PUSAT-PUSAT jagaan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) merupakan salah satu isu perkara yang disiasat oleh pihak berkuasa.
Malah terdapat premis-premis syarikat berkenaan diserbu di Pulau Pinang terdiri daripada rumah jagaan.
Berdasarkan laporan media sehingga 14 Oktober lalu, direkodkan seramai 560 kanak-kanak telah diletakkan di tempat-tempat selamat selaras dengan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapatkan perintah jagaan sementara oleh mahkamah.
Peruntukan tempat-tempat selamat pula adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 54 Akta 611.
Persoalan sama ada pusat jagaan yang dikelolakan GISBH ini berdaftar dengan JKM ataupun tidak perlulah ditentukan mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan.
Hal ini sudah pasti akan disiasat dan ditentukan kelak sama ada wujud atau tidak pelanggaran undang-undang, terutama berkenaan dengan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).
Menurut Akta 506 ini, pusat jagaan didefinisikan sebagai pusat jagaan berkediaman dan pusat jagaan harian.
Malah Seksyen 2 Akta 506 selanjutnya mentakrifkan pula pusat jagaan berkediaman sebagai merujuk kepada premis dengan empat orang atau lebih yang diterima untuk jagaan sebagai penghuni di dalamnya sama ada untuk upah atau selainnya.
Berbeza dengan pusat jagaan harian yang merujuk kepada mana-mana premis dengan empat orang atau lebih yang diterima sebagai jagaan selama untuk tempoh berterusan melebihi tiga jam sehari bagi sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Keperluan di bawah Akta 560 adalah jelas bagi setiap pusat-pusat jagaan ini perlulah didaftar dengan pihak JKM.
Seksyen 5 Akta 560 menetapkan bahawa pengendalian rumah jagaan tidak berdaftar adalah satu kesalahan yang mana sekiranya disabitkan boleh dihukum mengikut subseksyen dua iaitu didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah subseksyen yang sama juga selanjutnya mengenakan denda harian tidak lebih RM1,000 dikenakan bagi tiap-tiap hari berlakunya kesalahan tersebut.
Barangkali ada yang berpendapat bahawa institusi amal ini tidak sepatutnya dikenakan peruntukan undang-undang yang keras bagi memastikan pendaftarannya.
Namun sebagai pengamal undang-undang, perundangan yang ketat dikenakan untuk memastikan pusat-pusat jagaan yang diwujudkan oleh mana-mana pihak tidak menyalahi undang-undang dan yang paling utama kebajikan penghuni diperlihara dan terlindung daripada sebarang eksploitasi.
Tidak dapat dinafikan banyak pusat-pusat jagaan yang diwujudkan oleh badan-badan amal yang teratur.
Malangnya, terdapat juga kejadian eksploitasi penghuni-penghuni pusat jagaan yang harus diberikan perhatian serius demi kebajikan para penghuninya.
Atas premis ini jugalah kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menimbangkan permohonan dengan teliti berdasarkan peruntukan seperti dalam Seksyen 6 Akta 506 perlu ada.
Malah selanjutnya di Seksyen 7 Akta 506 ini juga memberikan kuasa kepada ketua pengarah untuk mengenakan syarat-syarat tertentu sebelum kelulusan dapat diberikan.
Oleh yang demikian kedudukan undang-undang pada dasarnya memberikan perlindungan kepada penghuni serta pengendali pusat-pusat jagaan ini.
Hakikatnya tidak ramai yang mengetahui sesebuah pusat jagaan itu berdaftar ataupun tidak dengan JKM.
Bagi ahli masyarakat lazimnya beranggapan rumah-rumah kediaman atau premis ini telah mendapat kelulusan pendaftarannya oleh pihak JKM.
Dalam hal ini intervensi agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah perlu. PBT hakikatnya lebih dekat dengan premis-premis yang dijadikan pusat-pusat jagaan ini.
Malah menerusi Seksyen 78 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), ia adalah satu kesalahan sekiranya rumah itu terlalu padat dan berbahaya kepada kesihatan. Definisi terlalu padat ini juga dijelaskan dalam Seksyen 79 Akta 171 yang boleh dijadikan panduan.
Kerjasama yang aktif dan inisiatif antara JKM dan PBT sekurang-kurangnya akan wujudkan suasana yang kondusif dan selamat kepada penghuni pusat-pusat jagaan.
Ia juga boleh menjadi peringatan kepada pusat-pusat jagaan untuk kekal patuh memenuhi perundangan yang ada.
Mungkin ada yang melihat penekanan undang-undang ini terlalu renyah untuk diamalkan, tetapi sekiranya tidak diamalkan dibimbangi akan menimbulkan pelbagai isu di masa hadapan.
Lebih teruk pelanggaran ini memprejudis dan membahayakan penghuni.
PENGAJARAN
Ironinya siasatan yang melibatkan GISBH ini sepatutnya membuka mata semua pihak. Ia tidak lagi berada dalam bidang kuasa pihak polis ataupun pihak berkuasa agama tetapi ia melibatkan penguatkuasa agensi-agensi kerajaan yang lain untuk sama-sama memantau.
Isu sama ada wujudnya penyelewengan atau tidak sudah pasti akan ditentukan kelak di mahkamah.
Begitu juga dakwaan kepada pelanggaran kepada statut perundangan yang ada.
Cuma di masa hadapan, pemantauan kepada pusat-pusat jagaan warga emas, kanak-kanak mahupun orang kurang upaya perlu sama-sama dilakukan supaya tiada pihak yang disakiti.
Tuntasnya isu yang melibatkan pusat jagaan ini mungkin isu terpencil.
Niat baik pengendali tidak boleh dinafikan. Pada masa yang sama, nasib para penghuni harus terus menjadi keutamaan untuk dilindungi dari sebarang penyelewengan yang dijual menggunakan nama kemanusiaan.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) & Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










