KETIKA membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan, tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji.
Dalam konteks yang lebih khusus, Anwar mengajak keseluruhan pasukan penjawat awam untuk menerapkan budaya kerja yang baharu sebagai menyemangati maksud memulih serta menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat.
Kenyataan ini jelas merujuk kepada harapan terhadap komitmen dan kerjasama seluruh warga perkhidmatan awam dalam menggembleng tenaga menjayakan segala inisiatif yang diumumkan melalui Belanjawan 2025 dengan penuh dedikasi, integriti dan efisien.
Pastinya bukan mudah untuk merealisasikan hasrat besar kerajaan untuk menjaga dan melindungi lebih 85 peratus rakyat melalui peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan terbesar dalam sejarah.
Ia memerlukan kerjasama dan komitmen tidak berbelah bagi seluruh jentera pentadbiran kerajaan bagi memastikan semua golongan sasaran mendapat manfaat yang disediakan.
Hakikatnya, sebagai tulang belakang kerajaan, pelaksana dasar yang diperkenalkan serta penyampai perkhidmatan kepada rakyat, kelompok penjawat awam mempunyai peranan yang besar dalam menjayakan pakej belanjawan ini yang meletakkan harapan untuk mempertahankan pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Aspek integriti, amanah, cekap dan efisien yang disulami dengan kesedaran perlu dilaksanakan dengan segera atau tepat pada masanya wajar menjadi pegangan dan amalan penjawat awam.
Belanjawan 2025 menyaksikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) apabila RM13 bilion diperuntukkan kerajaan untuk tahun depan berbanding hanya RM10 bilion sebelum ini.
Peningkatan yang diumumkan ini akan terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Bantuan SARA diumumkan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April depan bagi membolehkan rakyat menggunakannya untuk tujuan perbelanjaan seperti membeli barangan asas mencakupi makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.
Maka dalam konteks ini harapan para penerima bantuan ini ialah, penjawat awam yang terlibat dalam proses agihan bantuan ini melaksanakan tugas dengan cekap dan amanah tanpa sebarang ketirisan selain memastikan ia dapat diagihkan tepat pada masanya seperti dijanjikan.
Misalnya. sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, RM1 bilion dikhususkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah, terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur, termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas, selain RM1 bilion lagi dikhususkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak, manakala 44 sekolah baharu akan mula dibina.
Maka harapan kita ialah agar penjawat awam yang akan melaksanakan projek ini perlu berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus dan tata kelola yang baik sekali gus memastikan semua kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf dapat dilaksanakan dengan cekap serta efektif terutamanya dari segi kos tanpa sebarang ketirisan. Manakala projek baharu perlu siap dibina berpaksikan kualiti dan standard pulangan yang setimpal dengan peruntukan yang dibelanjakan.
Tuntasnya, pegawai yang akan menguruskan perolehan dan semua projek yang terlibat ini perlu berpegang teguh kepada prinsip integriti yang tinggi. Pada masa sama, pelbagai bantuan lain yang hendak disalurkan juga perlu kalis kerenah birokrasi yang boleh menyusahkan rakyat mahupun kelompok peniaga serta pelabur.
Sewajarnya fokus kepada penyediaan perkhidmatan berpaksikan pendigitalan dan permudahkan semua proses penyampaian perkhidmatan agar dapat meningkatkan darjat hidup rakyat serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Jujurnya kita mahu penjawat awam ambil iktibar dengan penemuan dan teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang saban tahun menjumpai pelbagai ketirisan dan salah laku, lantas pastikan pisang tidak berbuah dua kali. Kita mahu kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang terbaik melibatkan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara selain badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan Belanjawan 2025 agar benar-benar berkesan, telus, sampai kepada kumpulan sasaran tanpa sebarang ketirisan.
Pada masa sama, penjawat awam juga perlu memainkan peranan signifikan dalam membantu meningkatkan pendapatan negara supaya cukup peruntukan bagi menjayakan belanjawan kali ini.
Misalnya, kutipan cukai pendapatan yang menjadi sumber pendapatan utama kerajaan perlu dilaksanakan dengan cekap dan efisien. Kita memerlukan pegawai yang tangkas supaya dapat cari dan mengambil tindakan terhadap individu mahupun syarikat korporat yang culas, tipu dan elak untuk membayar cukai.
Kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif menarik untuk menjaga kebajikan penjawat awam seperti Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menyediakan durian runtuh dalam bentuk pelarasan gaji secara berperingkat dan terkini dalam Belanjawan 2025 kerajaan turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Maka, inilah masa terbaik untuk seluruh penjawat awam membalas pengiktirafan kerajaan tersebut dengan membantu merealisasikan Belanjawan 2025.
Sesungguhnya merancang itu lebih mudah dari melaksanakannya dan kini tanggungjawab berat menanti setiap penjawat awam, kementerian, agensi dan jabatan dalam merealisasikan Belanjawan 2025.
Kejayaan Belanjawan 2025 ini banyak dipengaruhi kemampuan dan kecekapan penjawat awam yang selama ini telah pun memberikan perkhidmatan yang terbaik dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan perpaduan.
Justeru, besarlah harapan seluruh anggota masyarakat agar penjawat awam akan meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dengan penuh keinsafan bagi meringankan beban kehidupan rakyat. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.










