1MDB moga yang terakhir… - Utusan Malaysia

1MDB moga yang terakhir…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA di Malaysia kerap saja dikalahkan oleh korupsi dan scammer. Bukan sedikit kerugiannya. Bukan ratusan ringgit, tetapi ratusan juta ringgit ke puluh-puluh bilion. Ini termasuklah melibatkan skandal 1MDB.

Salah guna kuasa jabatan-jabatan utama berteras keselamatan di masa lalu hingga dicungkil ke hari ini dikatakan ada pula tidak dinilai mengikut kehendak undang-undang. Rakyat melihat seorang pencuri satu stok minuman dan pewangi dihukum penjara berbelas bulan dan didenda. Tetapi di sisi lain, oleh kerana kecekapan dan kos tinggi dibayar kepada peguam, suspek pencuri berjuta ringgit memiliki bukti-bukti dia tidak bersalah.

Untuk Malaysia berjaya di tahun-tahun mendatang, ubatnya hanya keluhuran undang-undang (rule of law) – penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Jika pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya itu sahaja jawapannya, pedulikan kos belanja besar untuk merubahnya.

Kerajaan perlu fokus pada fungsi-fungsi serta sifat kenegaraan di era cukup mencabar ini. Bimbang seolah-olah yang tampak hari ini kriteria untuk menjadi negara maju tidak diprinsipkan dalam pentadbiran kerajaan sendiri. Antaranya oleh kerana beberapa punca termasuk sistem perundangan lemah.

KEMANUSIAAN

Dalam memastikan Malaysia terus mengecap kejayaan ekonomi dan kestabilan hidup masyarakat majmuknya, formula perlu bertumpu kepada aspek-aspek bersifat sosio-budaya. Jangan pandang rendah usaha-usaha ini. Kita tidak memusuhi penekanan terhadap sains dan matematik serta bahasa Inggeris dengan segala rangkaian politik dan ekonominya diakui memuncak.

Namun sayangnya ini menyebabkan sehingga tampak tiada lagi ruang untuk subjek-subjek humanity atau kemanusiaan yang sebenarnya dianggap lebih penting lagi dalam mengukuhkan kualiti manusiawi.

Sedangkan di negara-negara maju, mata pelajaran sains dan matematik digandingkan dengan pengajaran the Arts, yang di dalamnya terkandung pelbagai orientasi dan kandungan subjek.

Pendidikan yang berimbang masih merupakan salah satu tuntutan dasar sosiobudaya yang baik di Malaysia. Yang kita cukup khuatir jika subjek-subjek dipelajari di sekolah yang merupakan tonggak tadi (sains dan matematik), tidak lagi memerlukan sendi keutuhan hidup melalui humaniti.

Hal inilah yang mencetuskan keadaan jiwa yang rakus dan asyik mahu menyakau. Kelak berdikit-dikit menghasilkan jenayah rasuah dan penyelewengan dari peringkat ikan bilis sehinggalah ke jerung. Lantaran ada beberapa kes rasuah kita sudahpun `terkenal’ di peringkat global, Malaysia perlu ambil iktibar dan belajar dari keperitan ini.

Hari ini, sesiapa yang mahu menjadi ahli politik, jadilah seorang negarawan (statesman). Tidak hanya sekadar seorang warlord politik semata-mata. Pewarisan menjadi sukar dan kerap disabotaj oleh warlord di peringkat cawangan, bahagian, cabang dan ranting. Zaman pemimpin naik kerana senioriti, main selamat (play safe), mengampu dan dinasti sepatutnya tidak ada lagi di era kehidupan hari ini.

Bersihkan diri daripada panglima perang, kayu reput dan kayu hanyut, paku karat dan paku longgar. Bertindak tegaslah terhadap rasuah, salah guna kuasa, pilih kasih dan campur tangan anak bini dalam pentadbiran negara. Demikian juga urusan dari cawangan, bahagian, ranting atau cabang sehinggalah ke peringkat tertinggi parti.

Setiap parti yang memegang teguh kemelayuan sejatinya mesti teguh dengan prinsip perjuangannya. Bukan sekadar pertahankan, bahkan lebih utama lagi serlahkan piawaian tinggi hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/Bumiputera, hak Raja Per.38 dan 181, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per.159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Per.3), siapa itu Melayu di bawah Per.160, semua ini dan lain-lain yang telah berakar tunjang kira-kira lebih enam dekad ini.

Gunakan secara tegas rule of law. Tidak pilih bulu. Menolak rasuah. Bila itu berlaku, semua peluang terbuka kepada semua pihak.

KAUNTER HADAPAN
Mereka yang berada di kaunter hadapan, dari pegawai penguat kuasa, ketua jabatan, menteri besar, menteri sehinggalah ke hierarki teratas harus peka, bijak dan `berhati kering’ membezakan antara rasuah, hadiah dan rezeki.

Tidak sukar membezakan antara ketiga-tiganya, kerana kata hati tetap membisik jawapannya yang `satu, pertama’ itu.

Bertikam lidahlah di Dewan Rakyat demi melahirkan tindak tanduk perundangan dan politik berwibawa. Kurangkan kerenah birokrasi demi kebaikan rakyat.

Kita sudah mendapat iktibar semasa kerajaan mengetuai negara selepas Mei 2018 dengan isu beberapa kes rasuah utama digugurkan. Waktu itu rule of law bertukar rule of jungle. Pastinya kerajaan yang diyakini dunia hari ini mesti berperisaikan antirasuah.

Suatu ketika kita ada seorang perdana menteri yang mempunyai banyak sifat positif, menolong orang, membuat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan macam-macam hal dia buat. Tinggal lagi tidak teliti apabila orang seperti Jho Low masuk atas rekomen pihak tertentu. Cuma, ada sebab ahli perniagaan itu di situ, ada elemen dalam keluarga yang menonjolkannya.

Kebebasan kehakiman adalah tuntutan tertinggi. Negara akan dihormati dan dicintai dari luar dan dalam – hanya sekiranya keluhuran undang-undang itu tidak dirompak dan dicabul sekerap kita mengganti baju dalam. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN