“Akhirnya petani akan dapat apa? Meski pun ada pro dan kontra langkah kerajaan itu tetapi keputusan penggabungan tidak mungkin mendatangkan kesan apa-apa kepada petani.”
Itu antara komen awal Pengerusi Persatuan Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban apabila ditanya keputusan kerajaan baru-baru ini yang akan menggabungkan tujuh agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bakal membabitkan lebih 2,000 penguat kuasa dan 14 akta, sekali gus menjadi satu ketumbukan ampuh dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan penguat kuasaan sektor agromakanan.
Kata beliau, ia penting bagi membendung ketirisan dan penyeludupan selama ini membelenggu sektor padi, perikanan dan ternakan negara.
“Kita mengharapkan penggabungan ini dapat memastikan pemantauan lebih menyeluruh, menghapuskan pertindihan tugas dan memperkemas operasi lapangan selepas kementerian memberi perhatian terhadap keluhan petani dan pengusaha tempatan sering terkesan dengan isu bekalan dan kawal selia lemah,” ujar beliau.
Mohd. Shazwan berkata, pada asasnya tindakan tersebut ada pro dan kontranya tetapi dalam setiap tindakan yang diambil kerajaan, andai dilihat dari sudut positif, penggabungan jabatan adalah suatu kebaikan bagi mengatasi kekangan tugas dan kekurangan anggota oleh agensi.
Namun kata beliau, sekiranya kerajaan ingin membantu petani perlu ada strategi lain bukan setakat penggabungan agensi. Sebagai contoh, beliau memberi cadangan supaya kenaikan harga lantai padi ditingkatkan daripada 1,500 tan metrik kepada 1,800 tan metrik.
Beliau juga berharap, kerajaan meningkatkan kadar subsidi harga padi daripada RM500 tan metrik kepada kepada RM 1000 tan metrik.

Ini kerana katanya, dengan meningkatkan harga beras putih daripada harga lama dan mengurangkan harga beras import memungkinkan kenaikan tawaran harga padi oleh pengilang-pengilang.
Bagi profesor di Putra Bussines School Uiniversityi Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr. Md. Nashir Shamsudin, beliau berpendapat secara konsepnya, penggabungan beberapa agensi kerajaan boleh memberi pelbagai faedah, terutamanya dari segi kecekapan, penjimatan kos dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.
Ini kerana apabila agensi dengan fungsi bertindih dan boleh membawa kepada penjimatan belanjawan yang ketara dengan memperkemaskan operasi.
Entiti yang digabungkan boleh berkongsi sumber seperti teknologi dan kakitangan yang akan mengurangkan kos operasi.
“Ini adalah seperti model atau pendekatan di Amerika Syarikat iaitu United State Department of Agriculture (USDA) adalah agensi persekutuan utama yang bertanggungjawab untuk dasar pertanian, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar dan pemuliharaan. Tiada Jabatan perikanan atau Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Semuanya di bawah USDA.
“Selain itu, saya berpendapat aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan pertanian perlu juga digabungkan.
“Buat masa ini selain universiti-universiti yang menjalankan penyelidikan, ada beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga menjalankan penyelidikan. Ini pembaziran kos dan sumber manusia,” ujar Md Nashir.
Md. Nasir berkata, mengambil contoh di Amerika Syarikat, setiap negeri mempunyai Stesen Percubaan Pertanian (Agricultural Experiment Station) di bawah USDA. Tetapi stesen percubaan itu ditempatkan di kampus universiti (Land Grant University) dan mereka berkongsi kos peralatan, teknologi dan sumber manusia di antara pensyarah universiti dan penyelidik USDA bagi menjalankan sesuatu penyelidikan pertanian. Ini sudah tentunya dapat menjimatkan kos dan menaikkan produktiviti hasil penyelidikan.
Kata Md. Nasir lagi, walaupun penggabungan agensi kerajaan boleh memberikan manfaat, tetapi ia merupakan cabaran integrasi budaya di apabila agensi yang berbeza dan menggabungkannya boleh membawa kepada konflik dalaman atau penentangan terhadap perubahan.
Tetapi apabila diurus dengan berkesan, penggabungan boleh menghasilkan penyampaian yang lebih tangkas, responsif dan kos efektif, tetapi perancangan teliti dan pengurusan perubahan adalah kunci memastikan kejayaan.
Sebenarnya banyak lagi kekangan yang dihadapi oleh kerajaan bagi melakukan transformasi kepada sektor pertanian kerana hakikatnya Malaysia masih gagal sebagai negara pengeluar makanan dan pengeksport hasil pertanian. Apa masalah sebenarnya?
Sektor pertanian di Malaysia secara amnya terbahagi kepada dua subsektor, iaitu tanaman industri dan subsektor makanan. Sumbangan dalam sektor makanan merangkumi komoditi padi (2.3 peratus), penternakan (11.6 peratus), perikanan (11.8 peratus), buah-buahan (4.7 peratus) dan sayur-sayuran (10.4 peratus).
Kebergantungan kepada import pertanian telah meningkat kepada 13.7 peratus daripada 7.3 peratus dalam tempoh 28 tahun (1987-2015). Pada 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding RM33.8 bilion eksport.
Peningkatan terpantas dalam import berbanding eksport telah membawa kepada peningkatan defisit perdagangan produk makanan berjumlah RM21.7 bilion pada 2020, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Makan dicatatkan bahawa import makanan terkumpul kepada RM482.8 bilion untuk 10 tahun lepas, manakala eksport berjumlah RM296 bilion.
Jaminan bekalan makanan dijangka terus meruncing kesan daripada perubahan iklim, faktor pengeluaran yang terhad dan kenaikan harga input serta persaingan bahan makanan untuk pengeluaran biotenaga.
Keadaan bertambah rumit dan mencabar dengan permintaan bahan makanan untuk memenuhi pertambahan penduduk, peningkatan pendapatan per kapita, perubahan diet, proses perbandaran, dan memastikan harga makanan yang mampu dibeli terutamanya dalam kalangan golongan B40.
Persoalannya mengapakah senario tersebut terjadi?
Beberapa faktor yang telah menyebabkan peningkatan pengeluaran makanan dimungkinkan dengan penerokaan tanah pertanian dan juga peningkatan produktiviti. Bagaimanapun sebilangan besar tanah yang produktif telah digunakan.
Beberapa dasar yang kondusif seperti dicadangkan Nashir mungkin membantu dalam transformasi pertanian.
Beliau turut mencadangkan supaya melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk penghasilan makanan dan sumber pemakanan lain.
Untuk ini, insentif kepada kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan untuk pemuliharaan kawasan sumber makanan negara perlu dipertimbangkan bagi memastikan kemampanan pemeliharaan dan pengekalan kawasan pengeluaran makanan.
Walau bagaimanapun, fungsi tersebut telah berubah dalam konteks perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber, dan keprihatinan sejagat terhadap sekuriti makanan.
Maka sektor pertanian melampaui fungsi dasarnya, bukan setakat untuk meningkatkan pemuliharaan sumber, persekitaran, dan mengurangkan kadar kemiskinan.
Selain itu sudah sampai masanya diperkenalkan insurans pertanian. Selain itu perlunya pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan, seperti pemantauan dan ramalan harga, untuk mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan.
Mencontohi model pengeluaran tanaman komoditi khususnya minyak sawit dengan kewujudan bersama (co-exist) di antara syarikat besar dan pekebun kecil. Faktor kejayaan ini perlu diamalkan dalam pengeluaran makanan.
Kita perlu belajar daripada Belanda yang merupakan pengeksport makanan kedua terbesar di dunia.
Bagi Pengerusi Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob beliau bersetuju dengan penstrukturan tersebut seandainya berlaku penjimat kos. Bagaimanapun katanya, bidang tugasan berbeza boleh menjejaskan skop tugasan yang mungkin terlalu luas dan boleh menjejaskan operasi agensi.
Sehingga kini, belum ada perincian tentang cadangan tersebut, Kedua-dua menteri dan timbalan menteri juga tidak menjawab panggilan telefon untuk mendapatkan komen atau perincian
Isu yang dikongsikan itu merupakan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi isi ini besar kerana dianggarkan ada lebih kurang sejuta rakyat Malaysia terlibat dalam rantaian pertanian.
Setakat ini, belum ada pihak yang bersedia memberi bayangan, apakah akan berlaku selepas ini tapi dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut sudah bertanya apa sebenarnya petani akan dapat daripada perubahan tersebut.
Malah Mohd. Shazwan sangat kecewa kerana meskipun peruntukan pertanian bertambah, hasilnya merosot.
Dalam pada itu, saya mencadangkan supaya Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) yang sudah berusia 100 tahun perlu ditambah baik.
Saya ingin bertanya apa sebenarnya petani dapat daripada MAHA untuk jangka panjang?
Seperti kata Md. Nashir, MAHA perlu ditambah baik dengan mempamerkan kejayaan usahawan tani itu sendiri yang boleh dijadikan contoh kepada merekla yang mahu terlibat dalam pertanian.
“Biar mereka berada di ruang pameran MAHA bagi berkongsi pengalaman jerit perih drbagai usahawan pertanian,” ujarnya. –UTUSAN










