘JIKA BERSIH BAGI D, SAYA BAGI F’

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) beri skor D walau ketuanya orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau tanya yang benar, jawapannya F, gagal. Boleh saya katakan ia adalah kerajaan yang gagal.
Saya kata begini bukanlah kerana saya kata diri ini yang terbaik. Ada juga mereka kata kerajaan saya gagal tetapi buat penilaian betul-betul.

Kami juga ada think tank (badan pemikir), mereka buat tinjauan, hampir semua terutama Melayu menolak (kerajaan) kerana mereka tidak terasa terbela malah terabai. Bahkan asas-asas perjuangan dulu tidak lagi ditekankan.
Sebelum ini saya ada soalkan di Parlimen berkaitan usahawan bumiputera. Mereka tidak pernah sebut soal Melayu, takut dituduh rasis tetapi ini sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Banyak tindakan mereka menyulit dan menyukarkan rakyat. Tindakan mereka mungkin betul tetapi caranya salah. Kita nampak mereka seolah-olah tarik semua tanpa fikirkan rakyat. Itu adalah sikap kerajaan hari ini.
Tindakan mereka memberi kesan yang besar, harga barang melambung, kos pengangkutan naik, lojistik meningkat, cukai ditambah, seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

Bukan itu sahaja, rakyat menuntut janji-janji terdahulu seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penghapusan tol dan turunkan harga minyak. Sudah berjanji, mesti orang tuntut. Ini janji bohong, apa hukumnya?

Beliau pula bercerita tentang 80 peratus kos ke luar negara ditanggung syarikat swasta, tetapi ia tidak betul. Pada zaman saya, anak sendiri pun tidak boleh duduk satu kapal terbang yang sama dengan saya, tidak bawa kawan-kawan dan tiada syarikat swasta.

Begitu juga soal dasar, hubungan luar, Palestin, Israel, genosid, kita sudah ada polisi, jangan tukar.

Ramai orang jumpa saya, tanya bila lagi kerajaan PN mahu tadbir semula? Mereka sudah tidak tahan.

TIDAK BERI MANDAT UNTUK BERBINCANG DENGAN ZAHID

Kita tidak memberi mandat kepada sesiapa bagi berunding bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memujuk Barisan Nasional (BN) meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu. Kalau ada yang pergi, itu dia buat sendiri tetapi kami tidak terlibat.

SAMPAI HARI INI TIADA PERUNTUKAN

Sampai hari ini kerajaan Persekutuan tidak beri satu sen pun. Waktu zaman saya, semua wakil rakyat termasuk pembangkang dapat peruntukan tanpa Memorandum Persefahaman (MoU)walaupun ketika itu ramai yang susah ekoran covid-19.

Sebab kita tahu duit yang diberikan digunakan untuk membantu rakyat. Ini RM300,000 untuk buat jambatan pun tidak cukup.

Suruh tanda tangan MoU berjela-jela macam segala jiwa dan raga saya mahu serah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mana maruah saya? Apa pendirian kita? Mahu ikut semua sekali macam kita budak mentah, jadi kita tolak.
Mereka tiada pertimbangan langsung, bagaimana mahu harapkan kerajaan sedangkan perkara begini pun tidak dapat dilakukan.

AKAUN MASIH BEKU
Baru-baru ini sudah bawa pendengaran kes tetapi tiada keputusan.

Kita parti yang sah, berdaftar, tidak melanggar undang-undang, akaun dibekukan atas sebab saya mempunyai pertuduhan. Saya sudah nafikan, saya tidak melanggar undang-undang, tiada salah guna kuasa, tidak ambil rasuah, semua duit beri kepada parti.

Kenapa parti dihukum? Tempoh pembekuan akaun hanya setahun sahaja tetapi sekarang sudah melangkaui lebih setahun.

Saya minta aktifkan semula akaun bank untuk bayar gaji di pejabat, tetapi ditahan. Apa hak mereka tahan? Saya cabar sekarang, mereka tiada hak kerana sudah melepasi batas yang dibenarkan.

Ini menganiaya. Kita bakal menghadapi PRU dan PRN, mereka tahu benda ini, kita tidak akan menyerah. Kita akan lawan kerana berada di pihak yang benar. Kita ada Allah yang akan bantu dengan apa cara apa sekali pun.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN