APAKAH matlamat yang dihasratkan daripada mengikuti sistem pendidikan sehingga ke tahap tertinggi yang mampu dicapai? Bersediakah kita menghadapi saingan global dalam dunia pendidikan yang semakin canggih dan kompleks? Adakah kaedah pembelajaran yang dianggap paling baik sejak berpuluh tahun yang lalu masih lagi kekal sebagai kaedah terbaik pada masa depan?
Kaedah pendidikan berubah selari dengan peredaran zaman. Begitu juga dengan prasarana pembelajaran yang kini jauh lebih baik berbanding 20 tahun lalu. Kemajuan teknologi juga menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah, khasnya dalam mencari maklumat untuk melakukan kerja kursus. Malah, kita kini boleh belajar daripada guru yang berada di benua berlainan melalui kelas dalam talian.
Untuk mampu bersaing dalam era dunia tanpa sempadan, negara memerlukan tahap pendidikan yang tinggi dan bertaraf dunia kerana kita kini berhadapan dengan cabaran dan persaingan yang amat sengit. Namun, sebaik mana jua peluang disediakan, tidak akan ke mana jika takut untuk mencabar diri menerokai sesuatu yang baharu, mungkin agak asing bagi kita selama ini.
Sesiapa sahaja mampu untuk mengimpikan sebuah kejayaan yang besar. Tetapi berusaha untuk merealisasikan impian tersebut memerlukan pengorbanan, tekad dan usaha yang tidak mengenal penat dan lelah. Justeru, bolehkah kita bersaing di peringkat dunia jika tidak bersedia untuk melakukan sebarang anjakan paradigma dan memilih untuk terus kekal dalam keadaan yang selama ini dirasakan selamat dan selesa?
Bagi mengangkat martabat pendidikan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pelbagai langkah melalui Kurikulum Persekolahan 2027. Hasrat KPM adalah untuk menyediakan kaedah pendidikan yang holistik seperti mana dinikmati pelajar di negara maju, sejajar dengan agenda pendidikan global.
Suatu masa dahulu, terdengar banyak rungutan tentang sistem pendidikan negara yang terlalu berkiblatkan peperiksaan sehingga membebankan pelajar. Ramai yang merasakan akibat kekangan sistem peperiksaan yang ketat, pelajar tidak berpeluang mengembangkan bakat dengan sepenuhnya bagi membentuk diri menjadi pelajar serba boleh.
Namun ironinya, apabila KPM menghapuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), mereka diasak kuat oleh pelbagai pihak supaya mengembalikan kedua-dua peperiksaan ini. Persoalannya, apakah yang sebenarnya kita mahukan?
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu berkenaan isu ini, yang bersuara bukan hanya terdiri daripada kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang, tetapi termasuk mereka daripada Kerajaan Perpaduan. Masih ramai yang merasakan peperiksaan UPSR dan PT3 sangat penting dan perlu dikembalikan. Itulah antara inti pati hujah yang diutarakan oleh mereka.
Dalam menjawab isu ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan kerajaan tidak akan berpatah balik berkenaan keputusan menghapuskan UPSR dan PT3 kerana peperiksaan-peperiksaan ini tidak lagi relevan.
Fadhlina menambah KPM beralih daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan ke arah perkembangan murid secara holistik.
Beliau menekankan, fokus pembelajaran bukan hanya bertumpu kepada gred atau markah dalam peperiksaan, tetapi beralih kepada pembelajaran yang bermakna dalam suasana menyeronokkan.
Bagi menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), kaedah baharu ini bukan hanya menitikberatkan aspek perkembangan intelektual tetapi juga aspek emosi, sosial dan jasmani.
Saya menganggap hal ini lebih menarik kerana tindakan ini memperlihatkan keberanian dan ketegasan KPM dalam mempertahankan keputusan yang penting dalam menentukan hala tuju pendidikan negara, walaupun keputusan ini dilihat tidak popular. Sememangnya tindakan sebegini memerlukan tekad dan azam politik yang sangat tinggi.
Tambahan pula, dengan keputusan ini bermakna kerajaan tegas untuk mengekalkan dasar yang diputuskan kerajaan yang lalu. Untuk rekod, UPSR dan PT3 masing-masing dihentikan pada 2021 dan 2022 semasa pemerintahan kerajaan yang terdahulu.
Mengekalkan dasar yang baik itu satu amanah. Tidak ada keperluan bagi setiap kerajaan baharu untuk menghapuskan atau menjenamakan semula semua dasar, setiap kali kerajaan berubah. Tersilap langkah, punah-ranah apa yang telah kita miliki, jadilah ibarat tikus membaiki labu.

ATASI SOAL INTEGRITI GURU, BUKAN TUKAR DASAR
Benarkah guru-guru tidak jujur dalam membuat tafsiran dan memberi markah demi kepentingan peribadi mereka? Persoalannya, adakah adil untuk melontarkan prasangka buruk sebegitu terhadap guru yang banyak berkorban demi mendidik anak bangsa?
Malah, daripada apa yang diutarakan, ia memberi gambaran seolah-olah ramai guru yang tidak jujur dan tidak kompeten dalam memberi markah. Jika benar hal ini, maka masalahnya ialah integriti guru. Oleh itu, hal yang perlu diatasi ialah soal integriti dan bukannya mendesak KPM membuat pusingan U terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan untuk kebaikan pelajar.
Benarkah pemansuhan UPSR dan PT3 menjadikan pelajar malas dan hilang semangat belajar? Persoalan seterusnya ialah apakah tujuan pelajar mengikuti pelajaran di sekolah? Adakah tujuan belajar itu ialah bagi menuntut ilmu, menjadi bijaksana dan belajar hidup bermasyarakat ataupun semata-mata untuk menghafal teks bagi menduduki dan mencapai gred tinggi dalam UPSR dan PT3?
Kita akan gagal mencapai hasrat FPK jika menyempitkan skop pendidikan hanya kepada persediaan menduduki peperiksaan sahaja. Malah, pada hari ini pencapaian gred yang tinggi semata-mata tidak akan menjanjikan kita pekerjaan yang baik jika gagal menunjukkan keterampilan diri serta kemahiran insani.
Berilah peluang kepada pelajar menikmati keseronokan menuntut ilmu melangkaui kandungan buku teks yang mesti dihafal. Pendidikan secara holistik akan melahirkan generasi yang lebih matang, berpengetahuan, bijak serta berfikiran kritis.
Bagi pelajar yang tidak mengikuti sistem persekolahan konvensional, kami masih mampu melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya bersaing bagi mendapat tempat di universiti awam walaupun tanpa pengalaman menduduki peperiksaan UPSR dan PT3.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










