KEDUDUKAN, kuasa dan peranan mufti dalam undang-undang di Malaysia buat masa ini hanya terletak dalam akta dan enakmen pentadbiran agama Islam di negeri-negeri. Sebagai contoh di Wilayah-wilayah Persekutuan, perihal mufti ini hanya diperuntukkan sebanyak tujuh seksyen sahaja iaitu di Seksyen 32 hingga 38 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
Sebagaimana yang kita ketahui, Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu, merupakan satu wilayah Islam yang terkenal di Nusantara ini dan dihormati kerana kedudukan undang-undangnya yang unik, teratur dan adil dalam menyantuni semua rakyatnya yang berbilang agama, kaum dan budaya.
Walaupun berbilang budaya dan agama, rakyatnya secara rohaniah amat menjaga sensitiviti sesama sendiri khususnya dalam menyedari betapa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, namun pada masa yang sama tidak menafikan hak rakyatnya yang lain untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara harmoni.
Sejarah tidak mampu menafikan hakikat bahawa Tanah Melayu ini pernah dijajah hingga menyebabkan undang-undang di Tanah Melayu ini yang asalnya mengamalkan undang-undang Islam telah diubah sepenuhnya kepada undang-undang Inggeris oleh British.
Justeru, tatkala Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid bagi tujuan kemerdekaan Tanah Melayu, kedudukan undang-undang negara kita juga tidak dapat lari daripada acuan undang-undang Inggeris yang ditanam oleh British di negara kita sejak ratusan tahun lamanya, termasuk dengan memperuntukkan Akta Undang-undang Sivil 1956 yang menyatakan undang-undang kita adalah undang-undang Inggeris (common law).
Namun, dengan meletakkan peruntukan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, maka umat Islam di negara kita mampu bernafas lega kerana setidak-tidaknya kedudukan Islam itu sendiri diiktiraf oleh undang-undang tertinggi di negara kita.
Maka peruntukan Islam sebagai agama persekutuan itulah yang sebenarnya menjadi asas utama bagi negara kita dalam menginstitusikan badan-badan yang mengawal selia umat Islam di negara kita seperti majlis agama Islam, institusi kehakiman syariah, baitulmal dan mufti.
Maka, tatkala kesemua institusi Islam tersebut hanya disebut dan ditadbir oleh satu akta pentadbiran agama Islam semata-mata (sejak tahun 1993 di Wilayah-wilayah Persekutuan), maka sudah tiba masanya setiap institusi Islam tersebut diperkasa dengan mempunyai akta mereka yang tersendiri. Bacaan kali pertama RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 di Dewan Rakyat pada 2 Julai, 2024 baru-baru ini oleh Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), merupakan satu momen yang akan menjadi sejarah buat negara kita dalam maksud memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan.
Jika diteliti RUU Mufti tersebut, ia memperkatakan tentang perihal pelantikan urusan pentadbiran mufti dan timbalan mufti, penubuhan dan fungsi jawatankuasa fatwa, tatacara dan pentadbiran hal ehwal fatwa, penentuan kiblat, penubuhan dan fungsi jawatankuasa rukyah hilal, penetapan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah, penubuhan dan fungsi jawatankuasa pengawasan Pengajaran Agama Islam dan kuasa mufti dalam menentukan perkara berhubungan perundingan akidah.
Berbeza dengan peruntukan berkaitan mufti dalam Akta 505 yang hanya sekitar tujuh seksyen sahaja, kini peruntukan mufti di RUU Mufti melibatkan 36 seksyen melibatkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Maka wujud pemerkasaan yang signifikan dalam soal pentadbiran institusi mufti itu sendiri.
TATACARA FATWA YANG TELITI
Ada pihak yang mempertikaikan RUU Mufti ini dengan menyatakan mufti diberi kuasa di luar bidang kuasa demokrasi di mana ia kononnya bakal menjejaskan kehidupan peribadi dan agama berjuta-juta umat Islam di Wilayah Persekutuan. Namun jika diteliti, RUU Mufti ini ada menyebut peruntukan bagi tujuan semak dan imbang kepada pihak mufti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.
Sebagai contoh, seksyen 10 menyebutkan tatacara yang amat teliti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Disebutkan bahawa mufti boleh mengarahkan satu kajian dan penyelidikan dibuat berhubung sesuatu isu atau persoalan yang dibangkitkan.
Kemudian, mufti hendaklah mengarahkan suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dipanggil bagi membincangkan fatwa yang dicadangkan.
FATWA YANG DIWARTA
Ada juga yang mendakwa RUU Mufti ini kabur kerana garis antara fatwa yang diwartakan dan yang tidak diwartakan menjadikan semua keputusan sedemikian (termasuk yang tidak diwarta) mengikat secara sah. Pandangan ini secara hakikatnya tidak berasas.
Berdasarkan seksyen 10, setelah fatwa yang melalui tatacara ini dipersetujui, mufti hendaklah membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan bagi penyiaran fatwa itu dalam warta.
Disebutkan juga, fatwa yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah disiarkan dalam warta.
Seksyen 10 (6) seterusnya menyebut apa-apa ketetapan hukum syarak lain yang tidak disiarkan dalam warta hendaklah dihormati dan menjadi panduan hukum syarak semata-mata. Malah, menurut seksyen 15, pendapat mufti di mahkamah juga hanya bersifat panduan semata-mata dan tidak pun bersifat mengikat mahkamah. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas, maka dapatlah kita fahami bahawa kedudukan mufti di dalam RUU Mufti ini tidaklah bersifat bebas sepenuhnya, namun masih tertakluk kepada konsep semak dan imbang.
PERANAN MUFTI DALAM HAL PERUNDING AKIDAH
Berhubung dengan dakwaan yang menyatakan RUU Mufti itu bertujuan untuk mengukuhkan kawalan agama ke atas kehidupan awam dan peribadi umat Islam Malaysia, seterusnya merumitkan hubungan antara kebebasan beragama peribadi, juga merupakan dakwaan yang menyimpang, tidak berasas dan bersifat spekulatif. Seksyen 29 RUU ini hanya memberikan kuasa kepada mufti berhubung dengan perundingan akidah semata-mata.
Perunding akidah dalam Seksyen 29 ini hanya berfungsi untuk memberikan nasihat, rundingan akidah dan menyediakan laporan semata-mata. Seksyen 29 ini langsung tidak memberikan sebarang kuasa kepada mufti bagi memutuskan secara undang-undang bagi apa jua kes melibatkan seseorang Muslim yang ingin keluar daripada agama Islam.
Maka, dalam apa jua kes yang melibatkan permohonan melibatkan seseorang Muslim yang ingin keluar daripada agama Islam, ia tetap perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa eksklusif berdasarkan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Syariah seterusnya boleh merujuk kepada laporan yang disyorkan dan disediakan oleh mufti berdasarkan Seksyen 29 tersebut. Justeru, RUU Mufti ini sebenarnya menyebabkan institusi mufti itu sendiri lebih tersusun, profesional dan tertakluk kepada konsep semak dan imbang. Dengan peruntukan-peruntukan yang disediakan dalam RUU Mufti ini, maka institusi mufti akan bergerak dengan lebih teratur kerana dipandu dengan peruntukan undang-undang yang lebih jelas. – UTUSAN
PENULIS ialah Presiden ProGuam (Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia).










